Ahad, 20 Julai 2014

Di Bawah LangitMu


الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم



Di Bawah LangitMu

[Assalamualaikum]

‘’Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka, sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Sering kali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan.’’

‘’Cuba bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit mula berubah warna. Kita melihat dan menikmatinya sehingga matahari itu hilang dari pandangan dan ketika itu warna jingga tiada lagi hanya gelap menjengah, muncul pula bintang dan bulan. Ketika melihatnya terbenam tidak pula kita berkata mengapa warna jingga?. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam. Hasilnya?. Kita tenang.


Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ daripada Allah. Lukisan takdir yang tidak dijangka dan tidak disangka. Sedangkan lukisan takdir itu juga datangnya daripada Allah. Tetapi, kita memilih untuk mengeluh dan resah gelisah. Manusia diciptakan dengan hati yang berbolak balik, kadang kala menyalahkan takdir dengan setiap yang berlaku. Allah berfirman :

‘’Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan di berasa keluh kesah. Dan apabila mendapat kesenangan dia sangat bakhil’’

[Surah al-Ma’arij 70:19-21]

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita hanya menerima, Dia yang memberi dan Dia Maha Mengetahui dan memberi yang baik-baik sahaja kepada kita. Hakikatnya, akal kita tidak mampu untuk mengetahui segala rahsia Allah yang diberikan kepada kita dalam bentuk kepahitan, kesakitan, kehilangan, kesedihan, kemiskinan. Kita hanya mampu menapis segala yang berada di hadapan kita bukan yang ada disebaliknya. Hati kita akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kemampuan kita.

Kadang kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku, namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah mengajar kita erti muhasabah diri. Cubalah pujuk rasa hati untuk bersangka baik. Tidak mudah bukan, tapi kita mampu. insyaAllah. Katakan pada diri : ‘ Aku harap yang baik, Allah akan memberikan yang baik’. Kerana Doa itu penyambung antara kita dengan Dia.

Di Bawah LangitMu, kita melihat pelbagai peristiwa yang berlaku sampai menitis air mata tak sanggup melihatnya. Hebatnya ujian yang Dia berikan kepada saudara kita di Palestine, saudara mara mangsa tragedi MH17, kepada ummah umumnya. Jangan mudah untuk menyalahkan sesiapa. Sebaliknya fikirkan apa yang Dia ingin kita ubah, perbaiki, tinggalkan. Doakan yang terbaik kepada yang terlibat dalam misi kemanusiaan, misi menyelamat di sana. Sebagai komuniti biasa jaga perkataan di alam maya atau dimana sahaja kita berada.

Seorang ahli hikmah, Ibnu Ata’illah as-Sakandari pernah berkata, ‘’Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah kerana pendeknya akal dan mata hatinya.’’

Maksudnya :
Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, kita perlu melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal ,agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.  

Empat jenis manusia apabila ditimpa musibah :

-Dia menyalahkan tuhan atas segala kesusahan.
-Dia bersabar atas segala ujian.
-Dia redha dengan kesusahan yang melanda.
-Dia bersyukur atas musibah yang kena pada diri (makam yang paling tinggi).

Moga kita dikurniakan hati yang kuat untuk menghadapi segala ujian yang diberikan olehNya. Kesenangan itu sebenarnya ujian yang lebih berat jika hendak dibandingkan dengan yang sebaliknya.

Allah berfirman dalam Surah asy-Syura 42:30

Ertinya : ‘’Dan apa sahaja musibah yang menimpa ke atas kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar daripada kesalahan-kesalahanmu’’.

-Hikmah itu tidak terhitung dan infiniti bagi kepada sesiapa yang ingin berfikir disebaliknya-


-Tinta Seorang Pencari-
-Kerana Cinta Dia itu Benar-

Khamis, 10 Julai 2014

'Disaat Itu'



[Assalamualaikum]


الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم

Disaat Itu’

Saat tinta ini ditulis saudara kita sedang diserang disana, berperang untuk menyelamatkan bumi Gaza.

Disaat kita sedang bergembira dapat berbuka dengan keluarga, ingatlah mereka mungkin tiada apa untuk dijamah sewaktu itu, 

Disaat kita sedang menangis kerana pasukan bola yang kita sokong kalah, mereka disana menangis kerana diuji begitu dasyat oleh Allah,

Disaat kita sedang membeli juadah untuk berbuka, mereka ‘dibayar’ dengan bedilan bom yang ganas,

Disaat ini anak-anak kecil mencari dimana ayah mereka, dimana ibu mereka, dimana keluarga mereka,

Disaat ini mungkin tiada lagi ketawa girang anak-anak, mereka hanya mampu menangis.

Disaat para pejuang mati syahid disana, dimana semangat perjuangan dalam diri kita?

Disaat kanak-kanak di Malaysia riang bermain mercun, anak-anak disana menangis kesakitan terkena serpihan bom,

Disaat kita hanya mampu melihat, berdoa dan menderma ingatlah saudaraku kami disini ada untukmu,

Allah memilih mereka untuk syahid di jalanNya pada bulan yang mulia,

Kita jangan lupakan mereka kerana darah yang mengalir dalam tubuh mereka sama dengan yang mengalir dalam tubuh badan kita. Darah Islam !.

Disaat Islam itu nampak kecil bagi anak-anak kita, Siapa yang perlu membentuk mereka?

Keamanan yang dicari bukanlah kemewahan, hiburan tapi kita mencari kedamaian dalam diri setiap Muslim itu sendiri,

Apabila ajaran Islam disisihkan bukan lagi menjadi rujukan, tiada nilai dinamakan negara Islam.

Disaat ini teruskan langkah wahai syabab pejuang, mereka dijanjikan Syurga Allah,

Begitu banyak petanda yang Allah tunjukkan kepada kita, apakah kamu melihat dengan mata hati? . Apakah kamu berfikir tentang kekuasaanNya?

Rahmat yang paling berharga yang diberikan kepada kita semua iaitu hubungan silatulrahim. Jagalah ia,semaikan ia dengan keimanan yang baik.

Disaat ini jangan rasa mulia diri bila dah peduli Palestin, jangan rasa dah hebat sangat bila asyik share/ menulis pasal Gaza.

Kalau nak betul-betul peduli, jangan BERMUSIM. Boleh?
Sama-sama kita dengan mereka di SYRIA,MESIR. Boleh?

Kita ini degil,tahu kenapa?
Berapa ramai yang masih beratur di McD?
Berapa ramai yang masih minum Coca-Cola?
Bukan kita tidak tahu,
Tahu bukan?
Memang benar kita tak mampu nak boikot semua perkara, yang mampu kita laksanakan,insyaAllah.
Mungkin ini salah satu langkah yang kita mampu ambil untuk saudara kita di sana,



Banyak persoalan yang saya tinggalkan di sini untuk kita sama-sama fikirkan,
Jangan hanya menjadi generasi yang tunggu untuk diganti dengan generasi lain tanpa mampu menyumbangkan sesuatu.

*pesanan untuk diri dan sahabat*
*selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat*
-Tinta Seorang Pencari-
10 Julai 2014
12 Ramadhan 1435

Selasa, 8 Julai 2014

Himmah Di JalanMu

[Assalamualaikum 57]




Himmah Di JalanMu

Alhamdulilah,

Apa khabar himmah kamu hari ini?

Apa itu himmah?

Himmah ialah kesungguhan dan jiddiah itu bermula daripada hati.

Dr.Abdullah ‘Aid Al-Qarni pernah menyebutkan:
‘ Sesiapa yang cita-citanya hanya untuk syahwatnya dan mencari kenikmatan hidup semata-mata, maka banyak kegagalan yang akan ditemui, terserlah kekurangan dan terdedah aibnya’

Jika kita ‘bedah’ kata-kata ini sebenarnya  banyak sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Sebagai contoh, sebuah pesanan jangan bertindak mengikut nafsu, nanti memakan diri. Sama juga dalam kehidupan ini,dengan setiap langkah yang kita ingin buat,fikirkan apa kesannya kepada kita diri dan orang lain.

Cita-cita yang benar dan matlamat yang jelas kerana Allah s.w.t . InsyaAllah Dia akan memandu kita bagi melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh. Saya ingin kongsikan beberapa kisah daripada buku ‘Keimanan Adalah Paksi’ yang banyak mengajarkan kita erti kegigihan dan semangat yang luar biasa dalam menuntut ilmu.

Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari satu hadith. Ibnu Hibban merekodkan hadith daripada 2000 orang syeikh dan mengarang kitab sahih sehingga menjadi kitab yang menakjubkan. Imam Al-Ghazali menghafal Al-Quran pada usia enam tahun dan menjadi ulama besar yang mengajar ulama seluruh negara pada usia Sembilan tahun.

Inilah sesuatu yang mustahil sekiranya kita ingin lakukannya. Apakah rahsia mereka sehingga begitu hebat dan luar biasa dalam beramal? Jawapannya ialah ada pada apa maksud Himmah itu sendiri seperti yang telah saya utarakan pada awal penulisan. Inilah tapak asasnya dan paksinya.

Lihatlah pula Para Sahabat Nabi s.a.w. 

Abu Bakar as-Siddiq. Ketika awal Islam diajar, beliau dengan beraninya membacakan Al-Quran di hadapan kafir Quraisy hingga menyebabkan beliau dipukul dan dibelasah sehingga pengsan. Kisah Khabbab Ibnu Arat, kepalanya pernah dijamah dengan besi panas yang dilakukan oleh tuannya sendiri. Sehingga beliau pernah rasa tidak tertahan lagi dengan ujian yang menimpanya dan mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah s.a.w memujuk beliau untuk terus bersabar dan beliau bersabar.

..........................................

Mungkin cara kita berbeza dengan mereka, namun kita membawa tujuan dan menuju destinasi yang sama. Apa yang terjadi dengan masyarakat kita sekarang? Mungkin ada yang mengambil tahu dan bertindak, tahu tapi hanya memerhati, tahu tapi buat-buat tak tahu...Ehh?. Isu gelandangan, isu dua imam serentak menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan ketika solat fardhu dan terawih, isu anak-anak diabaikan oleh ibu bapa. #salahdimana.

 insyaAllah, sama-sama kita mencari himmah dalam diri. Kesungguhan dalam hati yang bagaimana ingin kita munculkan. Tepuk dada,Tanya iman !


Kesungguhan itu tercipta dari hati,

Hati yang ikhlas dalam menuju jalanNya,

Tak ramai yang mampu meneruskan perjalanan ini,

Kerna dipersimpangan itu lebih hebat cabarannya,

Masihkah ada sekelumit belas untuk kita terus hidup dibumiNya?

Setelah banyak kesalahan yang kita buat,

Kita cuba setakat yang mampu.

Dalam mencari jalan pulang,




-Tinta Seorang Pencari-
 8 Julai 2014

Khamis, 26 Jun 2014

Cinta di Jalan Para Pejuang

[ Assalamualaikum 56 ]

Bismillahirahmanirahim pembuka bicara,
Izinkan ku menulis untuk kalian,
Apabila kalam berbicara,
Pena menjadi teman,
Kertas menjadi saksi,
Hati menjadi paksi,
Semoga perjalanan ini diredhaiNya.



 

Cinta di Jalan Para Pejuang.


Alhamdulilah, masih diberikan kesempatan untuk menulis di blog Tinta Seorang Pencari. Usianya genap setahun pada 20/6/2014. Diharap tinta yang ditulis disini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca. Terima kasih  juga kepada yang masih mengikuti blog ini. Cinta di Jalan Para Pejuang, kita semua pejuang samada di tahap yang paling tinggi iaitu syahid di jalan Allah ataupun pejuang kepada diri kita sendiri untuk melawan segala yang tidak baik dan belajar menerima dari sekeliling kita.


Berada di jalan menuju cintaNya , adalah perjuangan yang payah. Bukan mudah. Bukan senang. Walaupun jalan ini penuh dengan rintangan kepahitan, hanya yang merasai kemanisan iman sahaja yang mampu menempuhnya. Ia hanya mampu dirasai apabila iman saling mengikat jiwa-jiwa sang pejuang. Sahabat. Insan yang paling rapat untuk kita menempuh jalan ini. Ramai yang ingin menjadi kawan dan teman tapi tak ramai yang mampu menjadi seorang sahabat. Sekiranya, hanya sekadar bicara di mulut, teman dikala gembira. Betul, kalau ingin mengenali siapa kawan kita yang sebenar, tengok siapa yang menemani kita semasa susah, yang selalu mengingati kita kepadaNya, yang selalu tegur bila kita buat salah.


Itsar, punca Ukhuwah yang mengasyikkan. Apa yang dimaksudkan dengan Itsar ?  Itsar ialah mengorbankan kepentingan diri sendiri untuk orang lain, puncak tertinggi ukhuwah. Sebagai contoh, Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika menemani Rasulullah s.a.w dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Apa yang lebih menjadi tumpuan dan perhatiannya berbanding dirinya ? . Di sepanjang perjalanan itu , beliau asyik bergerak ke sana ke sini. Sekejap ke kanan, ke kiri, ke hadapan Rasul s.a.w , sekejap ke belakang Rasulullah s.a.w . Mengapa Abu Bakar bersusah-susah seperti itu? Jawab Saidina Abu Bakar, ‘Sekiranya ada musuh yang ingin menyerang kamu, biarlah aku yang kena dahulu’. Kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w sangat tinggi. Ukhuwah yang tiada bandingnya. Itulah Itsar. 


Kisah lain yang boleh kita ambil ialah, ketika Abu Bakar disengat oleh kala jengking ada  setengah cerita dipatuk oleh ular.  Walaubagaimanapun, keadaan Saidina Abu Bakar ketika itu, beliau tidak sedikit pun menggerakkan tubuh badanya hinggalah air matanya mengalir, lalu gugur ke atas Rasulullah s.a.w kerana terlalu pedih menahan bisanya. Apabila ditanya oleh Rasulullah s.a.w , beliau menjawab ‘Aku tidak mahu tidurmu terganggu, wahai Rasulullah.’
Alangkah indahnya jalan cinta para pejuang ini.


Sekiranya engkau Jatuh, aku sedia Terjun. Sanggup ?

Ukhuwah yang sebenar, ukhuwah yang penuh kecintaan. Seorang sahabat menjaga aib sahabatnya. Tidak menceritakan kesalahan sahabatnya kepada orang lain, namun menegur sahabat dengan cara yang paling baik demi menjaga hati sahabatnya. Kita ini tidak suci. Sahabat kita juga tidak suci. Kita semua pendosa. Itulah pentingnya ada sahabat, melengkapkan kita,membantu kita membersihkan jiwa. Bukan semua orang mampu melihat kesalahan dirinya. Memerlukan orang yang membimbingnya dan menegurnya.



Hakikatnya, menjaga ukhuwah ini tidak mudah. Tidak semua orang boleh memahami kita walaupun kita bersahabat dari kecil. Hanya Dia yang memahami kita bagaimana. Semua tidak sempurna,  disebalik sebuah pertemuan itu membentuk titik persahabatan yang mengisi kamus hidup kita.  Siapa sahabat yang kita pilih untuk menemani kita di perjalanan ini?.
Jika berlaku salah faham, jalan mana yang kita dipilih ?  Penulis memberi 4 cara :

*      Berdiam diri.
*      Menghantar surat.
*      Berterus terang.
*      Menghantar wakil.

Sebenarnya pilihan yang kita buat itulah diri kita yang sebenar. Ada yang suka berterus terang. ‘Biar tidak faham, tapi jangan salah faham’ kerana salah faham itu mampu menghapuskan kepercayaan kita selama kita bersahabat. Jika kita pilih berdiam diri bukan bermakna kita pengecut atau lari dari masalah ini. Mungkin kita berfikiran kawan kita belum bersedia untuk bercakap dengan kita atau saling berharap. Setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya. Cuma terletak pada kita bagaimana kita ingin mengatur langkah itu. Jangan sampai memutuskan ukhuwah itu.
Apabila cinta ini difahami, akhirnya kita akan memahami bahawa kita adalah satu. Engkau dan aku adalah satu. Satu jasad yang diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w apabila sebahagian anggota tubuh sakit, anggota tubuh yang lain akan turut merasainya.


Saad bin Rabi’ ketika mana Abd Rahman bin Auf bersama muhajirin lain berhijrah ke Madinah. Ketika itu, mereka tudak mempunyai apa-apa pun, maka Saad bin Rabi’ menawarkan satu tawaran kepada Abd Rahman bin Auf dengan tawaran yang cukup mengagumkan. Kita memandang dari sudut hebatnya Itsar bukan tentang nilai tawaran itu. Apabila Saab bin Rabi’ menawarkan isterinya untuk dinikahi , pilih mana yang berkenan di hati, bukankah itu satu contoh ukhuwah yang sangat tinggi. Sama juga kisah Sahabat Nabi SAW iaitu Salman al-Farisi.


Akhir kalam, terima kasih kepada yang sudi bersama-sama dalam perjalanan ini. Banyak perkara yang perlu kita belajar, fahami dan simpan untuk menjadi pedoman hidup. Ingat, Allah tidak pernah pertemukan kita dengan orang yang salah. Bersyukur dengan setiap kurniaanNya. Alhamdulilah .


Kerna ku pasti disana nanti akan ada Pertemuan,
Ramadhan Kareem,

Waallahu’lam




Isnin, 16 Jun 2014

7 Golongan yang mendapat naungan Allah s.w.t

[Assalamualaikum 55]

Daripada Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :

'Tujuh golongan , Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya.

Pertama : Imam(pemimpin) yang adil.

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadat kepada Allah .

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid.

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima : Insan yang diajak(digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :Sesungguhnya aku takutkan Allah'.

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara sunyi lalu menitiskan air matanya.

InsyaAllah, moga sama-sama kita dapat muhasabah diri kita. 

Sebuah entry yang sangat ringkas moga bermanfaat walaupun hanya sedikit yang diberikan,

Kesempatan yang datang diukir dengan sebuah keikhlasan kepada pembaca,

Setiap sandaran yang kita berikan kepada yang lain moga dipandang mulia olehNya,


                                                                                                                                                                



Ahad, 11 Mei 2014

Kad Jemputan Emas..


Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
[SURAH AR-RA’D 13:19]

          Syukur kepada Allah masih memberi peluang kepada saya untuk terus menulis. Syukur juga masih diilhamkan idea-idea untuk menulis, mungkin untuk dakwah dan juga tarbiyyah. Cita-cita seperti APG. Hahahaha Angan-angan besar. Terima kasih kepada pembaca yang masih lagi setia mengikuti ruangan blog ini. Sentiasa bersama dalam naik dan juga turun reputasi blog ini.

          Kali ini, sengaja memilih tajuk yang bunyi hebat, tapi belum pasti lagi isinya hebat juga atau tidak. Terpulang kepada pembaca untuk labelkan tajuk ini sebagai sempoi atau fuyyoo atau budak-budak sekarang ini suka guna osem. Kesimpulannya tajuk kita hari ini dengar sungguh osem (hehe). Kan?? Semoga dengan bersahaja dan gaya santai ini dapat membuat pembaca senang untuk menerima isi kandungan entry ini.

          Sekarang ini ditempat yang penulis sedang belajar, rata-rata sibuk dengan dinner. Macam-macam dinner,Dinner school, dinner untuk kos, dinner untuk persatuan dan lain-lain lagi. Tapi saya tidak cukup hot untuk terima kesemua jemputan jamuan makan malam itu. Hanya beberapa sahaja yang perlu pergi. Salah satu daripada event itu saya sendiri yang menguruskannya. Oleh sebab itulah datangnya idea untuk menulis entry ini.

          Bila kita bercakap tentang dinner, pasti ada sangkut paut dengan kad jemputan, dengan makan-makan, dengan persembahan, dengan pakaian yang hebat-hebat yang cantik-cantik dan pelbagai lagi. Cuba lihat disekitar kita, disekeliling kita, apakah yang selalunya terjadi apabila kita dan juga mereka yang lain menerima kad jemputan atau jemputan untuk menghadiri majlis seperti ini. Saya yakin, daripada pihak pengurusan sehinggalah mereka yang hadir sebagai peserta akan mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk majlis itu.

          Mari kita focus kepada mereka yang akan hadir pada majlis itu. Semestinya mereka akan datang dengan berpakaian yang kemas, kelihatan kacak dan juga cantik pada malam itu. Sudah pasti mereka akan meluangkan sedikit masa untuk membuat persediaan untuk majlis itu.

Kalau orang perempuan lagi, nak pilih baju saja dah berminggu-minggu kan? Eh? Itu baru baju, belum kira tudung dan accessories lain. Bunyi macam kereta pula “accessories”. Hehe

Itu baru jemputan majlis makan malam yang hanya diadakan oleh pihak dalam university, belum lagi orang-orang besar, orang-orang kenamaan seperti menteri-menteri ataupun Perdana Menteri ataupun Raja-raja ataupun Sultan yang menjemput. Jika itu terjadi, sudah pasti lebih dan lebih lagi kita akan mempersiapkan diri kita untuk majlis itu. Sudah tentu kita ingin kelihatan yang terbaik pada malam itu. Sanggup menghabiskan sedikit wang demi kelihatan cantik, kacak pada majlis kebesaran itu.

Focus saya hari ini ialah persediaan kita menghadapi seseuatu yang besar dalam hidup kita. Sesuatu yang sangat-sangat bermakna dalam hidup kita. Kalau sentuh pasal majlis perkahwinan buat panjang entry je, tidak perlu cerita pun orang boleh faham kan…

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
[SURAH AL-ANFAL 8:24]

          Lihat pula bagaimana kita menyahut seruan atau jemputan daripada Yang Maha Kuasa. Mungkin konteks di negara kita ini apabila sebut jihad, orang tidak Nampak untuk keluar berperang. Lihatlah maksud jihad secara amnya iaitu menegakkan agama Allah, menegakkan yang haq dan meruntuhkan yang batil. Pelbagai perkara yang kita boleh buat untuk menegakkan agama Allah. Menuntut ilmu dan juga menyebarkan ilmu untuk perkara kebaikan juga boleh. Namun kebanyakkan daripada kita tidak mahu menerima seruan atau jemputan ini dengan pelbagai alasan. Hendak sebarkan kebenaran juga risau. Tidak mahu membuat persediaan untuk seruan ini.

          Sebagai seorang Muslim, pasti kita tidak asing lagi dengan seruan azan. Seruan azan yang bukan sahaja menandakan masuknya waktu untuk solat, malah seruan azan juga seperti kad jemputan untuk kita menghadiri solat Jemaah. Alhamdulillah, bagus bagi mereka yang bersiap sedia, berpakaian cantik dan bersih serta berwangi-wangian untuk pergi menunaikan solat berjemaah di surau-surau dan masjid-masjid. Namun ada juga yang langsung tidak mengendahkan kad jemputan yang telah diberikan kepadanya.

          Kad jemputan emas, dipilih sebagai tajuk kerana kad jemputan merupakan sesuatu yang digunakan untuk menjemput seseorang ke majlis. Emas pula saya ingin melambangkan sebagai sesuatu yang sangat berharga. Apabila barang itu berharga sudah pasti ia sangat penting. Apakah ada lagi jemputan yang sangat berharga selain daripada jemputan daripada Pencipta kita? Saya biarkan pembaca untuk menjawabnya dengan sendiri.

          Mungkin seruan jihad, mungkin panggilan untuk solat kita mampu mendapat berita lebih awal untuk siapkan diri. Tetapi ada satu jemputan yang lebih besar dan amat merisaukan semua orang, iaitu jemputan untuk ke alam yang seterusnya, MATI. Dia tidak hadir memberitahu bahawa kita akan pergi esok hari atau lusa atau minggu depan, tetapi bila tiba masanya pasti kita akan pergi. Tidak mempunyai masa untuk mempersiapkan diri seperti mana jemputan yang lain-lain itu.

          Sementara masih mempunyai nyawa, inilah masanya untuk kita bersiap sedia untuk menghadapinya. Kad jemputan yang tidak mungkin kita mampu tolak lagi. Mahu atau tidak, kita perlu pergi berjumpa dengan-Nya. Bersedia atau tidak, kita tidak mempunyai pilihan ketika itu kerana kita sudah diberi peluang sekarang.

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
[SURAH MUHAMMAD 47:7]


~Khas untuk diri sendiri~
~Tinta Seorang Musafir~

~Wallahua’lam~

Khamis, 1 Mei 2014

Kill Your Darling,


Assalamualaikum [53]


Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Pernah kita mendengar sesuatu yang kita cintai atau suka menjadi sebab ujian daripada Allah, jesteru cintailah sesuatu berpada-pada, bila Allah uji kita dengannya,kita tidak terlalu jatuh.

Walaupun penulisan yang saya cuba bawakan di blog ini kadang kala ada konsep yang hampir sama dan pengisiannya sama tetapi tajuk yang berbeza ini sebuah perkongsian untuk semua. Belajar untuk memberi walaupun diri sendiri belum tentu mampu untuk bertindak sedemikian, medan ini pesanan untuk diri sendiri dan semua. Moga Dia redha dengan usaha yang tidak seberapa ini.

Kenapa tajuk yang dipilih, Kill your darling? idea ini datang ketika membaca sebuah buku dari Ustaz Pahrol [Dimana Dia Dihatiku?]. 

Kita perlukan orang untuk menyunting karya kita. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik mintalah orang yang 'tidak suka' kan kita. 'Kill your Darling', itu istilah yang selalu digunakan dalam dunia penulisan .Hasilnya, penulisan kita kan menjadi lebih baik,bernas dan tepat. Bukan bermakna bila kita pinta pendapat yang dekat yang kita tidak membantu, tidak sama sekali ! 

Teman, kekadang dalam kehidupan kita juga begitu. Sentiasa ada individu, sikap, pendirian, atau pandangan hidup yang kita anggap benar tetapi hakikatnya tidak. Walaupun kita cuba bermunasabah diri, ia tidak cukup mampu untuk kita mencari kerana sudah terlalu dekat dengan diri kita, sebab yang dekat itu akan membutakan kita untuk melihatnya. Mungkin ia sebuah buku yang kita bawa kemana sahaja kita pergi , lalu pengarangnya kita sanjung. Namun hakikatnya, buku itu membawa kita jauh dari rahmatnya, tersasar dari membawa kita di jalanNya. 

Mungkin, apa yang kita minati bukan itu yang terbaik untuk kita. Allah sebaik-baik perancang. Belajar dari kisah Nabi Ibrahim a.s yang terpaksa mengorbankan cintanya kerana perintah Allah. Allah menguji agar mengutamakan cinta Allah daripada yang lain yakni diperintah mengorbankan 'kecintaan' di wajah anaknya sendiri. Carilah semua siapakah 'Ismail'-Ismail' dalam hidup kita, ada tapi sungguh sukar. Carilah semua itu di sebalik sebuah pendirian, prinsip, gelaran, jawatan, amal, teman dan segala yang menjadi kesayangan kita.

Sentiasa 'sunting' lakaran kehidupan kita selama perjalanan ini. Imbas dan suluh dengan doa semoga Dia tunjuk yang terbaik untuk kita semua. Mudah-mudahan Allah kan mengurniakan jiwa yang kuat, hati yang tabah seperti Ibrahim a.s, Kill your Darling dalam kehidupan !

Kita memang layak diuji, layak untuk diketuk pintu hati. Allah mengajarkan kita untuk Kill your Darling bukan untuk mendera, tetapi begitulah yang dinamakan cinta yang sentiasa menagih ujian. Sama-sama kita sunting untuk menjadi lebih baik, walaupun persekitaran kita tidak mampu untuk membantu, carilah diri kita dalam persekitaran tersebut untuk terus kuat. Kadang mengambil sikap berdiam diri itu lebih baik, namun sampai di satu tahap kita perlu bangun. 

Apa jua yang berlaku 'Back to Basic',
Mungkin Allah ingin menguji kerana kesilapan kita juga,
Belajar dan terus belajar,


waallahu'lam,