Ahad, 11 Mei 2014

Kad Jemputan Emas..


Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
[SURAH AR-RA’D 13:19]

          Syukur kepada Allah masih memberi peluang kepada saya untuk terus menulis. Syukur juga masih diilhamkan idea-idea untuk menulis, mungkin untuk dakwah dan juga tarbiyyah. Cita-cita seperti APG. Hahahaha Angan-angan besar. Terima kasih kepada pembaca yang masih lagi setia mengikuti ruangan blog ini. Sentiasa bersama dalam naik dan juga turun reputasi blog ini.

          Kali ini, sengaja memilih tajuk yang bunyi hebat, tapi belum pasti lagi isinya hebat juga atau tidak. Terpulang kepada pembaca untuk labelkan tajuk ini sebagai sempoi atau fuyyoo atau budak-budak sekarang ini suka guna osem. Kesimpulannya tajuk kita hari ini dengar sungguh osem (hehe). Kan?? Semoga dengan bersahaja dan gaya santai ini dapat membuat pembaca senang untuk menerima isi kandungan entry ini.

          Sekarang ini ditempat yang penulis sedang belajar, rata-rata sibuk dengan dinner. Macam-macam dinner,Dinner school, dinner untuk kos, dinner untuk persatuan dan lain-lain lagi. Tapi saya tidak cukup hot untuk terima kesemua jemputan jamuan makan malam itu. Hanya beberapa sahaja yang perlu pergi. Salah satu daripada event itu saya sendiri yang menguruskannya. Oleh sebab itulah datangnya idea untuk menulis entry ini.

          Bila kita bercakap tentang dinner, pasti ada sangkut paut dengan kad jemputan, dengan makan-makan, dengan persembahan, dengan pakaian yang hebat-hebat yang cantik-cantik dan pelbagai lagi. Cuba lihat disekitar kita, disekeliling kita, apakah yang selalunya terjadi apabila kita dan juga mereka yang lain menerima kad jemputan atau jemputan untuk menghadiri majlis seperti ini. Saya yakin, daripada pihak pengurusan sehinggalah mereka yang hadir sebagai peserta akan mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk majlis itu.

          Mari kita focus kepada mereka yang akan hadir pada majlis itu. Semestinya mereka akan datang dengan berpakaian yang kemas, kelihatan kacak dan juga cantik pada malam itu. Sudah pasti mereka akan meluangkan sedikit masa untuk membuat persediaan untuk majlis itu.

Kalau orang perempuan lagi, nak pilih baju saja dah berminggu-minggu kan? Eh? Itu baru baju, belum kira tudung dan accessories lain. Bunyi macam kereta pula “accessories”. Hehe

Itu baru jemputan majlis makan malam yang hanya diadakan oleh pihak dalam university, belum lagi orang-orang besar, orang-orang kenamaan seperti menteri-menteri ataupun Perdana Menteri ataupun Raja-raja ataupun Sultan yang menjemput. Jika itu terjadi, sudah pasti lebih dan lebih lagi kita akan mempersiapkan diri kita untuk majlis itu. Sudah tentu kita ingin kelihatan yang terbaik pada malam itu. Sanggup menghabiskan sedikit wang demi kelihatan cantik, kacak pada majlis kebesaran itu.

Focus saya hari ini ialah persediaan kita menghadapi seseuatu yang besar dalam hidup kita. Sesuatu yang sangat-sangat bermakna dalam hidup kita. Kalau sentuh pasal majlis perkahwinan buat panjang entry je, tidak perlu cerita pun orang boleh faham kan…

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
[SURAH AL-ANFAL 8:24]

          Lihat pula bagaimana kita menyahut seruan atau jemputan daripada Yang Maha Kuasa. Mungkin konteks di negara kita ini apabila sebut jihad, orang tidak Nampak untuk keluar berperang. Lihatlah maksud jihad secara amnya iaitu menegakkan agama Allah, menegakkan yang haq dan meruntuhkan yang batil. Pelbagai perkara yang kita boleh buat untuk menegakkan agama Allah. Menuntut ilmu dan juga menyebarkan ilmu untuk perkara kebaikan juga boleh. Namun kebanyakkan daripada kita tidak mahu menerima seruan atau jemputan ini dengan pelbagai alasan. Hendak sebarkan kebenaran juga risau. Tidak mahu membuat persediaan untuk seruan ini.

          Sebagai seorang Muslim, pasti kita tidak asing lagi dengan seruan azan. Seruan azan yang bukan sahaja menandakan masuknya waktu untuk solat, malah seruan azan juga seperti kad jemputan untuk kita menghadiri solat Jemaah. Alhamdulillah, bagus bagi mereka yang bersiap sedia, berpakaian cantik dan bersih serta berwangi-wangian untuk pergi menunaikan solat berjemaah di surau-surau dan masjid-masjid. Namun ada juga yang langsung tidak mengendahkan kad jemputan yang telah diberikan kepadanya.

          Kad jemputan emas, dipilih sebagai tajuk kerana kad jemputan merupakan sesuatu yang digunakan untuk menjemput seseorang ke majlis. Emas pula saya ingin melambangkan sebagai sesuatu yang sangat berharga. Apabila barang itu berharga sudah pasti ia sangat penting. Apakah ada lagi jemputan yang sangat berharga selain daripada jemputan daripada Pencipta kita? Saya biarkan pembaca untuk menjawabnya dengan sendiri.

          Mungkin seruan jihad, mungkin panggilan untuk solat kita mampu mendapat berita lebih awal untuk siapkan diri. Tetapi ada satu jemputan yang lebih besar dan amat merisaukan semua orang, iaitu jemputan untuk ke alam yang seterusnya, MATI. Dia tidak hadir memberitahu bahawa kita akan pergi esok hari atau lusa atau minggu depan, tetapi bila tiba masanya pasti kita akan pergi. Tidak mempunyai masa untuk mempersiapkan diri seperti mana jemputan yang lain-lain itu.

          Sementara masih mempunyai nyawa, inilah masanya untuk kita bersiap sedia untuk menghadapinya. Kad jemputan yang tidak mungkin kita mampu tolak lagi. Mahu atau tidak, kita perlu pergi berjumpa dengan-Nya. Bersedia atau tidak, kita tidak mempunyai pilihan ketika itu kerana kita sudah diberi peluang sekarang.

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
[SURAH MUHAMMAD 47:7]


~Khas untuk diri sendiri~
~Tinta Seorang Musafir~

~Wallahua’lam~

Khamis, 1 Mei 2014

Kill Your Darling,


Assalamualaikum [53]


Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Pernah kita mendengar sesuatu yang kita cintai atau suka menjadi sebab ujian daripada Allah, jesteru cintailah sesuatu berpada-pada, bila Allah uji kita dengannya,kita tidak terlalu jatuh.

Walaupun penulisan yang saya cuba bawakan di blog ini kadang kala ada konsep yang hampir sama dan pengisiannya sama tetapi tajuk yang berbeza ini sebuah perkongsian untuk semua. Belajar untuk memberi walaupun diri sendiri belum tentu mampu untuk bertindak sedemikian, medan ini pesanan untuk diri sendiri dan semua. Moga Dia redha dengan usaha yang tidak seberapa ini.

Kenapa tajuk yang dipilih, Kill your darling? idea ini datang ketika membaca sebuah buku dari Ustaz Pahrol [Dimana Dia Dihatiku?]. 

Kita perlukan orang untuk menyunting karya kita. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik mintalah orang yang 'tidak suka' kan kita. 'Kill your Darling', itu istilah yang selalu digunakan dalam dunia penulisan .Hasilnya, penulisan kita kan menjadi lebih baik,bernas dan tepat. Bukan bermakna bila kita pinta pendapat yang dekat yang kita tidak membantu, tidak sama sekali ! 

Teman, kekadang dalam kehidupan kita juga begitu. Sentiasa ada individu, sikap, pendirian, atau pandangan hidup yang kita anggap benar tetapi hakikatnya tidak. Walaupun kita cuba bermunasabah diri, ia tidak cukup mampu untuk kita mencari kerana sudah terlalu dekat dengan diri kita, sebab yang dekat itu akan membutakan kita untuk melihatnya. Mungkin ia sebuah buku yang kita bawa kemana sahaja kita pergi , lalu pengarangnya kita sanjung. Namun hakikatnya, buku itu membawa kita jauh dari rahmatnya, tersasar dari membawa kita di jalanNya. 

Mungkin, apa yang kita minati bukan itu yang terbaik untuk kita. Allah sebaik-baik perancang. Belajar dari kisah Nabi Ibrahim a.s yang terpaksa mengorbankan cintanya kerana perintah Allah. Allah menguji agar mengutamakan cinta Allah daripada yang lain yakni diperintah mengorbankan 'kecintaan' di wajah anaknya sendiri. Carilah semua siapakah 'Ismail'-Ismail' dalam hidup kita, ada tapi sungguh sukar. Carilah semua itu di sebalik sebuah pendirian, prinsip, gelaran, jawatan, amal, teman dan segala yang menjadi kesayangan kita.

Sentiasa 'sunting' lakaran kehidupan kita selama perjalanan ini. Imbas dan suluh dengan doa semoga Dia tunjuk yang terbaik untuk kita semua. Mudah-mudahan Allah kan mengurniakan jiwa yang kuat, hati yang tabah seperti Ibrahim a.s, Kill your Darling dalam kehidupan !

Kita memang layak diuji, layak untuk diketuk pintu hati. Allah mengajarkan kita untuk Kill your Darling bukan untuk mendera, tetapi begitulah yang dinamakan cinta yang sentiasa menagih ujian. Sama-sama kita sunting untuk menjadi lebih baik, walaupun persekitaran kita tidak mampu untuk membantu, carilah diri kita dalam persekitaran tersebut untuk terus kuat. Kadang mengambil sikap berdiam diri itu lebih baik, namun sampai di satu tahap kita perlu bangun. 

Apa jua yang berlaku 'Back to Basic',
Mungkin Allah ingin menguji kerana kesilapan kita juga,
Belajar dan terus belajar,


waallahu'lam,

Sabtu, 26 April 2014

Kita Semua Pejuang...


Assalamualaikum [52]



Alhamdulilah,

Di sebuah perjalanan mesti dimulakan dengan langkah pertama bukan,seorang kakak pernah berkata jika titik permulaan itu baik,niat kita baik,ibrahnya untuk semua insyaAllah pengakhirannya juga baik. Sebagai seorang pelajar menuntut ilmu adalah yang paling hampir dengan kita. Dimana sahaja kita berada, jadilah seorang yang pandai menilai setiap yang berlaku. Perjalanan menuntut ilmu sering kali berliku dan menyukarkan. Masakan tidak, permulaannya sahaja kita perlukan kewangan untuk menampung kos pengajian. Bagi yang Allah memberikan mereka rezeki untuk mendapatkan biasiswa gunakanlah dengan sebaiknya. 

Pesan pada diri, segala pengorbanan ini dilihat sebagai jihad dan perjuangan kita dalam meraih reda Allah. Bahkan, jihad ini setaraf dengan jihad di medan peperangan iaitu perjuangan dalam menuntut ilmu. 
Daripada Abu Darda' r.a berkata :

"Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :
'Sesiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga'.

Kita semua pejuang di medan ilmu, seorang ahli tafsir; Abu Bakar al-Jaza'iri berpendapat kelebihan antara menuntut ilmu dengan jihad di jalan Allah itu sama darjatnya, dengan syarat kedua-duanya mesti berlandaskan niat yang ikhlas dan baik.

Allah s.w.t juga mengiktiraf para penuntut ilmu menerusi firmanNya : 'Dan tidak patut bagi setiap yang beriman keluar semuanya(pergi berperang). Maka, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap kumpulan antara mereka untuk mendalami ilmu agama dan mengajar kaumnya apabila mereka dapat berjaga-jaga."
[Surah al-Tawbah 9:22]

Maksud ayat di atas,menjelaskan bahawa komuniti Islam terbahagi kepada 2 kelompok.
  1. Mereka yang pergi berperang mempertahankan agama Allah.
  2. Mereka yang pergi 'berperang' menuntut ilmu Allah (ilmu agama mahupun akademik)
Setiap daripada kita mempunyai kepakarannya yang tersendiri, ada yang berkemahiran dalam strategik peperangan, tangkas bermain dengan senjata, bijak dalam menangani musuh. Tapi, ada satu kelompok lain yang pergi menuntut ilmu dalam pembuatan senjata, baju besi dan sebagainya. Tujuannya, apabila mereka yang berperang pulang, mereka yang menuntut ilmu itu akan mengajarkan pula kepada yang lain.

Dewasa ini, terlalu banyak yang berlaku sebagai contoh isu kalimah Allah, isu Hudud, isu ada sesetengah pihak yang terlalu lantang bersuara tanpa ada ilmu yang kukuh, isu Syria, Palestin , Mesir yang kita sendiri tidak tahu bila kesudahannya. Bukankah kita memerlukan ilmu untuk kita bercakap tentang isu-isu di atas. 

Seorang mujahid pernah berpesan kepada seorang ustaz ketika melawat mereka di Syria. Dia berkata kalian di sana jangan risaukan kami , kami di sini telah dipilih oleh Allah untuk berjuang di jalanNya. Kalian di sana hanya bantu kami dari sumber lain seperti kewangan, makanan, tempat tinggal , perubatan dan sebagainya. Paling penting Doa. Boleh kita kaitkan dengan ayat cinta Allah dalam surah a-Tawbah tadi.

Kita semua pejuang, dengan syarat kita boleh sumbangkan sesuatu untuk Islam untuk agama kita sendiri. Medium yang cuba saya lakukan sekarang mengikuti usrah dan menulis di blog sendiri. Terlalu banyak medan yang saya sendiri belum lalui. Orang lain telah maju ke hadapan dengan kumpulan mereka. Memang tak cukup dengan ini sahaja. Perjuangan kita di medan ilmu jauh lebih senang jika ingin dibandingkan dengan perjuangan mereka di medan peperangan. 

Kita melalui jalan yang berbeza, dengan tarbiyah yang berbeza, dengan ujian yang berbeza tapi destinasi akhir kita tetap sama. Tempat pertemuan akhir kita sama. Jom, sama-sama kita audit diri. Erti hidup pada memberi. Memberilah walaupun sedikit, mungkin dengan sedikit itu akan membantu kita di sana nanti. Percayalah, kita akan senang melihat orang yang kita tolong gembira. Mungkin ini yang terakhir dari kita. 

Akhir kata, kita semua pejuang. jangan pernah rasa ini tanggujawab golongan tertentu sahaja. Dimana sahaja kita berada memberilah. Kadang kita tak disukai tanpa sebab tapi jangan sampai Dia tak 'suka' dengan kita. Itu yang tidak membawa makna dalam hidup kita sebenarnya. 

Teruskan perjalanan,


Tinta Seorang Pencari...

Selasa, 15 April 2014

Pilihlah Aku untuk Ikhlas.


Assalamualaikum [51]


Silih Ganti Rasa

Allah...
dalam letih aku merintih
kelemahan dan kelalaianku
alpa dan dosaku
aku lemah tak berdaya

Allah...
dalam suka dan duka
tangis dan tawa
melimpah rahmat dan nikmatMu
aku syukur dan akur
lupa aku mengenangkanMu
dalam sibuk dunia yang gawat

Allah...
ampunilah hatiku yang pilu
tak endah bila menadah
akan kebesaranMu
ingatkan daku
agar mengingatiMu

Allah...
berikanku kekuatan
kerana kesalahan diriku
sungguh aku sedar dunia ini hanya sementara
akhirat itu yang abadi
berikan aku CintaMu

Allah...
Pilihlah aku untuk Ikhlas
ikhlas dijalan yang aku pilih sendiri tanpa dipaksa
redhai perjalananku
walaupun ada yang tidak pandang
kerana ini yang aku pilih


**********




Pesan Imam Ghazali ketika muridnya bertanya 'Tuan,bagaimana keadaanku ketika mulutku berzikir tetapi hatiku masih lalai?'. Lalu Imam yang arif berkata, 'Teruskanlah berzikir walau hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada berkata-kata yang kotor dan sia-sia'.

Kisah Abu Hurairah pula bertanya kepada Nabi Muhammad saw tentang seorang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri. Lalu Rasulullah menegaskan solat orang itu lambat laun akan menghilangkan tabiatnya yang buruk itu.

Sungguh ku hanya insan insan kerdil di lautan rahsia ikhlas yang sangat dalam. Bukan ini bangga diri dengan diri sendiri kerana itu akan menjatuhkan. Yang menerjah ku percikan ombak di permukaannya. Yang memberi nasihat, yang selalu menegur. Semoga Allah sentiasa menjagamu. Ketika ku keliru Dia ada bersamaku.

Hanya Engkau yang berhak memlilih sesiapa untuk dianugerahkan rahsia ikhlas itu. Padaku hanya takdir. Bantuku untuk menyelusuri takdir ini dengan bantuanMu. Pilihlah aku untuk ikhlas walaupun kutahu ikhlas itu sangat rahsia.

Betul,hati kecil kita tidak pernah menipu, dengar apa kata hati, niatnya ikhlas kerana Allah. Segala yang kita buat letak Dia ditempat yang utama. Ini amanah, Ini tanggujawab, Ini jalan yang dipilih. Moga diberi kekuatan. 

Bukan mudah untuk mencari ikhlas. Semakin dicari terasa semakin misteri. Memang, ikhlas itu rahsia dalam rahsia Allah. Kekadang begitu ikhlas hati ketika dipermulaan ,namun dipertengahan kecundang oleh sesuatu selain Allah. Jangan mengukur kesempurnaan dipermulaan perjalanan, takut nanti jatuh kecundang. Tabah, kerana ini tidak mudah.

Ikhlas,
Tidak mengapa jika tidak dikenang,
asalkan segalanya memberi satu ketenangan,
menyebut kebaikan meragut keikhlasan,
bukan kerana kelebihan kita,
kekadang datang jua serpihan 'bangga' dalam diri,
mengharapkan ganjaran,
pujuk rasa hati,
 semua datang dari Dia,
maaf.


Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 245.

Yang bermaksud: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.



tinta seorang pencari,
hambaMu,

Jumaat, 11 April 2014

Mencintai Yang Tidak Terlihat


 Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
[Ar-Rum : 21]

          Saya mulakan perbincangan hari ini dengan kalimah yang mulia, bismillahir rahmanir Rahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Pertama sekali, marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana Dia memberikan kepada kita nikmat yang agung iaitu nikmat Iman dan Islam. Seterusnya Dia jugalah yang memberi kehidupan serta rezeki yang ada di atas muka bumi ini. Terima kasih kepada Allah memberi kudrat, kekuatan dan kemampuan kepada saya untuk menulis entri ini.

          Sengaja saya ingin membawa tajuk yang mempunyai perkatan “cinta”. Seperti mana kata saudara-saudara (ikhwah) di page troll tarbawi, orang kita ini suka dengan benda-benda yang ada kaitan dengan “cinta”. Ceramah atau program yang tajuknya mempunyai perkataan “cinta” pasti ramai anak muda yang akan menghadiri majlis itu. Jadi dengan harapan pemuda pemudi membaca entri ini, saya juga cuba menggunakan pendekatan yang sama. Cinta dalam tajuk ini bukan semata-mata cinta kepada pasangan, insyaAllah (dengan izin Allah) saya cuba membawa skop perbincangan cinta ini lebih daripada itu.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
[at-Taubah : 24]
  
          Pertama sekali, pernahkah sesiapa di sini (yang membaca) yang pernah bertemu dengan Allah? Saya berani jamin belum ada sesiapa pun yang pernah bertemu dengan Allah. Hanya Nabi Muhammad SAW sahaja yang diberi kelebihan dan kemuliaan untuk berada dekat dengan-Nya (Aisyah r.a, isteri Nabi menafikan baginda bertemu dengan Allah ketika israk mi'raj). Namun begitu, hamba yang mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya merupakan seseorang yang sangat mencintai Allah walaupun tidak pernah bertemu. Itulah yang saya ingin maksudkan di sini berkenaan dengan tajuk kita. Mencintai sesuatu yang kita sendiri belum pernah melihat.

          Kerana cinta, hamba itu terlalu mencintai Sang Penciptanya, maka segala yang disuruh pasti akan dituruti. Bukan sahaja melakukan perkara yang wajib, malah dia juga akan melakukan perkara yang sunat. Disebabkan cinta kepada Sang Penciptanya, seorang hamba sanggup mengorbankan hartanya demi menegakkan agama Allah, seorang hamba sanggup mengorbankan waktu lapangnya demi menyebarkan agama Allah, seorang hamba sanggup bangun malam mengorbankan tidur nyenyaknya untuk berkhalwat dengan kekasihnya Yang Maha Agung. Begitu indah bagi mereka yang sangat menjiwai cinta kepada Allah.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Ali Imran : 31]

          Antara manusia yang kita (zaman sekarang) tidak pernah bertemu tetapi mengakui mencintainya ialah Nabi Muhammad SAW. Para sahabat sangat beruntung dapat bertemu dengan baginda. Namun kita juga ummat yang beruntung kerana Nabi juga merindui kita. Kita tidak pernah melihat wajahnya, apatah lagi melihat baying-bayangnya, tetapi nama baginda sangat dekat di hati kita. Mencintai baginda bukan hanya dengan sekadar mengakui perasaan itu, bukan hanya sekadar mengucap namanya selalu, bukan juga sekadar berqasidah mahupun bernasyid, tetapi mencintai baginda hendaklah mengikut jejak langkah baginda.

          Sunnah baginda kita amalkan, akhlak baginda kita contohi, syariat yang dibawanya kita sebarkan, dan yang paling penting dakwah baginda kita teruskan. Sirah kehidupan baginda; dari kecil sehingga wafat, dari manusia biasa sehingga menjadi rasul, ketika susah dan senang baginda dan sewaktu dengannya perlulah kita pelajari dan hayati agar cinta kita kepada baginda benar-benar cinta yang sejati. Agar cinta kita kepada baginda merupakan cinta yang sangat kukuh dan tidak akan pernah luntur. Mencintai baginda dengan cara yang sebenarnya.

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
[al-Baqarah : 25]

          Kita juga mencintai tempat yang telah Allah janjikan kepada mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh. Tempat itu adalah syurga. Tidak pernah melihat apakah itu syurga dan tidak juga pernah melihat apakah itu neraka. Sekadar mengetahui tentangnya daripada ayat-ayat yang telah diturunkan oleh Allah di dalam Quran. Oleh sebab yakin dengan janji Allah dan juga mencintai satu tempat yang memiliki suasana yang cukup indah, kita sangggup melakukan apa saja demi mendiaminya. Tidak mungkin tercapai akal manusia mengenai keindahan syurga dan semoga dengan khabar berita yang gembira ini membuat kita bersungguh-sungguh mencapai redha Allah dan merebut ganjaran-Nya.

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[al-Isra’ : 24]

          Perkara yang seterusnya yang kita telah cintai sebelum kita sempat melihatnya ialah kedua ibubapa kita. Mereka juga sama seperti kita, sudah mencintai bayinya yang masih ada dalam kandungan walaupun masih belum menatap wajah anaknya itu. Begitu indahnya cinta, tidak perlu bertentangan mata, tidak perlu menatap wajah, tetapi cinta sudah mampu dicapai. Oleh sebab mereka mencintai kitalah, mereka menjaga kandungan dengan baik sehingga lahirnya kita ke muka bumi ini. Tanpa kasih sayang mereka, tidak mungkin kita dapat melihat dunia pada hari ini. Cukup sekadar kita bayangkan pengorbanan mereka sebelum kita dilahirkan lagi, kerana sudah semestinya selepas kelahiran kita pengorbanan itu berterusan sehinggalah akhir hayat mereka.

          Rasanya cukup cerita pasal cinta. Kalau terlalu panjang nanti boleh jadi bosan. Kesimpulannya, ada yang mengatakan cinta itu hadir kerana mata bertemu mata dan kemudian turun ke hati, ada juga mengatakan cinta itu kerana pandangan yang pertama dan pelbagai lagi definisi-definisi cinta ini. Bagi saya cinta itu merupakan satu pancaindera yang tersembunyi. Dia ada dalam diri setiap daripada kita ini, tetapi tidak kelihatan. “Sixth-sense”.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
[al-Hujurat : 13]


~Cinta tiada rupa~
~Cinta ada rasa~

~Wallahua’lam~

Rabu, 9 April 2014

Siapa yang Menolong Kamu?



Assalamualaikum,
Alhamdulilah,

'Sekiranya Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu ,tetapi sekiranya Allah membiarkan kamu(tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu selepas itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.'
{Ali Imran,ayat 160}

Dalam kehidupan kita seharian kita memang tidak boleh dari bergantung kepada orang lain. Sejak dari kecil bergantungnya kita kepada ibu bapa sehingga sekarang. Tapi jangan kita lupa pergantungan kita terhadap yang Esa. Hidup kita bergantung penuh pada Allah. Sekiranya Allah tidak menciptakan kita, maka tiadalah kita. Sekiranya Allah tidak mengurniakan pelbagai nikmatNya kepada kita hari ini, maka hidup kita pun tiada apa-apa. Sedar ataupun tidak kita sering melupakan Dia. Sangat banyak nikmatNya yang tidak mampu kita hitung.

Kadang-kadang kita mengingkari nikmat yang diberikan kepada kita. Banyak kebaikan yang Allah swt anugerahkan untuk kita, tetapi kita pula menggunakannya bagi melakukan maksiat dan mungkar. Jika kita menliti kehidupan kita seharian. Perhatikan sekeliling kita dan belajar mengambil ibrah darinya. Lagak seorang anak kecil, gaya seorang pendidik, nasihat seorang Ibu, kuat seorang ayah, gagah seorang ikhwah. Jika terlintas di fikiran kita nak buat sesuatu yang tidak mendatangkan kebaikan fikir sejenak dan perhatikan alam ini. Kehidupan alam yang sangat mengikut segala perintah Allah. Tapi tangan-tangan kita yang mudah memusnahkannya. 

Oksigen dan segala jenis gas yang Allah ciptakan. Tidak pernahkah kita fikir sekiranya ada oksigen sahaja. Bagaimana pokok ingin hidup untuk melakukan fotosintesis? . Nitrogen, sekiranya tidak ada,tidak bolehkah? Allah telah ciptakan dengan sebaiknya. Sekiranya oksigen Allah tarik sedikit sahaja, kita semua mungkin tidak dapat bergerak lagi dia atas dunia ini. Dan yang mampu menjaga semua ini hanyalah Allah swt.

Sekirannya Allah membiarkan kamu?

Ajar diri kita untuk selalu bertawakal kepada Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Kita tentu tidak terbayang betapa huru-haranya hidup ini apabila Allah membiarkan kita mengatur hidup kita sendiri tanpa bantuan daripadaNya. Apabila dalam satu organisasi tanpa ketua yang memberikan yang baik kepada anak buahnya. Apa yang akan terjadi kepada organisasai tersebut? Banyak masalah yang akan timbul nanti. Samalah juga dalam konsep ini. 

Apabila ditimpa musibah atau masalah, kita pun tiada tempat mengadu kerana Allah membiarkan kita. Apabila kesempitan dan keadaan terdesak terjadi kepada kita,kita pun tiada tempat meminta kerana Allah tidak mahu melihat kepada kita lagi.

Pesan saya kepada semua juga diri ini, berdoalah selalu supaya Allah sentiasa menjaga kita, melindungi kita daripada masalah dan musibah. Jangan sampai Dia membiarkan kita sendirian. Ketika itu tiada siapa yang mampu menolong kita. Kalau ada yang sudi menegur dan memberikan nasihat terimalah dengan sebaiknya, jangan marahi mereka,jangan perli mereka. Siapa tahu dikemudian hari orang yang kita marah dan perli itulah yang sudi membantu kita, mungkin masa itu tiada lagi kawan baik, 'boyfrend', 'girlfrend'. Ingat Alalh sentiasa memerhatikan kita. Jika sekarang kamu boleh berbangga ada sudi 'protect' dikala orang lain memberikan nasihat yang baik, jangan kamu sedih jika suatu masa kamu 'di reject' oleh mereka kala kamu kesedihan. 

Jangan tunggu waktu terdesak.

Jangan jadi seperti Firaun, selepas berkali-kali diajak oleh Nabi Musa untuk tunduk kepada Allah swt, dia tetap tidak mahu tunduk. Ketika sudah hampir lemas dalam laut yang dibelah oleh Nabi Musa ,maka barulah ketika itu hendak beriman kepada Allah swt.

Walaupun Allah swt sudah tahu kesudahannya bagaimana. Kita sebagai umat akhir zaman ini perlu mengambil ikhtibar dari kisah-kisah terdahulu. Sementara, Allah swt masih memberikan kesempatan untuk hidup dan menikmati nikmatNya, manfaatkanlah segera mungkin untuk dekat dengan Allah swt.

Ingat, hanya Dia yang mampu menolong kita.
Jika kita lihat begitu banyak musibah yang Allah turunkan kepada kita,
Antara kita sedar atau tidak,
Ingin mengambil pengajaran atau tidak,
Terpulang kepada kita,

Muhasabah diri selalu,
Mungkin Allah swt hantarkan kepada kita kawan-kawan yang suka memberikan nasihat,tunjuk ajar kepada kita ataupun Allah tunjukkan kepada kita kejadian yang mampu membuka pintu hati kita.

Akhir kata,
Jangan pernah hilang harapan kepadanya,
Ingat Dia selalu dekat dengan kita,

Siapa yang menolong kamu?
Allah swt !



Isnin, 31 Mac 2014

Bukan Kerana Mereka Mahu



Alhamdulilah, 
Sekian lama meninggalkan 'dia',
Bukan tidak ingin menulis,
Namun ada yang lebih memerlukan,
InsyaAllah, entry kali ini ringkas sahaja tapi diharap pembaca dapat mengambil ikhtibar.

'Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal sepenuhnya, tetapi ianya datang semangat yang tidak pernah mengalah'

Kita beruntung dilahirkan dalam keluarga Muslim, yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan kita dan yang lebih beruntung kepada dari kecil lagi mereka di didik dengan Islam sepenuhnya tadika di tadika Islam, sekolah rendah dan menengah di sekolah agama, seterusnya menyambung pula pengajian ke timur tengah,belajar pengajian Islam. Mungkin Allah swt telah pun dalam kehidupan yang penuh tarbiyah,dakwah,usrah dan mendalami Islam serta memahami dakwah. Sungguh mereka beruntung. Mereka insan yang terpilih. 

Tetapi...

Mereka yang terpilih itu perlu faham mengapa Allah tempatkan mereka di tempat sedemikian di medan sedemikian. Dalam dunia ini kita semuanya tidak sama tidak seperti kita. Kadangkala, ada yang mereka pelbagai persepsi mengenai orang lain. Siapa kita nak menilai ? Ya, kita memang mudah menilai seseorang daripada luar bagaimana dia berpakaian,akhlaknya. Tidak salah itu.

Mungkin lahir dalam keluarga Muslim, tetapi ibu bapanya tidak memahami Islam sebagaimana ibu bapa kita. Membesar dalam suasana yang bukan biah solehah, seterusnya guru-guru yang mendidiknya tidak pernah memperkenalkan dengan Allah swt malah mengaitkan apa sahaja yang dipelajari dengan ciptaanNya. Dia pula tidak belajar dengan lebih mendalam agama Islam. Dengan cara kehidupan kita sekarang sungguh saya katanya amat bahaya jika seorang  yang mudah lepas tangan. Sering menyalahkan satu pihak. Jika melihat masalah sosial yang semakin meruncing salahkan ibu bapa salahkan individu itu. 

Mereka dan kita yang memahami Islam walaupun tidaklah sepenuhnya buat apa? hanya mampu melihat? hanya ada kelulusan sahaja? tanpa buat apa-apa? Nak sepenuhnya salahkan individu tersebut?

Jangan sesekali !

Sekiranya pendakwah, orang yang mengenali Islam hanya tahu hendak meninggalkan mereka hanya mampu duduk lepak dalam 'geng' mereka sahaja yang hanya tahu menyatakan mereka ini berdosa. Masalah ini tidak akan pernah selesai. Maka siapa lagi yang ingin menarik mereka ? Mengajak mereka sama-sama di jalanNya. 

Jangan pernah larut dengan kelebihan kita. Mereka dan kita yang lebih mengenali Allah sepatutnya lebih merendah diri. Saya tidak kata semua sebegini. Mereka memerlukan kita. Kadangkala, kita tidak sedar kalau bukan kerana kasih sayang Allah kepada kita, kita juga mungkin seperti mereka. Alhamdulilah, semakin hari semakin ramai yang mula memenuhi majlis ilmu,taman-taman syurga. 

Belajarlah untuk memahami, mendekati dan menyelami masalah mereka.

Dekati mereka, Berikan masa, Mencuba, Terus Mencuba.

Kerna diri ini juga masih belajar,
Belajar untuk memahami mereka,
Ku jua tidak 'setuah' mereka diluar sana yang banyak di jalan dakwah dan tarbiyah,
Bertuah nya kamu,
Allah telah memilih mu,
Bantu kami,
Bantu mereka,
Ukhwah itu,
 Bukan sekadar dalam usrah,
Bukan sekadar dalam 'family day',
Bukan sekadar 'coursemate',

Tapi,
Ukhwah itu bila kita saling membantu dalam sama-sama mengajak ke jalanNya,
Mungkin mereka tidak 'menjumpai' jalan itu,
Tidak kira siapa pun kita,
Pelajar sains, kejuruteraan, agama, doktor, 
Kita sama sahaja,


"Serulah ke jalan TuhanMu(Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahasalah dengan mereka ( yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya TuhanMu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dilah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk"

{Surah An-Nahl ayat 25}




Maaf jika ada salah silap,
Yang baik datang dariNya,