Ahad, 20 Julai 2014

Di Bawah LangitMu


الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم



Di Bawah LangitMu

[Assalamualaikum]

‘’Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka, sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Sering kali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan.’’

‘’Cuba bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit mula berubah warna. Kita melihat dan menikmatinya sehingga matahari itu hilang dari pandangan dan ketika itu warna jingga tiada lagi hanya gelap menjengah, muncul pula bintang dan bulan. Ketika melihatnya terbenam tidak pula kita berkata mengapa warna jingga?. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam. Hasilnya?. Kita tenang.


Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ daripada Allah. Lukisan takdir yang tidak dijangka dan tidak disangka. Sedangkan lukisan takdir itu juga datangnya daripada Allah. Tetapi, kita memilih untuk mengeluh dan resah gelisah. Manusia diciptakan dengan hati yang berbolak balik, kadang kala menyalahkan takdir dengan setiap yang berlaku. Allah berfirman :

‘’Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan di berasa keluh kesah. Dan apabila mendapat kesenangan dia sangat bakhil’’

[Surah al-Ma’arij 70:19-21]

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita hanya menerima, Dia yang memberi dan Dia Maha Mengetahui dan memberi yang baik-baik sahaja kepada kita. Hakikatnya, akal kita tidak mampu untuk mengetahui segala rahsia Allah yang diberikan kepada kita dalam bentuk kepahitan, kesakitan, kehilangan, kesedihan, kemiskinan. Kita hanya mampu menapis segala yang berada di hadapan kita bukan yang ada disebaliknya. Hati kita akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kemampuan kita.

Kadang kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku, namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah mengajar kita erti muhasabah diri. Cubalah pujuk rasa hati untuk bersangka baik. Tidak mudah bukan, tapi kita mampu. insyaAllah. Katakan pada diri : ‘ Aku harap yang baik, Allah akan memberikan yang baik’. Kerana Doa itu penyambung antara kita dengan Dia.

Di Bawah LangitMu, kita melihat pelbagai peristiwa yang berlaku sampai menitis air mata tak sanggup melihatnya. Hebatnya ujian yang Dia berikan kepada saudara kita di Palestine, saudara mara mangsa tragedi MH17, kepada ummah umumnya. Jangan mudah untuk menyalahkan sesiapa. Sebaliknya fikirkan apa yang Dia ingin kita ubah, perbaiki, tinggalkan. Doakan yang terbaik kepada yang terlibat dalam misi kemanusiaan, misi menyelamat di sana. Sebagai komuniti biasa jaga perkataan di alam maya atau dimana sahaja kita berada.

Seorang ahli hikmah, Ibnu Ata’illah as-Sakandari pernah berkata, ‘’Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah kerana pendeknya akal dan mata hatinya.’’

Maksudnya :
Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, kita perlu melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal ,agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.  

Empat jenis manusia apabila ditimpa musibah :

-Dia menyalahkan tuhan atas segala kesusahan.
-Dia bersabar atas segala ujian.
-Dia redha dengan kesusahan yang melanda.
-Dia bersyukur atas musibah yang kena pada diri (makam yang paling tinggi).

Moga kita dikurniakan hati yang kuat untuk menghadapi segala ujian yang diberikan olehNya. Kesenangan itu sebenarnya ujian yang lebih berat jika hendak dibandingkan dengan yang sebaliknya.

Allah berfirman dalam Surah asy-Syura 42:30

Ertinya : ‘’Dan apa sahaja musibah yang menimpa ke atas kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar daripada kesalahan-kesalahanmu’’.

-Hikmah itu tidak terhitung dan infiniti bagi kepada sesiapa yang ingin berfikir disebaliknya-


-Tinta Seorang Pencari-
-Kerana Cinta Dia itu Benar-

Khamis, 10 Julai 2014

'Disaat Itu'



[Assalamualaikum]


الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم

Disaat Itu’

Saat tinta ini ditulis saudara kita sedang diserang disana, berperang untuk menyelamatkan bumi Gaza.

Disaat kita sedang bergembira dapat berbuka dengan keluarga, ingatlah mereka mungkin tiada apa untuk dijamah sewaktu itu, 

Disaat kita sedang menangis kerana pasukan bola yang kita sokong kalah, mereka disana menangis kerana diuji begitu dasyat oleh Allah,

Disaat kita sedang membeli juadah untuk berbuka, mereka ‘dibayar’ dengan bedilan bom yang ganas,

Disaat ini anak-anak kecil mencari dimana ayah mereka, dimana ibu mereka, dimana keluarga mereka,

Disaat ini mungkin tiada lagi ketawa girang anak-anak, mereka hanya mampu menangis.

Disaat para pejuang mati syahid disana, dimana semangat perjuangan dalam diri kita?

Disaat kanak-kanak di Malaysia riang bermain mercun, anak-anak disana menangis kesakitan terkena serpihan bom,

Disaat kita hanya mampu melihat, berdoa dan menderma ingatlah saudaraku kami disini ada untukmu,

Allah memilih mereka untuk syahid di jalanNya pada bulan yang mulia,

Kita jangan lupakan mereka kerana darah yang mengalir dalam tubuh mereka sama dengan yang mengalir dalam tubuh badan kita. Darah Islam !.

Disaat Islam itu nampak kecil bagi anak-anak kita, Siapa yang perlu membentuk mereka?

Keamanan yang dicari bukanlah kemewahan, hiburan tapi kita mencari kedamaian dalam diri setiap Muslim itu sendiri,

Apabila ajaran Islam disisihkan bukan lagi menjadi rujukan, tiada nilai dinamakan negara Islam.

Disaat ini teruskan langkah wahai syabab pejuang, mereka dijanjikan Syurga Allah,

Begitu banyak petanda yang Allah tunjukkan kepada kita, apakah kamu melihat dengan mata hati? . Apakah kamu berfikir tentang kekuasaanNya?

Rahmat yang paling berharga yang diberikan kepada kita semua iaitu hubungan silatulrahim. Jagalah ia,semaikan ia dengan keimanan yang baik.

Disaat ini jangan rasa mulia diri bila dah peduli Palestin, jangan rasa dah hebat sangat bila asyik share/ menulis pasal Gaza.

Kalau nak betul-betul peduli, jangan BERMUSIM. Boleh?
Sama-sama kita dengan mereka di SYRIA,MESIR. Boleh?

Kita ini degil,tahu kenapa?
Berapa ramai yang masih beratur di McD?
Berapa ramai yang masih minum Coca-Cola?
Bukan kita tidak tahu,
Tahu bukan?
Memang benar kita tak mampu nak boikot semua perkara, yang mampu kita laksanakan,insyaAllah.
Mungkin ini salah satu langkah yang kita mampu ambil untuk saudara kita di sana,



Banyak persoalan yang saya tinggalkan di sini untuk kita sama-sama fikirkan,
Jangan hanya menjadi generasi yang tunggu untuk diganti dengan generasi lain tanpa mampu menyumbangkan sesuatu.

*pesanan untuk diri dan sahabat*
*selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat*
-Tinta Seorang Pencari-
10 Julai 2014
12 Ramadhan 1435

Selasa, 8 Julai 2014

Himmah Di JalanMu

[Assalamualaikum 57]




Himmah Di JalanMu

Alhamdulilah,

Apa khabar himmah kamu hari ini?

Apa itu himmah?

Himmah ialah kesungguhan dan jiddiah itu bermula daripada hati.

Dr.Abdullah ‘Aid Al-Qarni pernah menyebutkan:
‘ Sesiapa yang cita-citanya hanya untuk syahwatnya dan mencari kenikmatan hidup semata-mata, maka banyak kegagalan yang akan ditemui, terserlah kekurangan dan terdedah aibnya’

Jika kita ‘bedah’ kata-kata ini sebenarnya  banyak sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Sebagai contoh, sebuah pesanan jangan bertindak mengikut nafsu, nanti memakan diri. Sama juga dalam kehidupan ini,dengan setiap langkah yang kita ingin buat,fikirkan apa kesannya kepada kita diri dan orang lain.

Cita-cita yang benar dan matlamat yang jelas kerana Allah s.w.t . InsyaAllah Dia akan memandu kita bagi melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh. Saya ingin kongsikan beberapa kisah daripada buku ‘Keimanan Adalah Paksi’ yang banyak mengajarkan kita erti kegigihan dan semangat yang luar biasa dalam menuntut ilmu.

Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari satu hadith. Ibnu Hibban merekodkan hadith daripada 2000 orang syeikh dan mengarang kitab sahih sehingga menjadi kitab yang menakjubkan. Imam Al-Ghazali menghafal Al-Quran pada usia enam tahun dan menjadi ulama besar yang mengajar ulama seluruh negara pada usia Sembilan tahun.

Inilah sesuatu yang mustahil sekiranya kita ingin lakukannya. Apakah rahsia mereka sehingga begitu hebat dan luar biasa dalam beramal? Jawapannya ialah ada pada apa maksud Himmah itu sendiri seperti yang telah saya utarakan pada awal penulisan. Inilah tapak asasnya dan paksinya.

Lihatlah pula Para Sahabat Nabi s.a.w. 

Abu Bakar as-Siddiq. Ketika awal Islam diajar, beliau dengan beraninya membacakan Al-Quran di hadapan kafir Quraisy hingga menyebabkan beliau dipukul dan dibelasah sehingga pengsan. Kisah Khabbab Ibnu Arat, kepalanya pernah dijamah dengan besi panas yang dilakukan oleh tuannya sendiri. Sehingga beliau pernah rasa tidak tertahan lagi dengan ujian yang menimpanya dan mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah s.a.w memujuk beliau untuk terus bersabar dan beliau bersabar.

..........................................

Mungkin cara kita berbeza dengan mereka, namun kita membawa tujuan dan menuju destinasi yang sama. Apa yang terjadi dengan masyarakat kita sekarang? Mungkin ada yang mengambil tahu dan bertindak, tahu tapi hanya memerhati, tahu tapi buat-buat tak tahu...Ehh?. Isu gelandangan, isu dua imam serentak menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan ketika solat fardhu dan terawih, isu anak-anak diabaikan oleh ibu bapa. #salahdimana.

 insyaAllah, sama-sama kita mencari himmah dalam diri. Kesungguhan dalam hati yang bagaimana ingin kita munculkan. Tepuk dada,Tanya iman !


Kesungguhan itu tercipta dari hati,

Hati yang ikhlas dalam menuju jalanNya,

Tak ramai yang mampu meneruskan perjalanan ini,

Kerna dipersimpangan itu lebih hebat cabarannya,

Masihkah ada sekelumit belas untuk kita terus hidup dibumiNya?

Setelah banyak kesalahan yang kita buat,

Kita cuba setakat yang mampu.

Dalam mencari jalan pulang,




-Tinta Seorang Pencari-
 8 Julai 2014