Khamis, 26 Jun 2014

Cinta di Jalan Para Pejuang

[ Assalamualaikum 56 ]

Bismillahirahmanirahim pembuka bicara,
Izinkan ku menulis untuk kalian,
Apabila kalam berbicara,
Pena menjadi teman,
Kertas menjadi saksi,
Hati menjadi paksi,
Semoga perjalanan ini diredhaiNya.



 

Cinta di Jalan Para Pejuang.


Alhamdulilah, masih diberikan kesempatan untuk menulis di blog Tinta Seorang Pencari. Usianya genap setahun pada 20/6/2014. Diharap tinta yang ditulis disini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca. Terima kasih  juga kepada yang masih mengikuti blog ini. Cinta di Jalan Para Pejuang, kita semua pejuang samada di tahap yang paling tinggi iaitu syahid di jalan Allah ataupun pejuang kepada diri kita sendiri untuk melawan segala yang tidak baik dan belajar menerima dari sekeliling kita.


Berada di jalan menuju cintaNya , adalah perjuangan yang payah. Bukan mudah. Bukan senang. Walaupun jalan ini penuh dengan rintangan kepahitan, hanya yang merasai kemanisan iman sahaja yang mampu menempuhnya. Ia hanya mampu dirasai apabila iman saling mengikat jiwa-jiwa sang pejuang. Sahabat. Insan yang paling rapat untuk kita menempuh jalan ini. Ramai yang ingin menjadi kawan dan teman tapi tak ramai yang mampu menjadi seorang sahabat. Sekiranya, hanya sekadar bicara di mulut, teman dikala gembira. Betul, kalau ingin mengenali siapa kawan kita yang sebenar, tengok siapa yang menemani kita semasa susah, yang selalu mengingati kita kepadaNya, yang selalu tegur bila kita buat salah.


Itsar, punca Ukhuwah yang mengasyikkan. Apa yang dimaksudkan dengan Itsar ?  Itsar ialah mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain, puncak tertinggi ukhuwah. Sebagai contoh, Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika menemani Rasulullah s.a.w dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Apa yang lebih menjadi tumpuan dan perhatiannya berbanding dirinya ? . Di sepanjang perjalanan itu , beliau asyik bergerak ke sana ke sini. Sekejap ke kanan, ke kiri, ke hadapan Rasul s.a.w , sekejap ke belakang Rasulullah s.a.w . Mengapa Abu Bakar bersusah-susah seperti itu? Jawab Saidina Abu Bakar, ‘Sekiranya ada musuh yang ingin menyerang kamu, biarlah aku yang kena dahulu’. Kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w sangat tinggi. Ukhuwah yang tiada bandingnya. Itulah Itsar. 


Kisah lain yang boleh kita ambil ialah, ketika Abu Bakar disengat oleh kala jengking ada  setengah cerita dipatuk oleh ular.  Walaubagaimanapun, keadaan Saidina Abu Bakar ketika itu, beliau tidak sedikit pun menggerakkan tubuh badanya hinggalah air matanya mengalir, lalu gugur ke atas Rasulullah s.a.w kerana terlalu pedih menahan bisanya. Apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w , beliau menjawab ‘Aku tidak mahu tidurmu terganggu, wahai Rasulullah.’
Alangkah indahnya jalan cinta para pejuang ini.


Sekiranya engkau Jatuh, aku sedia Terjun. Sanggup ?

Ukhuwah yang sebenar, ukhuwah yang penuh kecintaan. Seorang sahabat menjaga aib sahabatnya. Tidak menceritakan kesalahan sahabatnya kepada orang lain, namun menegur sahabat dengan cara yang paling baik demi menjaga hati sahabatnya. Kita ini tidak suci. Sahabat kita juga tidak suci. Kita semua pendosa. Itulah pentingnya ada sahabat, melengkapkan kita,membantu kita membersihkan jiwa. Bukan semua orang mampu melihat kesalahan dirinya. Memerlukan orang yang membimbingnya dan menegurnya.



Hakikatnya, menjaga ukhuwah ini tidak mudah. Tidak semua orang boleh memahami kita walaupun kita bersahabat dari kecil. Hanya Dia yang memahami kita bagaimana. Semua tidak sempurna,  disebalik sebuah pertemuan itu membentuk titik persahabatan yang mengisi kamus hidup kita.  Siapa sahabat yang kita pilih untuk menemani kita di perjalanan ini?.
Jika berlaku salah faham, jalan mana yang kita dipilih ?  Penulis memberi 4 cara :

*      Berdiam diri.
*      Menghantar surat.
*      Berterus terang.
*      Menghantar wakil.

Sebenarnya pilihan yang kita buat itulah diri kita yang sebenar. Ada yang suka berterus terang. ‘Biar tidak faham, tapi jangan salah faham’ kerana salah faham itu mampu menghapuskan kepercayaan kita selama kita bersahabat. Jika kita pilih berdiam diri bukan bermakna kita pengecut atau lari dari masalah ini. Mungkin kita berfikiran kawan kita belum bersedia untuk bercakap dengan kita atau saling berharap. Setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya. Cuma terletak pada kita bagaimana kita ingin mengatur langkah itu. Jangan sampai memutuskan ukhuwah itu.
Apabila cinta ini difahami, akhirnya kita akan memahami bahawa kita adalah satu. Engkau dan aku adalah satu. Satu jasad yang diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w apabila sebahagian anggota tubuh sakit, anggota tubuh yang lain akan turut merasainya.


Saad bin Rabi’ ketika mana Abd Rahman bin Auf bersama muhajirin lain berhijrah ke Madinah. Ketika itu, mereka tudak mempunyai apa-apa pun, maka Saad bin Rabi’ menawarkan satu tawaran kepada Abd Rahman bin Auf dengan tawaran yang cukup mengagumkan. Kita memandang dari sudut hebatnya Itsar bukan tentang nilai tawaran itu. Apabila Saab bin Rabi’ menawarkan isterinya untuk dinikahi , pilih mana yang berkenan di hati, bukankah itu satu contoh ukhuwah yang sangat tinggi. Sama juga kisah Sahabat Nabi SAW iaitu Salman al-Farisi.


Akhir kalam, terima kasih kepada yang sudi bersama-sama dalam perjalanan ini. Banyak perkara yang perlu kita belajar, fahami dan simpan untuk menjadi pedoman hidup. Ingat, Allah tidak pernah pertemukan kita dengan orang yang salah. Bersyukur dengan setiap kurniaanNya. Alhamdulilah .


Kerna ku pasti disana nanti akan ada Pertemuan,
Ramadhan Kareem,

Waallahu’lam




Isnin, 16 Jun 2014

7 Golongan yang mendapat naungan Allah s.w.t

[Assalamualaikum 55]

Daripada Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :

'Tujuh golongan , Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya.

Pertama : Imam(pemimpin) yang adil.

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadat kepada Allah .

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid.

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima : Insan yang diajak(digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :Sesungguhnya aku takutkan Allah'.

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara sunyi lalu menitiskan air matanya.

InsyaAllah, moga sama-sama kita dapat muhasabah diri kita. 

Sebuah entry yang sangat ringkas moga bermanfaat walaupun hanya sedikit yang diberikan,

Kesempatan yang datang diukir dengan sebuah keikhlasan kepada pembaca,

Setiap sandaran yang kita berikan kepada yang lain moga dipandang mulia olehNya,