Rabu, 19 Oktober 2016

Siapa Aku?

Siapa Aku?

Assalamualaikum,


Cuba bayangkan, semasa berada di persimpangan jalan menuju ke sesuatu tempat tanpa ada sebarang bantuan dan petunjuk hanya kiri atau kanan yang menjadi pilihan ketika itu. Apa yang kamu akan lakukan?. Saya yakin banyak jawapan yang akan dilontarkan oleh kita bila di tanya sedemikian. Di sebalik sebuah peristiwa kita akan kenal siapa diri kita walaupun tidak secara mendalam cukup kenali dari isi hati.

Ada pepatah yang mengatakan ‘Jika hendak tahu kamu kuat atau tidak, berjalanlah seorang diri’. Kenapa ada sebaris ayat yang sedemikian?. Maksud ayat tersebut ialah sama juga dengan peristiwa di atas, bila kita berseorang yang tinggal kita dengan Allah pada masa itulah kita akan merasa untuk bertawakkal sungguh-sungguh denganNya. Jika sebelum ini bagaimana?. Tepuk dada tanya hati sendiri.

Pernah berlaku kepada penulis semasa tahun akhir di universiti, pada masa itu kalut hendak hantar thesis draft untuk viva dan ada beberapa masalah lain menyebabkan lewat sehari hantar berbanding orang lain. Cuba mencari inisiatif sendiri untuk memaklumkan kepada pensyarah yang menguruskan penghantaran thesis ini. Dalam hati, jika dia tidak meluluskan atau terpaksa mengulang semester untuk projek tahun akhir sahaja diri ini hanya menerima. Bertawakal kepada Allah, walaupun sepahit mana kata-kata yang dilemparkan oleh orang lain kepada kita. Tapi dengan izin Allah dapat lalui viva dengan baik dan bergraduasi pada September lepas. Mungkin cerita ini hanya biasa sahaja, tapi bagi sesiapa yang melalui saat dimana kamu sungguh-sungguh bertawakal, kamu akan memahami.

Belajarlah untuk mengenali diri kita yang sebenar bukan hanya boleh berbicara tentang orang lain. Bukan mudah hendak mencari identiti diri sendiri bila kita dihalang dengan pelbagai dugaan yang mendatang. Semakin kita bertambah usia, semakin banyak benda yang kita belajar untuk memahami erti kehidupan. Jangan pernah halang diri untuk menidakkan setiap yang kamu jumpai, setiap langkah perjalanan yang dilalui dan setiap baik dan buruk yang kamu dapat sepanjang kehidupan ini.

Ada insan yang Allah kurniakan rezeki melimpah ruah kepadanya, ada orang Allah hantarkan ujian kepadanya dengan bertubi-tubi, ada juga yang Allah bungkuskan rezeki disebalik sebuah ujian. Pelbagai resam kehidupan yang kita akan lalui dan yang datang silih berganti. Pada suatu hari nanti pasti akan tinggalkan kita dan kita juga akan meninggalkan orang disekeliling ini. Sebelum berakhirnya sebuah perjalanan buatlah sesuatu yang akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti. Tinggalkan satu kisah perjalanan yang menjadi contoh kepada yang lain. insyaAllah.

                        ‘Everything is Powerless without Allah’
            Kebergantungan kita dengan Maha Pencipta kita sungguh kuat tambahan apabila kita dalam keadaan yang sangat memerlukan. Pernah kamu rasa pada saat ketika kalau bukan Allah yang tolong siapa lagi yang tolong kita?. Diberi sebuah buku sebagai hadiah konvokesyen yang bertajuk ‘Bahagia Bukan Gembira’. Apakah makna tajuk sebuah buku itu?. Kandungan buku tersebut banyak menceritakan tentang pengalaman dan kisah hidup penulis dari kecil sehingga dewasa yang berkisar jalan perjuangan dan kemanusiaan.

Saya petik kata-kata dari buku tersebut ‘Bahagia, bukan sekadar gembira, tetapi ia adalah suatu masa dalam jiwa yang tidak perlu dijaja dan dipamer ke seluruh dunia. Memberilah sebanyak-banyaknya lalu kita akan dapat rasakan bahagia!. Memberilah dengan sebanyak-banyaknya tapi memberi apa?. Adakah dengan wang ringgit, kerahan tenaga atau memberi kata-kata yang positif untuk mereka?. Apa sahaja yang kita berikan kecil atau besar nilainya memberilah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan atau penghargaan dari mana-mana pihak. Jika kita berharap tapi tiada apa-apa yang kita dapat,apa yang kita akan rasa? Ya, akan rasa kecewa dengan sebuah penghargaan.

Akhir kalam, jom sama-sama kita perbaiki diri untuk memahami tujuan kita hidup di dunia ini. Kita tidak hidup berseorangan, ada insan-insan disekeliling kita yang sentiasa bersama. Saya tinggalkan dengan kata-kata dari penulis buku Bahagia Bukan Gembira.

‘Adakah orang yang punya banyak masa lapang lebih bahagia daripada orang yang sibuk? Adakah orang yang ekstra pandai lebih bahagia daripada orang yang kurang pandai?atau....sebaliknya?’

‘Kita yang mencorakkan siapa kita dengan keputusan yang kita sendiri buat’


Jumaat, 20 Mei 2016

DOA

Nothing proves that you love someone more than mentioning them in your prayers
 (Dr Bilal)



Doa,
Mampu membuat kamu kuat juga bisa membuat kamu lemah,
Kuat kerana kamu berpegang pada pengharapan itu,
Lemah kerana kamu mudah berputus asa,
Doa,
Pada siapa kamu sandarkannya?
Untuk siapa kamu berdoa?
Untuk apa kamu berdoa?
Fikirkanlah,
Doa,
Berdoalah dengan penuh pengharapan,
Mungkin suatu hari doamu akan dimakbulkan,
Jika tidak dimakbulkan ada yang lebih baik mendatang,
Berdoalah supaya kita sedar kita ada Allah yang Maha Memahami,
Doa,
Sandarkan segala pengharapamu,
Mohon diampunkan segala dosamu,
Minta supaya diberikan petunjuk dan hidayah,
 Doa,
Ucapkan segala kerinduanmu,
Sebutlah nama itu dalam doamu,
Supaya dia jua merasa doa itu,

Moga dengan doa membuatkan kita seorang hamba yang lebih baik untuk Penciptanya,
Moga cinta kita kepadaNya terus mekar,
Berdoalah kerana harapan itu sentiasa ada untuk kita,

insyaAllah

Isnin, 25 April 2016

Secebis Harapan Untukmu

SECEBIS HARAPAN UNTUKMU

Assalamualaikum :)



 InsyaAllah, akan dikongsikan beberapa pesanan dari seorang naqibah kepada kami semua yang akan melalui dunia yang lebih mencabar dari alam kampus.

 Berkata Imam Hasan al-Bashri :
إنّ العَبْدَ لَا يَزَالُ بِخَيْرٍ مَا كَانَ لَهَ وَاعِظُ مِنْ نَفْسِهِ، وِكِانَتْ المُحَاسِبِةُ هِمَّتَهُ.
            “Sesungguhnya seorang hamba akan selalu dalam keadaan baik selama dia mempunyai penasihat dari dirinya sendiri dan selalu bermuhasabah diri". 

Semenjak kita di lahirkan ke muka Bumi ini apa yang telah kamu Muhasabah tentang diri kamu sendiri. Bagi ku terlalu banyak dosa yang telah ku lakukan. Lihat sahaja bagaimana Allah mengaturkan kehidupan ini. Ada yang kamu inginkan dan ada yang kamu tak ingin. Bila jiwa dan hati itu telah lelah untuk menghadapi pelbagai ujian kehidupan, tentu sahaja kita akan muhasabah diri. Kenapa perlu muhasabah diri?. Muhasabah diri itu kamu akan mengenali kembali siapa diri kamu selama ini. Selain dapat mencari dimana silap kita dalam perjalanan menuju cinta Allah juga dapat mengembalikan kekuatan diri itu sendiri. Cuba muhasabah diri. Kamu akan temui kekuatan yang ada dalam diri mungkin kekuatan yang telah lama tersimpan. Muhasabah cintaku.

Lihat ketika mana mata terbuka dari lena apa perkara pertama kita akan buat? Mengucap syukur atau mencari telefon?. Ketika kita hidup menghirup udara yang segar setiap hari adakah kita bersyukur dengan pemberian itu?. Disaat kita mampu untuk menyuapkan makanan ke mulut adakah kita bersyukur dengan nikmatnya?. Terlalu banyak nikmat kurniaanNya kepada kita namun jarang sekali bersyukur malah meminta-minta. Muhasabahlah.

Titipan kasih yang kedua tentang Kebaikan. Apa yang dimaksudkan dengan kebaikan itu sendiri?. Selalu dengar pesanan buatlah kebaikan kerana kebaikan itu yang akan kita bawa untuk masuk ke Syurga Allah. Kebaikan itu sendiri terlalu subjektif untuk ditafsirkan dengan penulisan dan kata-kata. Secara ironinya, kebaikan itu seperti menolong orang lain atau memudahkan kerjanya, menghulurkan bantuan berupa wang, barang keperluan dan sebagainya atau menyumbangkan tenaga dalam kerja-kerja kebajikan. Aktifkan diri dalam kerja kebajikan seperti pergi ke rumah anak-anak yatim ataupun rumah orang tua. Libatkan diri bersama NGO luar untuk mencari pengalaman dan makna sebuah kehidupan. Bawa pulang kebaikan dari mereka dan sumbangkan kudrat yang kita ada untuk mereka.

Dalam kehidupan ini kita tak akan lari dari berjumpa dengan orang lain. Hidup dalam komuniti kehidupan bermasyarakat mengajarkan kita erti saling memerlukan. Bertemu dengan ramai orang dari segenap lapisan masyarakat. Pandang mereka dengan pandangan mata hati dimana nilailah seseorang itu dengan kebaikan yang dilakukannnya bukan dengan mudah menghukum. Walau dia hanya seorang seorang anak kecil atau seorang orang tua yang tiada upaya dan meskipun dia hanya seorang pemuda yang jiwanya kontang. Siapapun mereka bagi kita belajarlah sesuatu daripadanya ada sesuatu Allah ingin kita belajar. Jika tidak mengapa kita berada ketika situasi itu berlaku?. Mengapa Allah gerakkan hati dan anggota badan kita untuk berada di sana?. Fikir, cari lah ibrah yang ada dalam diri setiap insan itu, jangan mudah menghukum orang lain apatah lagi dia seorang yang kita tidak kenali.


Akhir kalam, bangunlah dengan hati yang hidup untuk menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Senang diungkap tapi susah pada perbuatannya. Pegang pesanan ini hingga ke akhirnya,insyaAllah. 

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." (Surah Al-Ankabut ayat 64).