Khamis, 21 Ogos 2014

| IKHLAS |


Assalamualaikum



|promote|


Alhamdulillah, saya ingin berkongsi satu hadis dalam buku ‘Aku Ingin Kembara Lagi’ yang ditulis oleh Prof.Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA. Saya tertarik dengan kupasan beliau berkaitan dengan hadis tersebut. Berkaitan dengan ‘IKHLAS’. Sebelum ini saya pernah menulis satu artikel berkaitan ini juga yang bertajuk ‘Pilihlah Aku Untuk Ikhlas’. Sejauh mana tahap keikhlasan kita kepadaNya. Dr Maza ada menulis dalam bukunya ini :


‘Ia adalah isu kerohanian yang manusia paling ramai gagal menunaikannya. Bukan sahaja orang jahil yang gagal dalam menanganinya, tetapi juga orang alim. Bukan sahaja para penceramah agama yang gagal juga para mujahid yang berperang di jalan Allah. Bukan sahaja telah gagal mereka yang membaca buku biasa, tetapi telah gagal mereka yang membaca al-Quran. Bukan sahaja telah gagal penderma kecil, tetapi telah gagal juga penderma yang besar.’


Jika kita fahami dan hadam maksud yang tersirat dalam petikan ayat di atas dapat kita simpulkan jika insan yang hidupnya di jalan Allah juga gagal dalam menyerap keikhlasan ini dalam kehidupan mereka,apatah lagi kita,sebagai insan yang biasa. Yea, hari ini aku telah menolong orang, hari ini aku pergi usrah, hari ini aku post status yang bagus kat facebook,twitter, blog. Tapi, sejauh mana keikhlasan kita?

Sama-sama kita fahami hadis dibawah, insyaAllah.


|HADIS|


“Orang yang awal dibicarakan pada hari kiamat adalah seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. ALLAH bertanya: ‘Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?’

Dia menjawab : ‘Aku telah berperang keranaMu sehingga syahid.’

ALLAH berkata: ‘Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau mahu dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu.’

Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri.

ALLAH bertanya: ‘ Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?’

Dia menjawab: ‘Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMu.

ALLAH berkata: ‘Engkau bohong, sebaliknya engakau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engaku dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu.’

Lalu diperintahkan agar dia dihukum,diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke neraka. Datang pula seorang yang ALLAH luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri.

ALLAH bertanya: ‘Apakah yang telah kamu lakukan di dunia?’

Dia menjawab: ‘Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMu.’

ALLAH berkata: ‘Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu.’

Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka.’’

|Hadis Riwayat Muslim|

Hadis ini memberi banyak makna sebenarnya, kita ingin kita mampu melakukan segalanya dengan niat yang betul,tapi sebaliknya yang terjadi. Mendidik kita selalu tajdid niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan. Begitu besar peranan IKHLAS. Sejauh mana manusia memuji kita, tetapi bagaimana kita disisi Dia?. Syaitan boleh menukar niat yang murni menjadi bongkak dan riyak tanpa kita sedari. Akhirnya, gugur pahala itu kerana hilang keikhlasan ataupun kita mengungkit kebaikan yang kita lakukan. Allah, semoga kita sentiasa dilindungi olehNya dari fitnah duniawi. Semoga kita dipelihara dalam setiap kebaikan yang kita lakukan. Murahkan ucapan minta maaf itu, walaupun kita tidak buat salah tapi mengajarkan kita untuk merendah diri.

Sama-sama kita perbaiki diri,

insyaAllah.




|Tinta Seorang Pencari|
|Kerana Cinta Dia Itu Benar|

Rabu, 20 Ogos 2014

Nama Sahabat Nabi SAW


Assalamualaikum


Alhamdulillah,




insyaAllah, entry kali ini menyenaraikan sebahagian nama Sahabat Nabi S.A.W


·         ABU BAKAR AS-SIDDIQ          (A)
·         UMAR AL- KHATTAB               (U)
·         UTHMAN BIN AFFAN             (T)
·         ALI BIN ABI TALIB                  (A)
·         THALHAH BIN ABDULLAH  (T)
·         AZZUBIR BIN AWWAM           (A)
·         ABDUL RAHMAN BIN AUF   (Ar)
·         SA'AD BIN ABU WAQQAS       (S)
·         SA'ID BIN ZAID                           (S)
·         ABU UBAIDAH BIN JARRAH(B)


Jika perhatikan di atas saya ada ‘bold’ huruf-huruf tertentu. Sebenarnya, bertujuan untuk memudahkan pembaca semua menghafal nama para sahabat Nabi saw. Saya telah mencipta satu acroname ‘B.A.T.U / A.S.A.S / T.Ar’ . Pembaca semua boleh mencipta yang lebih baik untuk memudahkan kita semua mengingati nama dan menghayati perjuangan mereka kepada Islam.

B = Abu Ubaidah Bin Jarrah
A = Abu Bakar As-Siddiq
T =  Thalhah Bin Abdullah
U = Umar Al- Khattab

A = Ali Bin Abi Talib
S = Sa'ad Bin Abu Waqqas
A = Azzubir Bin Awwam
S = Sa'id Bin Zaid

T = Uthman Bin Affan
Ar = Abdul Rahman Bin Auf

Moga bermanfaat untuk semua,


Tinta Seorang Pencari,
Kerana Cinta Dia Itu Benar,


Just simple entry,
Permintaan dari MDH :)

Rabu, 13 Ogos 2014

Ku Ingin Mengembara




Ku Ingin Ke Sana.






{Assalamualaikum}


“Ada apa aku dan dunia ini? Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung daripada panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”.

(Riwayat Tarmizi)


Tajuk buku yang ditulis oleh Dr Maza ‘Aku Ingin Kembara Lagi’ banyak membuka minda saya untuk belajar memandang dunia yang berada terlalu jauh dengan kita. Kalau Dr Maza berkata “Aku Ingin Kembara Lagi” saya pula berkata “Aku Ingin Mengembara”. Begitu besar bukan harapan itu. Setiap insan pernah mengembara dalam hidupnya. Dilahirkan kita ke dunia maka bermulalah sebuah perjalanan yang kita sendiri bakal mencoraknya. Sama ada pernah keluar dari daerahnya ataupun tidak, walaupun kadang kala langkah kita itu ditempat yang sama.


Kita akan melalui episode duka, salah, silap, suka, benar dan tepat. Ada kala dosa, ada kala pahala. Itulah perjalanan kita. Kita memang tidak boleh lari dari membuat kesilapan dengan insan lain. Dan kesalahan orang lain terhadap kita. Harapannya, diri ini mampu memaafkan kesalahan orang lain itu, dan  dimaafkan kesilapan ku terhadap insan lain. Hendaknya kesilapan diikuti dengan pembetulan , dosa diikuti dengan taubat dan istighfar, dan kebaikan diikuti oleh istiqamah.


-Aku Ingin Mengembara-

Aku ingin mengembara, belajar melihat dunia ini dan memahami banyak perkara.

Aku ingin mengembara, belajar erti bertawakkal kepadaMu yang sebenarnya, kerna sebuah pesanan ‘Jika kamu ingin mengenal dirimu, lihatlah ketika kamu sendirian dalam mengembara’.

Aku Ingin Mengembara, belajar memahami kehendak diri sendiri yang sudah banyak disimpan untuk memahami diri orang lain.

Aku Ingin Mengembara, belajar lukisan alam dari Maha Pencipta kerna sesungguhnya lukisan alam itu tidak pernah silap disebalik kejadiannya.

Aku Ingin Mengembara, walaupun ku tahu diri ini tidak mampu jika tiada doa dari kalian.

Aku Ingin Mengembara, belajar memanifestasikan cinta yang sebenarnya kepada saudaraku yang lain.

Aku Ingin Mengembara, supaya suatu hari nanti ada sesuatu yang dapat ku ceritakan kepada mereka.

Aku Ingin Mengembara, belajar menguatkan hati yang kadang kala mudah tersungkur dengan perasaan sendiri.

Aku Ingin Mengembara, belajar melihat suka duka mereka di sana.

Aku Ingin Mengembara, menyebarkan CintaMu kepada yang lain.

Aku Ingin Mengembara, supaya dapat ditulis cerita hati yang ku rasa, apa yang ku lihat.

Aku Ingin Mengembara bersamamu, sudikah?






-Kerana Cinta Dia Itu Benar-
-Tinta Seorang Pencari-


Sabtu, 9 Ogos 2014

Cerita Hati


CERITA HATI




Bila susah tiada gelisah,

Bila miskin syukur pada Tuhan,

Bila sakit tiada resah dijiwa,

Bila kaya jadi insan pemurah,

Bila berkuasa amanah,

Bila berjaya tidak alpa,

Bila sihat tidak lupakan Tuhan,

Bagaimana ingin mencipta bahagia dalam hidup?

Hakikatnya bahagia itu bila hati mengingati Tuhan.

Assalamualaikum,

Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk menulis di sini.


Semalam yang telah pergi menghilang tanpa jejak, hari itu membawa bersama kenangan yang kita tinggalkan. Perjalanan yang panjang meninggalkan jejak tersendiri. Langit tersenyum melihat gerak kita. Air hujan menitis bagai memahami hati kita. Tidak mudah untuk memahami apa kesudahan dengan langkah ini. Allah merahsiakan masa depan kita supaya kita tidak pernah lupa dengan harapan. Hari ini kita banyak buat salah. Esok masih ada untuk kita ubah kesilapan itu. Jalani kesempatan yang ada dengan kesederhanaan dan Pertahankan segenggam tabah yang kita ada itu.



Dalam rancangan Tanyalah Ustazah, Prof. Dr. Muhaya berpesan ‘Bersangka baik dengan orang lain dan suasana’. Bagaimana kita menilai orang itu, begitulah orang lain menilai kita. Jangan silap kata nanti makan diri sendiri, betul kata-kata tu sebab setiap yang kita buat akan dibalas balik. Setiap kesusahan, ujian, atau segala bentuk musibah yang menimpa kita itu mungkin sebab dosa silam kita. Jangan mudah salahkan orang lain. Mungkin akan ada yang berkata menulis atau memberi pesanan kepada orang lain memang senang,cuba kamu lalui sendiri. Hakikatnya, ku juga sedang berpesan kepada diri sendiri. Setiap yang kita lalui pandang dengan pandangan tarbiyah, mencari hikmah perjalanan disebaliknya.


Hari ini aku melihat pelbagai nikmat yang Alllah berikan kepadanya. Tetapi mengapa tidak aku? Apakah kamu pernah bertanya kepada insan yang telah berjaya itu berapa lama dia berusaha untuk mendapatkan seperti yang dia ada pada hari ini? Berapa kali dia pernah sakit untuk mengenggam kejayaan itu? . Hakikatnya tidak mudah. Kita menjalani kehidupan dengan cara yang berbeza, Ujian yang diberikan juga berbeza, Rezeki yang Dia kurniakan dengan cara yang berbeza.


Apabila kita berfikiran baik,
Langkah yang kita ambil untuk kebaikan diri kita dan orang lain,
insyaAllah, kita akan dapatkan juga yang terbaik.



Ingin Bahagia?
Solatlah di awal waktu.

Ingin Sihat?
Berpuasalah.

Ingin dipermudahkan urusan?
Bacalah Al-Quran.

Ingin wajah berseri?
Jaga Solat Tahajud.

Ingin kaya?
Solat Dhuha.

Dihimpit masalah?
Beristighfarlah.

Berasa dukacita?
Berdoalah.

Mahukan keberkatan?
Berselawatlah.


-Tinta Seorang Pencari-
-Kerana Cinta Dia itu Benar-