Khamis, 19 Disember 2013

Dengan Nama Ini Ku Berdiri...

Assalamualaikum.


Alhamdulilah,kembali menemui pencinta ilmu.Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada bloq Tinta Seorang Pencari.

Bermulanya kehidupan insan ini,dengan izinNya 19 Disember 1993 jam 1.37 petang dilahirkan ke dunia.Diberi nama Nurul Farhana Binti Md Yusoff yang bermaksud cahaya kegembiraan atau kebahagiaan.Moga dengan maksud nama dapat menjadi seorang insan yang dapat membahagiakan orang disekelilingnya dan memberi sebuah harapan yang baik.Dengan nama ini ku bermusafir dibumi Allah ini.Segala yang dipinjamkan olehNya.

Seorang sahabat pernah berkata,kita bermusafir di bumi Allah membawa harapan ibu bapa kita dan kita sebagai khalifah Allah.Besarkan tanggujawab itu,sedarlah wahai anak jika mereka masih bersama kita di dunia ini.Hargailah mereka dengan sebaik mungkin.Bertanyalah khabar mereka.Sesibuk mana pun kita,muhasabah diri kita saat mereka menjaga kita dahulu.Kadang apabila telefon ummi,ummi tanya bila nak balik rumah?.Maaf ummi,banyak kerja kat kampus.Kadang sanggup ponteng kelas.Rindunya mereka kepada kita.Kadang mereka tak bersuara kepada kita.Tapi menghantar doa kepada Allah untuk menjaga kita disini dan walau dimana sahaja kita berada.

Setelah 20 tahun hidup di dunia.Pelbagai ujian,perasaan gembira,sedih dilalui.Apa yang ku telah sumbangkan untuk agama? Sangat sedikit,mungkin tak nampak dan mungkin tiada.Kini fasa yang baru mungkin untuk berubah ke arah dengan lebih baik.Banyak lagi yang perlu dipelajari,difahami,diteliti dan dirasa sendiri.Harapnya masih ada harapan untuk semua itu.Epilog masa silam mengajar sebuah kehidupan yang lalu.Mereka boleh mentafsir kita dengan pelbagai kata,hakikatnya kita sahaja yang tahu tentang diri kita dan Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam hati dan fikiran kita.Moga Dia 'pegang' hati kita untuk terus beribadat kepadanya.



(Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia).





Akhir kata,terima kasih,syukran jazilan kepada semua yang memberi ucapan dalam Facebook,dalam kelas dan dekat cafe.Semua sporting , ana pula yang segan :)
Semoga Allah menjaga kita semua,
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Umi Abah ,kakakku 3 orang,seorang abang dan seorang adik.
Anak-anak saudara ana,Syasya,Syahmi,Nuha,Hanan,Irfan moga membesar menjadi insan yang soleh dan solehah
(in sha Allah bertambah lagi..hehe)




Pesanan ini sangat terpahat di hati,
Ada maksud yang ingin disampaikan,


Salam perjuangan buat semua,

Dari:
Penulis yang cukup umur,
^__^


Sabtu, 14 Disember 2013

Ujian Hidup...

 الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم

Assalamualaikum..


Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;
“Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji?
Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,
Maka sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang benar dan orang-orang yang dusta.
[SURAH AL-ANKABUT : AYAT 2-3]



Alhamdulillah syukur kepada Allah masih diberi peluang untuk bertemu di blog ini sekali lagi.Bersyukur juga atas nikmat yang paling besar sekali yang telah dipersetujui oleh para ulama’ iaitu nikmat IMAN dan ISLAM. Selain itu, haruslah kita ingatakan nikmat-nikmat lain yang sentiasa kita perolehi, apabila bangun dari tidur masih lagi bernyawa, apabila bangun dari tidur masih lagi mampu melihat, apabila bangun dari tidur masih lagi mampu mendengar dan lain-lain lagi.

Kita tidak mahu menjadi seperti orang kafir quraisy, dimana mereka telah diberikan oleh Allah pelbagai nikmat seperti keamanan apabila pergi berniaga, kemakmuran, kehidupan mereka yang kaya-raya dan pelbagai lagi.Ini telah diceritakan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah Quraisy.Nikmat yang Allah berikan menyebabkan orang-orang Quraisy semakin menjauh daripada Allah.Oleh itu, sesungguhnya kita tidak mahu menjadi seperti itu.Terleka dan lalai dengan nikmat yang kebiasaannya kita perolehi.

Semua orang tahu, bahawa jika ditimpa musibah maka itu ujian daripada Allah.Namun ramai yang terlepas pandang bahawa nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita juga merupakan ujian.Seperti mana yang tertera di atas, Allah mengenali orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta melalui ujian yang telah diturunkan.Maka jelaslah di sini, bahawa sesuatu ujian itu untuk melihat adakah kita tergolong dalam golongan orang yang bersyukur atau pun golongan orang yang kufur.

Sebagai seorang pelajar university sering kali kita rasa terlalu sibuk dengan tugasan, ujian, tutorial dan kerja-kerja yang lain. Pada ketika itu kita rasa bagaikan kitalah orang yang paling susah sekali di muka bumi ini. Kadang-kadang kita rasa ditimpa ujian yang sangat-sangat berat dan susah untuk hadapinya. Namun jika ditelitikan kembali, mungkin ada antara sahabat-sahabat kita yang baru sahaja kehilangan orang yang dikasihi (ayah/ibu/ahlikeluarga), mungkin ada yang mempunyai masalah kewangan atau masalah kesihatan dan pelbagai lagi.Penulis ingin mengajak pembaca sekalian untuk sama-sama kita melihat saudara-saudara kita yang lain.

Kita lihat kepada saudara kita yang terdekat seperti mereka yang berada di pantai timur yang telah dilanda banjir.Mereka mengalami kesukaran kerana perlu berpindah rumah dan ditempatkan dipenempatan sementara.Kehidupan mereka di sana sudah semestinya susah, dengan kekurangan makanan, kerisauan terhadap harta benda, masalah kesihatan, tidur malam yang tidak lena dan pelbagai lagi. Saudara kita yang jauh di sana lebih dahsyat dilanda musibah, seperti di Rohingya, Mesir, Palestin dan juga di Syria. Mereka di sana diseksa, ditembak, dibom dan macam-macam lagi bentuk penyeksaan. Kehidupan mereka jauh lebih melarat berbanding kita.Oleh itu, bersyukurlah dengan ujian yang diterima kerana ujian itu tidak terlalu berat seperti saudara kita yang lain di sana.


Ada orang pernah bertanya kepada penulis kenapa kita ini diuji berbeza-beza?Ada yang diuji tetapi ujiannya tidak seberat yang kita lalui.Jawapan penulis ialah kita sebagai pelajar ambil berlainan kos, maka subjek kita juga berlainan. Oleh itu apabila peperiksaan akhir nanti sudah tentu ujian yang kita hadapi tidak sama. Kita diuji mengikut bidang kita dan kepakaran kita.Doktor diuji untuk menjadi seorang doktor, jurutera pula diuji untuk menjadi seorang jurutera dan begitulah juga dengan selebihnya. Firman Allah ini :

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya..
" [SURAH AL-BAQARAH : AYAT 286]

Marilah kita sama-sama mencari kekuatan untuk menghadapi segala ujian dan dugaan daripada Maha Pencipta kita.Bagi pendapat penulis, kekuatan adalah perkara pertama yang perlu dicari kerana dengan kekuatan ini barulah dapat hadapi ujian dengan baik dan dapat menerima segala hikmah yang tersembunyi.Jadi antara cara untuk memperoleh kekuatan itu adalah dengan ilmu. Dengan ilmu kebanyakan perkara boleh dihadapi dan masalah juga boleh diselesaikan, InsyaAllah.Dalam perkara yang melibatkan iman juga kita perlukan ilmu seperti mana dalam firman Allah :

Fa'lamannahu la ilahaillallah – Ketahuilah bahwasanya ,tidak ada yang berhak disembah selain Allah… [SURAH MUHAMMAD : AYAT 19]

Dengan ilmu kita boleh tingkatkan keimanan kita, boleh mengukuhkan iman kita.Sebab itulah Nabi SAW menyuruh kita untuk menuntut ilmu dengan memberi satu galakkan yang sangat hebat iaitu :

Daripada Abu Hurairah RA berkata :Rasulullah SAW bersabda: 
“Barang siapa yang menyusuri jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan untuk ke syurga.”
[HADIS RIWAYAT MUSLIM]


Apa yang baik itu daripada
Allah.
Dan apa yang buruk itu daripada
Kelemahan diri sendiri.


Bersabarlah dengan ujian yang Dia kurniakan kepada kita,
Sesungguhnya disebalik kesulitan itu ada kemudahannya,
Terima Kasih,

WALLAHUA’LAM


*DARI SEORANG SAHABAT UNTUK SATU UMMAT*

Ahad, 8 Disember 2013

Bahasa Itu Indah :)


 الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم


“Tidak lurus iman seseorang
Hamba Itu sehingga lurus jantung(hati)nya.
 Dan tidak lurus  jantung(hati)nya sehingga lurus lidahnya.”

[HADIS RIWAYAT AHMAD]

            Alhamdulillah syukur kepada ilahi kerana kita masih diberi peluang untuk bertemu di blog ini.Semoga blog ini menjadi seperti taman-taman yang indah yang dipenuhi bunga-bunga (entry-entry) yang menawan supaya lebah-lebah (para pembaca) dapat mengambil madu (ilmu) daripada bunga-bunga untuk memberi manfaat kepada orang lain pula.

            Berbalik kepada tajuk yang telah ditulis, penulis ingin membaca pembaca untuk meneliti kembali percakapan seharian kita.Para pengkaji di Barat mengatakan bahawa wanita bercakap sekurang-kurangnya 20,000 patah perkataan setiap hari, manakala lelaki pula hanya 7,000 perkataan.Kajian ini menunjukkan bahawa betapa banyaknya kita bercakap dan juga menunjukkan bahawa medium yang paling utama dalam berkomunikasi adalah dengan bercakap.

            Antara sebab kita bercakap adalah untuk memberi nasihat, memberi teguran, meluahkan perasaan dan lain-lain lagi.Manusia tidak mungkin dapat dihalang untuk berkata-kata, maka imanlah yang akan menentukan isi percakapan yang akan keluar dari bibir seseorang itu.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa
Nabi SAW telah bersabda yang membawa maksud,

“Barang sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Hendaklah dia berkata baik ataupun diam,
Barang sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Hendaklah dia memuliakan jirannya,
Dan barang sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

[HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM]

            Pada zaman yang serba moden ini, pelbagai media social yang kita boleh gunakan untuk menyuarakan pandangan serta pendapat kita. Tambah pula Negara kita yang mengamalkan demokrasi rakyat bebas bersuara, maka ramai antara kita yang menggunakan peluang itu.Namun bagi penulis, kebanyakan daripada kita “terlalu” bebas bersuara sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak enak.Bagi penulis, kebebasan bersuara bererti bebas menyuarakan pendapat tetapi bukan bebas untuk menghina orang lain.

           




Nabi SAW telah gambarkan betapa bahayanya percakapan yang tidak difikirkan terlebih dahulu sebelum dilafazkan di dalam hadis daripada Abu Hurairah, 

“Sesungguhnya seorang lelaki itu bercakap dengan satu perkataan yang dia tidak teliti kandungannya, maka membawa dia terjunam kedalam neraka sejauh di antara timur dengan barat.”

[HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM]

Apabila kita terlalu fanatic dengan sesuatu aliran sama ada persatuan, politik, kaum dan lain-lain, kita mudah untuk mengkritik pihak yang tidak sealiran dengan kita. Mengkritik yang membawa ke jannah adalah kritikan yang sangat baik, tetapi kritikan yang tidak berhemah serta terdapat kata-kata cacian membawa si pengkritik ke jahannam.

Para ulama’ terdahulu juga mempunyai perselisihan pendapat dalam sesuatu perkara, namun tidak pula mereka mencaci serta mengkafirkan ulama’ yang tidak sependapat dengannya.Berbeza pendapat tidak semestinya bertentangan pendapat.Penulis ingin mengajak pembaca sekalian untuk berlapang dada untuk menerima pandangan pihak lain dan menghormati pendapat mereka. Manusia pasti melakukan kesilapan, tetapi Allah Maha Pengampun, jadi kita berserah kepada Allah untuk mengenakan hukuman.Kita hanya makhluk yang tidak berkuasa.

Orang yang hidupnya senang tidak semestinya dia betul.Orang yang mendapat pertolongan Allah tidak semestinya dia betul.Keajaipan yang berlaku ke atas seseorang tidak bermakna dia betul.Seseorang itu hanya betul apabila dia mengikut al-Quran dan Sunnah.Inilah yang kita perlu ingat setiap masa, supaya kita tidak berasa riak dan takabbur seolah-olah kita ini berada dilandasan yang sangat betul.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan namafasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

[SURAH AL-HUJURAT : AYAT 11]


Jadi marilah sahabat-sahabat sekalian, ucapkanlah kata-kata yang indah.Berhemahlah dalam memberi nasihat, bermanis-manislah dalam perbualan dan sentiasa menjaga adab-adab ketika menegur.Contohi perlakuan manusia yang teragung, Nabi Muhammad SAW yang mana Allah berfirman,

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad SAW) mempunyai akhlak yang sangat mulia."
[SURAH AL-QALAM : AYAT 4]

Biar berbeza pendapat, biar berbeza pandangan, biar berbeza aliran, biar berbeza persatuan, biar berbeza parti politik, dan biar berbeza kaum dan bahasa, asalkan tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran  dan Sunnah.


*DARIPADA  SAHABAT KEPADA SATU UMMAT*

Salam Kejayaan untuk semua,
^__^
Tuturlah kata-kata yang baik..

Waallahu'lam