Jumaat, 17 April 2015

Ahsanul Qasas (Sebaik-baik Kisah)



Ahsanul Qasas


”Every great story has a beginning, middle, and ending,
Not necessarily in that order, we all great stories.”
-Phil Kaye, Beginning, Middle and End-

Assalamualaikum ..


Kehidupan ini hakikatnya sebuah cerita. Bermulanya dari setitis mani, membesar di dalam rahim ibu, ditiupkan roh kepadanya, dilahirkan, menjadi dewasa kemudian meninggal dunia menuju pengakhiran yang abadi di sana. Sepanjang tempoh itu pelbagai kisah dilakar dan ditulis dalam sebuah diari kehidupan. Kisah kekeluargaan, persahabatan, perjuangan, tarbiyah, jatuh dan bangun terus ditulis. Pada suatu hari nanti, kita akan tengok semula perkara yang telah lakukan sepanjang persinggahan ini. Kita mengharapkan setiap permulaan itu diakhiri dengan sebuah pengakhiran yang indah dan gembira. Tapi bagaimana pula kisah pertengahannya? Sudah tentu banyak halangan, suka dan duka yang bakal kita laluinya. Berbalik kepada tajuk ‘Ahsanul Qasas’ yang bermaksud sebaik-baik kisah. Iaitu kisah seorang Nabi Allah yang bernama Yusuf a.s.

            Ketika kecilnya, anak kesayangan sang ayah ini diajak oleh saudaranya yang iri hati untuk keluar bersama-sama. Namun ketika itulah, Nabi Yusuf a.s dihumbankan ke dalam perigi. Satu ujian ketikanya masih kecil. Tetapi, kisah Baginda tidak hanya terhenti di situ. Ditakdirkan datanglah beberapa pedagang menyelamatkan dari perigi itu. Di bawanya ke pasar, dijual pula Nabi Yusuf a.s sebagai hamba kepada al-Aziz (peguasa negeri). Namun, atas kebijaksanaan yang dikurniakan Allah kepadanya, Yusuf a.s berhasil menjadi penasihat kepada al-Aziz. Sekali lagi konflik berlaku apabila dia terkena tempias fitnah sang isteri penguasa. Lalu, masuklah dia ke penjara. Setelah 9 tahun berlalu, baharulah dia dibebaskan atas pertolongannya mentafsirkan mimpi sang raja. Dan akhirnya, dia diangkat menjadi peguasa negeri itu.

            Lihatlah dan amatilah kisah yang diabadikan Allah di dalam Al-Quran ini, bagaimana Nabi Yusuf a.s melalui fasa naik dan turun dalam hidupnya. Ada masa Allah mengurniakan rasa gembira tatkala menjadi anak kesayangan ayah, diselamatkan dari perigi, menjadi penasihat al-Aziz sebelum akhirnya menjadi penguasa. Namun disebalik itu Nabi Yusuf a.s telah melalui kisah yang sukar dalam hidupnya. Semua yang berlaku mempunyai sebab mengapa ia terjadi kepada seseorang. Seperti kisah Nabi Yusuf a.s, dia tidak akan ke Mesir dan menjadi penasihat al-Aziz jika tidak dibuang ke perigi. Baginda a.s juga tidak akan menjadi peguasa di Mesir. Firman Allah yang bermaksud :

“Oleh itu, maka(tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”(al-Insyirah 5-6).

            Kisah Nabi Yusuf a.s ini, ada plotnya, ada juga konfliknya dan ada pula klimaksnya. Apsek-aspek itulah yang menjadikan sesebuah kisah itu menarik untuk dibaca sehingga hujungnya. Begitulah Allah telah menyusun jalan cerita Nabi Yusuf a.s sebagai suatu tarbiyah untuk hamba-hambanya dan menjadi pengajaran kepada kita semua. Melalui kisah ini juga kita diajar bahawa pada pertengahan cerita, kita pasti diuji. Diuji bagi membuktikan apakah benar matlamat dan tujuan kita. Kita diuji dengan ketetapan hati dengan pelbagai halangan yang datang. Diuji sama ada mampu atau tidak untuk tetap bertahan dalam kesabaran. Semasa menghadiri satu daurah baru-baru ini, ustaz bertanyakan apakah beza antara sabar dan redha? Sabar ialah menahan diri dan Redha kita menerima setiap ujian yang menimpa kita . Kata Ustaz Nouman Ali Khan, ‘’Sabr is not remaining quiet and allowing anger to build inside you. Sabr is to talk about whats bothering you without losing control of your emotion’’.

            Maka seharusnyalah kita meyakini bahawa sepertimana Nabi Yusuf a.s, seluruh jalan hidup kita juga telah disusun dengan baik oleh Allah. Setiap pandangan Allah itu adalah yang terbaik dan pasti ada sesuatu yang Allah mahu ajarkan pada kita di sebalik apa yang berlaku. Sebuah kisah yang mana awalnya datang dari Allah, di pertengahannya sentiasa bersama Allah dan hujungnya akan kembali kepada Allah jua.

                                  Sebuah penulisan yang banyak memberi pesanan kepada diri sendiri.



Waallahu’lam
 Tinta Seorang Pencari
Kerana Cinta Dia itu Benar