Rabu, 30 September 2015

Hamparan Ini..

Assalamualaikum,
Alhamdulillah,



Pada hamparan bunga ini terselit sekuntum bunga yang terindah,
Pada setiap kata ada maknanya yang tersirat,
Pada setiap irama ada lagunya yang menjiwai,
Pada setiap ujian ada hikmahnya yang tersembunyi,
Pada setiap perjalanan diukirkan sebuah kenangan,
Simpan dan kutiplah kenangan itu sebaiknya,
Jadilah yang terindah untuk yag terpilih,


Nyata menjadi yang terindah itu tidak semudah apa yang tertulis,
Tapi berbalik kepada dirimu sendiri,
Bagaimana ingin mencorak sebuah kehidupan itu?
Bagaimana melakar sebuah impian bersama?
Bagi ku ikutlah irama yang ditetapkan untukmu,
Santuni kehidupan untuk mengapai Cinta itu,


Percayalah suatu hari nanti akan ketemu jua titik yang terindah itu,
Jaga dirimu,
Pelihara kepercayaannya,
Pegang sebuah harapan itu dengan Doa dan Sabar,

Dan yang paling penting jagalah Cinta dengan Pencipta,
Kerna Dia yang memberikan rasa ini,
Ukhwah dalam persahabatan,
Ukhwah dalam perjalanan,
Ukhwah dalam kehidupan,

Moga sentiasa Santuni Hati Aku, Dia dan Kamu,

Tinta Seorang Musafir.

Jumaat, 17 April 2015

Ahsanul Qasas (Sebaik-baik Kisah)



Ahsanul Qasas


”Every great story has a beginning, middle, and ending,
Not necessarily in that order, we all great stories.”
-Phil Kaye, Beginning, Middle and End-

Assalamualaikum ..


Kehidupan ini hakikatnya sebuah cerita. Bermulanya dari setitis mani, membesar di dalam rahim ibu, ditiupkan roh kepadanya, dilahirkan, menjadi dewasa kemudian meninggal dunia menuju pengakhiran yang abadi di sana. Sepanjang tempoh itu pelbagai kisah dilakar dan ditulis dalam sebuah diari kehidupan. Kisah kekeluargaan, persahabatan, perjuangan, tarbiyah, jatuh dan bangun terus ditulis. Pada suatu hari nanti, kita akan tengok semula perkara yang telah lakukan sepanjang persinggahan ini. Kita mengharapkan setiap permulaan itu diakhiri dengan sebuah pengakhiran yang indah dan gembira. Tapi bagaimana pula kisah pertengahannya? Sudah tentu banyak halangan, suka dan duka yang bakal kita laluinya. Berbalik kepada tajuk ‘Ahsanul Qasas’ yang bermaksud sebaik-baik kisah. Iaitu kisah seorang Nabi Allah yang bernama Yusuf a.s.

            Ketika kecilnya, anak kesayangan sang ayah ini diajak oleh saudaranya yang iri hati untuk keluar bersama-sama. Namun ketika itulah, Nabi Yusuf a.s dihumbankan ke dalam perigi. Satu ujian ketikanya masih kecil. Tetapi, kisah Baginda tidak hanya terhenti di situ. Ditakdirkan datanglah beberapa pedagang menyelamatkan dari perigi itu. Di bawanya ke pasar, dijual pula Nabi Yusuf a.s sebagai hamba kepada al-Aziz (peguasa negeri). Namun, atas kebijaksanaan yang dikurniakan Allah kepadanya, Yusuf a.s berhasil menjadi penasihat kepada al-Aziz. Sekali lagi konflik berlaku apabila dia terkena tempias fitnah sang isteri penguasa. Lalu, masuklah dia ke penjara. Setelah 9 tahun berlalu, baharulah dia dibebaskan atas pertolongannya mentafsirkan mimpi sang raja. Dan akhirnya, dia diangkat menjadi peguasa negeri itu.

            Lihatlah dan amatilah kisah yang diabadikan Allah di dalam Al-Quran ini, bagaimana Nabi Yusuf a.s melalui fasa naik dan turun dalam hidupnya. Ada masa Allah mengurniakan rasa gembira tatkala menjadi anak kesayangan ayah, diselamatkan dari perigi, menjadi penasihat al-Aziz sebelum akhirnya menjadi penguasa. Namun disebalik itu Nabi Yusuf a.s telah melalui kisah yang sukar dalam hidupnya. Semua yang berlaku mempunyai sebab mengapa ia terjadi kepada seseorang. Seperti kisah Nabi Yusuf a.s, dia tidak akan ke Mesir dan menjadi penasihat al-Aziz jika tidak dibuang ke perigi. Baginda a.s juga tidak akan menjadi peguasa di Mesir. Firman Allah yang bermaksud :

“Oleh itu, maka(tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”(al-Insyirah 5-6).

            Kisah Nabi Yusuf a.s ini, ada plotnya, ada juga konfliknya dan ada pula klimaksnya. Apsek-aspek itulah yang menjadikan sesebuah kisah itu menarik untuk dibaca sehingga hujungnya. Begitulah Allah telah menyusun jalan cerita Nabi Yusuf a.s sebagai suatu tarbiyah untuk hamba-hambanya dan menjadi pengajaran kepada kita semua. Melalui kisah ini juga kita diajar bahawa pada pertengahan cerita, kita pasti diuji. Diuji bagi membuktikan apakah benar matlamat dan tujuan kita. Kita diuji dengan ketetapan hati dengan pelbagai halangan yang datang. Diuji sama ada mampu atau tidak untuk tetap bertahan dalam kesabaran. Semasa menghadiri satu daurah baru-baru ini, ustaz bertanyakan apakah beza antara sabar dan redha? Sabar ialah menahan diri dan Redha kita menerima setiap ujian yang menimpa kita . Kata Ustaz Nouman Ali Khan, ‘’Sabr is not remaining quiet and allowing anger to build inside you. Sabr is to talk about whats bothering you without losing control of your emotion’’.

            Maka seharusnyalah kita meyakini bahawa sepertimana Nabi Yusuf a.s, seluruh jalan hidup kita juga telah disusun dengan baik oleh Allah. Setiap pandangan Allah itu adalah yang terbaik dan pasti ada sesuatu yang Allah mahu ajarkan pada kita di sebalik apa yang berlaku. Sebuah kisah yang mana awalnya datang dari Allah, di pertengahannya sentiasa bersama Allah dan hujungnya akan kembali kepada Allah jua.

                                  Sebuah penulisan yang banyak memberi pesanan kepada diri sendiri.



Waallahu’lam
 Tinta Seorang Pencari
Kerana Cinta Dia itu Benar


Rabu, 4 Februari 2015

Ketegasanmu Kekuatanku





Assalamualaikum,

Alhamdulillah,

Menjelma Februari, meninggalkan Januari yang penuh cerita. Semalam yang telah hilang, Esok hari bakal kita tempuh dan Hari ini menentukan langkah kita.

Setiap hari banyak cerita yang kita telah tuliskan di buku cerita kita tanpa kita sedar atau tidak. Kawan-kawan bercerita dan berkata, kita bakal menamatkan zaman belajar tak lama lagi,hanya tinggal dua semester sahaja di sini. Semester terakhir nanti bakal berpraktikal. Seterusnya, mengatur langkah sama ada meneruskan pelajaran atau alam pekerjaan? Langkah terus di atur, terus di lakarkan untuk masa depan. Kerna masa depan itu terus menjadi misteri untuk kita. Melangkah selagi terdaya, jatuh, dikecewakan, sedih, suka, gembira itu lumrah kehidupan. Lumrah yang mengajarkan kita erti kehidupan ini.

Harapan itu dilakar di minda, ditafsirkan di atas kertas, diatur jejak langkah tapi Dia Maha Mengetahui mungkin diubah jejak langkah itu semasa berada di persimpangan. Saat itu tabahlah, sesungguhnya Dia telah tetapkan yang terbaik. Tapi betul nak pujuk rasa hati itu tidak mudah. Dia telah ‘selimutkan’ kesenangan itu disebalik ‘kesusahan’. Hikmahnya, belajar usaha, doa dan tawakkal. Kuatkan hati, teruskan berdoa.

Hanya untuk mukadimah, J

Saya ingin bawakan satu kisah yang membuatkan saya berfikir dan sangat kagum dengan cara ayahnya mengajar dan mendidik anaknya membuat keputusan. Kisah Srikandi Islam Mesir Zainab Al-Ghazali dalam buku yang ditulis oleh Shafie Abd. Rahman. Izinkan saya bercerita sedikit biodatanya, nama diberi Zainab Al-Ghazali dilahirkan 2 Januari 1917. Ketika berusia 18 tahun, beliau bertanggujawab mengasaskan pertubuhan wanita Islam yang dikenali Jama’at al-Sayyidaat al-Muslimat. Sebelum menubuhkan pertubuhan tersebut, beliau telah diajak oleh seorang kawan baiknya untuk menghadiri satu perhimpunan kaum wanita. Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Kesatuan Wanita Mesir yang dipimpin oleh Huda Sha’arawi. Huda dalam perhimpunan itu menggesa agar kaum wanita Mesir bersatu untuk memajukan negara Mesir. Huda juga menuntut agar kaum wanita Mesir diberikan hak untuk mendapatkan pendidikan hingga ke peringkat paling tinggi.  Pertubuhan ini juga mendesak Kerajaan Mesir agar menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada kaum wanita khususnya dalam bidang pendidikan, perubatan, kebajikan dan lain-lain.

‘’Bagus betullah pidato yang disampaikan oleh Huda tadi. Dia begitu pandai berhujah. Kelihatan dia bersungguh-sungguh ingin membela nasib kaum wanita Mesir’’, kata kawan Zainab yang bertanggujawab mengajak Zainab hadir ke majlis tersebut. Zainab pula ternyata betul-betul tertarik dengan Huda Sya’arawi dan perjuangan yang didokong olehnya. Zainab kerap menghadiri perjumpaan-perjumpaan yang diadakan oleh kumpulan tersebut . Beliau juga menghadiri beberapa mesyuarat yang diadakan di peringkat kepimpinan bahagian kumpulan tersebut. Ayah Zainab al-Ghazali tahu tentang penyertaan anaknya itu dalam pertubuhan yang dipimpin oleh Huda itu. Walau bagaimanapun, dia sama sekali tidak menghalang atau menyatakan restunya terhadap penglibatan anak gadisnya itu.

Sehinggalah pada suatu hari, al-Ghazali mengajak anaknya untuk turut bersama-sama menyertai beribu-ribu orang lain kaum wanita Mesir bagi menyambut kepulangan Huda daripada menghadiri satu perjumpaan kaum wanita di peringkat antarabangsa yang diadakan di Rom. Ramai kaum wanita berada di stesen kereta api bagi menyambut kepulangan Huda.
Sebaik sahaja turun daripada kereta api, Huda telah bertindak membuka penutup mukanya atau purdah yang dipakai olehnya di hadapan beribu-ribu kaum wanita yang menunggunya. Pada mulanya tindakan Huda itu mengejutkan ramai kaum wanita yang berada di situ. Bagaimanapun keadaan segera berubah apabila tindakan Huda itu mendapat tepukan yang bergemuruh. Sejak kepulangan dari Rom itu, Huda semakin lantang berjuang menuntut persamaan hak bagi kaum wanita di Mesir.

Beberapa hari selepas peristiwa Huda membuka purdahnya di hadapan ribuan orang di stesen kereta api, al-Ghazali telah memanggil anaknya Zainab masuk dalam bilik bacaannya. Kepada anak gadisnya itu, al-Ghazali lalu bertanya :

“ Apakah pandangan kamu terhadap Huda Sya’ arawi?”
“Huda Sya’arawi seorang wanita yang berani dan lantang berjuang untuk membela nasib kaum wanita di Mesir,” jawab Zainab.
“Apakah selama ini nasib kaum wanita tidak dibela oleh Islam?" Bukankah kedatangan agama Islam telah menyebabkan bayi-bayi perempuan tidak lagi ditimbus hidup-hidup. Kaum wanita juga tidak lagi dijadikan bahan hiburan kaum lelaki dan semata-mata dijadikan bahan pemuas nafsu, bukan?” Tanya al-Ghazali kepada puterinya itu dalam nada lemah lembut tapi penuh dengan ketegasan.

“Memang kedatangan Islam telah banyak membela nasib kaum wanita dan meletakkan kaum wanita ke satu kedudukan yang mulia di sisi Allah. Walau bagaimanapun, masih ramai kaum lelaki bertindak membelakangkan ajaran Islam dan menyalahgunakan hak mereka sebagai pemimpi. Inilah yang ditentang oleh Huda dan kawan-kawannya", jawab Zainah dengan penuh semangat.

“Jika begitu, yang bersalah dan perlu dibetulkan ialah penyalahgunaan oleh kaum lelaki serta penyimpangan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Islam tidak salah. Maka untuk apa perlunya kaum wanita berkumpul beramai-ramai , mengabaikan tanggujawab mereka kepada suami dan rumah tangga semata-mata untuk menuntut persamaan dengan kaum lelaki? Bukankah masing-masing kaum lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah dalam bentuk yang berbeza sesuai dengan fitrah dan fungsi masing-masing?” 
Al-Ghazali cuba memprovokasikan anak gadisnya itu.
Zainab terdiam. Dia kematian hujah. Al-Ghazali  bangun dan duduk bersebelahan dengan anaknya itu. 

Perlahan-lahan al-Ghazali berkata:

“Anakku. Agama Islam adalah agama yang sempurna. Tidak akan turun wahyu sesudah wafatnya Nabi Muhammad. Baginda telah meninggalkan kita dengan dua perkara yang tidak akan sesat selagi kita berpegang teguh kepada kedua-duanya iaitu Al-Quran dan sunah Rasulullah saw".
Zainab yang sejak tadi tunduk, mula mengangkat muka sambil memandang ayahnya.  “Ayah tahu, kamu ingin mengembalikan kaum wanita ke peringkat yang sepatutnya. Ayah gembira jika kamu menggunakan ilmu yang kamu ada untuk menyeru kaum wanita Mesir yang begitu beria-ria untuk mencontohi wanita Barat agar kembali kepada ajaran agama Islam yang sebenarnya.
Sebelum Zainab keluar dari bilik bacaan ayahnya itu, dia sempat mendengar nasihat akhir yang diberikan oleh ayahnya itu.

“Apa yang ayah katakan, itu kamu fikir dan renungkanlah. Jika kamu rasa ia betul, maka cubalah ikutinya. Jika kamu dapati apa yang ayah katakan itu salah dan bertentangan dengan ajaran Islam, maka beritahulah ayah. Betulkan dan tegurilah kesilapan ayah. Walaupun ayah lebih tua daripada kamu, tidak semestinya yang ayah katakan itu semuanya betul!”.

Waallahu’lam

Kisah di atas di ambil oleh saya kerana cara didikan seorang ayah kepada anak gadisnya. Jika kita lihat kembali bagaimana al-Ghazali mengajar anaknya membuat keputusan, bukan dengan cara terus memarahi dan menghukum, bukan dengan kata-kata yang tidak baik tapi si ayah mengajar dengan cara berfikir. Setiap keputusan yang kita lakukan atau letakkan mempunyai tanda tanya ‘kenapa’. Berani menegakkan hujah bagi mempertahankan setiap pendapat. Setiap daripada kita di didik dengan cara yang berbeza, di uji juga dengan cara yang berbeza mengikut tahap kemampuan kita.

Akhir bicara dari saya, institusi yang dibina itu jika dilandaskan dengan cara yang baik, akan melahirkan generasi rabbani seperti yang kita inginkan. Teguran si ayah kerana sayangkan anaknya, lembut si ibu kerana dia memahami jiwamu.

-Kerana Cinta Dia itu Benar-
-Tinta Seorang Pencari-




    

Ahad, 4 Januari 2015

Kisah Secerah Langit Cinta


Assalamualaikum

Pasir Mas,Kelantan


Catatan 24 Disember 2014- 31 Disember 2014       
      
Terus tenang, Pelangi akan datang.

Catatan ini diukilkan di laman Tinta Seorang Pencari sebahagian pengalaman ku dalam melihat dan  mengharungi sendiri pengalaman itu. Jika dahulu kisah di ‘Ku Layarkan Untukmu’ berkisahkan di mana si matahari, si bintang dan di katak yang menghilang. Kisah kali ini, banyak membawa erti ujian Allah untuk umatnya.


Kisah ini membawa erti bertapa pentingnya sebatang lilin, berharganya setitis air, indahnya cahaya yang terpancar. Betullah apa yang dikata oleh orang kita ‘Apabila hilang, baru hadir erti menghargai’. Ujian yang dihantar untuk orang-orang yang terpilih. Allah swt berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 286 ‘ Sesungguhnya Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya’.....


Bandar Gua musang dan Kuala Krai mula dinaiki air dengan begitu cepat ada yang hanya sempat menyelamatkan diri. Arus air terus meningkat dengan hujan yang lebat dan angin yang kuat. 25 Disember 2014, Bandar Pasir Mas juga mula dinaiki air. Peniaga mula menghentikan operasi perniagaan dan menutup permis perniagaan untuk persiapan menghadapi pelbagai kemungkinan. 

Keesokkan harinya...

Bandar Pasir Mas, lumpuh dari sebarang aktiviti orang ramai pergi untuk melihat keadaan sekitar. Pusat pemindahan mula dibuka untuk mangsa banjir. Kelihatan orang ramai menyelamatkan kenderaan masing-masing diletakkan di tempat tinggi. Keadaan makin mencemaskan penduduk dengan berita banyak jalan ke Kelantan sudah ditutup, hanya tinggal melalui udara. Tarikh peperiksaan akhir semester juga hanya tinggal beberapa hari, ketika itu hanya mampu berdoa dan letak pergantungan tinggi kepada Allah. Datang pula khabar rakan-rakan yang masih berada di UMK,kampus Jeli mereka sudah beberapa hari tiada bekalan elektrik dan access telefon. Kami yang berada di luar kawasan cuba menghubungi mereka untuk bertanya khabar. Maafkan kami jika kami tak mampu membantu dengan sebaiknya.


Keadaan di rumah pula, air mula melimpah melintasi jalan-jalan di kampung, sungguh ini pengalaman yang sangat bermakna bagiku. Melihat dan merenung kejadian ini, banyak menginsafkan kita. Setiap kejadian yang menimpa kita atau saudara kita jika diambil pengajaran daripada kisah dan peristiwa itu mampu menginsafkan diri kita. Kita yang melihat merasa sedih, apatah lagi orang yang mengalaminya sendiri. Bagaimana perasaan mereka untuk melalui ujian ini dengan tabah? . Sungguh, susah untuk diungkapkan dengan kata-kata.  


Siang hari menjelang, deruman bunyi helicopter dan kapal terbang menghantar bantuan dan membuat tinjauan membuatkan ku terfikir, bagaimana perasaan mereka di negara perang?. Alhamdulillah, semakin banyak bantuan yang dihantar kepada mangsa banjir. Ana juga diberi peluang untuk ke pusat pemindahan di sekitar daerah Pasir Mas, melihat sendiri bagaimana kehidupan mereka di sana. Ada yang tidur di sekitar beranda sekolah,hanya beralaskan tikar lenanya si anak kecil di pangkuan ibu. Kanak-kanak berlari riang bermain, mereka mungkin tidak mengerti perasaan kedua ibu bapanya ketika itu. Berebut untuk mengambil makanan, susah mendapat bekalan air bersih, susahnya hendak lena, hendak solat dan sebagainya itu situasi di sana. Yang berada di sana,sebuah pengalaman buat mereka. Ana juga tidak lama disana.


29 Disember 2014, air semakin surut di sekitar negeri Kelantan. Bandar Pasir Mas, bagaikan bandar lumpuh untuk seketika, selepas beberapa keadaan kembali pulih dengan baiknya. Ujian yang dihantar oleh Allah kepada mangsa-mangsa banjir ini tarbiyah untuk mereka dan kita semua. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Apa silap kita? Fikirkan. Kaji dan lihat sendiri. Kemusnahan yang berlaku, musibah yang Allah hantarkan ada sebabnya. Terbaca satu status di FB, "Banjir ni,Allah nak bagi sikit sorang. Rumah saya tak kena,jadi saya risau Allah bagi ujian Kat benda lain”. Allah sentiasa menguji hambanya, tapi setiap daripada kita tak sama Dia hantarkan ujian itu. Jika hari ini mereka ditimpa musibah, kita menolong. Mungkin satu ketika nanti,ketika kita ditimpa musibah mereka pula menolong kita. Itulah, fitrah kehidupan kita.


Ana bawakan satu kisah tentang nikmat dan hikmah.
-Majalah Jom-


Sebagai renungan, terdapat sebuah kisah atau cerita rakyat yang berlegar dalam kalangan masyarakat di benua Afrika mengenai kelebihan syukur. Kononnya, seorang raja pergi berburu dengan kawan lamanya. Kawannya itu menyediakan raja tersebut raja tersebut selaras senapang untuk menembak binatang buruan. Namun, kesalahan teknikal telah berlaku apabila raja hendak menggunakan senapang itu. Pelurunya meletup menyebabkan ibu jarinya terputus. Dengan spontan kawannya tiba-tiba berkata ‘Alhamdulillah!’ Ini membuatkan raja sangat murka. Sudahlah dia tersalah memasang peluru, sesudah itu disyukurinya pula apabila jari raja terputus. Sebaik sahaja pulang ke istana, kawan karibnya diperintahkan disumbat ke penjara tanpa ditentukan tempohnya.


Beberapa tahun kemudiannya, raja keluar lagu untuk berburu. Namun, dia telah ditangkap oleh satu puak yang memakan daging manusia. Mereka menyalakan api dan bersiap sedia untuk memanggang raja. Tiba-tiba , mereka terpandang tangannya yang kehilangan sebatang jari. Mereka mempunyai pantang larang, iaitu tidak boleh makan manusia yang tidak cukup anggota badannya. Maka, raja pun dibebaskan. Ketika itu, raja teringat akan kawannya yang dipenjarakan. Sejurus pulang ke istana dia terus ke penjara menemui kawannya dan memohon maaf atas kezalimannya. Namun kawan itu berkata, ‘Alhamdulillah’ dia berada di dalam penjara’. Raja bertanya , ‘kenapa?’. Kawannya menjelaskan, jika dia tidak berada di dalam penjara sudah tentu dia akan mengikut raja pergi berburu. Jika begitu, dialah yang akan menjadi mangsa puak itu.


Kesimpulannya, apa sahaja yang berlaku ke atas diri kita, pasti terselit nikmat dan hikmah yang mungkin kita belum mengetahuinya. Yakinlah, Allah yang Maha Bijaksana mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita.


2 Januari 2014(Jumaat)

Alhamdulillah,

Perjalanan diteruskan ke daerah Kuala Krai, biasanya dari Pasir Mas hanya mengambil masa sekitar sejam setengah,tetapi kali ini mengambil masa 3 jam untuk sampai ke sana. Berpusu-pusu orang ke sana untuk menghulurkan bantuan. Allah! disitu kita boleh nampak kesatuan hati. Pelbagai ragam pemandu dapat dilihat, dengan siren kenderaan polis, bomba, persatuan bulan sabit merah(PBSM) tak lupa juga NGO. Masuk sahaja ke bandar Kuala Krai keadaannya sungguh suram hanya kelihatan petugas-petugas bantuan banjir. Kelihatan juga pemilik kedai sedang membersihkan permis perniagaannya. 


Kami masuk menyelusuri jalan kampung. Tiba-tiba terlihat seorang mak cik duduk termenung di hadapan rumahnya. Rumahnya yang dua tingkat ditenggelami air. Katanya ‘mak cik duduk berehat semetar,nak sambung rumah air pulak tak dop’.Kami meninggalkan mak cik tersebut dan meneruskan perjalanan ke Kampung Tualang. Kampung yang berada di persisiran sungai ini hampir 100% ditenggelami air. Untuk ke sana kami perlu melalui jalan yang dijaga oleh tentera yang bertugas. Persekitaran kampung sungguh menyentuh hati. Penduduk membina khemah dan pondok untuk berteduh. Makanan diambil daripada bantuan yang diberikan. Semasa melalui jalan kampung, ada beberapa orang kanak-kanak ditepi jalan sambil menyebut ‘bantuan, bantuan’. Mereka mengharapkan makanan untuk mengalas perut. Penduduk beratur untuk dapatkan bantuan yang dihantar. Rumah hanyut di bawa arus deras berada di tepi jalan, terfikir juga dimana pemilik rumah ini.


Meneruskan perjalanan ke Kampung Guchil, apabila sampai disana kami terasa pelik kenapa tiada bantuan yang sampai kepada mereka. Kami bertanya seorang mak cik yang berada di tepi jalan ‘wat maghi la gapo pun dik, rumah mak cik pun dah runtuh’ ,luluh rasa hati melihat keadaan mak cik itu. Kami memberikan sedaya mampu, moga dapat mengembirakan hati mereka walaupun dengan bantuan yang tidak seberapa ini. Gembira hati kami melihat mereka. Berada disitu tidak lama, kami perlu meneruskan perjalanan pulang.


Pengalaman yang sungguh bermakna bagiku, bila lagi akan ku dapat peluang seperti ini. Meninggalkan Kuala Krai, moga mereka sentiasa dilindungi Allah. Terima Kasih yang datang memberi bantuan kepada mereka. Moga kalian diberkati olehNya.
Begitulah,kisah perjalanan untuk 11 hari ini. Walaupun kisahnya terhenti di sini, moga kalian dapat meneruskan kehidupan selepas ini dengan tabah dan bersabar dengan ujian yang diberikan.


Allahul musta’an.

Terima Kasih kerana sudi membaca catatan yang tak seberapa ini, hanya ingin dikongsi pengalaman dan kisah kehidupan ini.

Moga sama-sama dapat kita mengambil ibrah disetiap kejadian ini.

Maaf andai ada terkasar bahasa dalam penulisan ini.

Catatan 3 Januari 2015,
12 Rabiul awal 1436H,  
Tinta Seorang Pencari,
Kerana Cinta Dia itu Benar,







Sebahagian gambar yang diambil di Kampung Tualang.


Selasa, 23 Disember 2014

Ku Layarkan Untukmu


Assalamualaikum

Pasir Mas,Kelantan
Belakang rumah :)
kredit to: kakak


Daun melambai ditiup angin, awan menurunkan tangisannya tanpa henti sejak 3 hari lalu, pokok terus gembira dengan kehadiran air yang sentiasa ada, tapi ku terfikir mungkin juga si pokok ini tidak gembira. Kenapa? Iyalah, kawan rapatnya sudah tidak munculkan diri sudah lama. Si matahari menyembunyikan diri dan hanya menghantar cahayanya di sini. Kata si pokok, walaupun kamu tidak kelihatan wahai matahari tapi kamu masih memberikan ku sinaranmu. Terima Kasih.. Ini kisah dikala siang. Bagaimana kisah dikala malam? Sama juga bagiku,Cuma si bulan tidak menghadirkan dirinya kembali. Si awan juga mendung berarak hitam,mana perginya si bintang? Entah,mungkin pergi menyepikan diri seketika. Sunyi sepi hanya bunyi air hujan turun, menemani diri ini. Biasa kedengaran juga si katak menyanyi dengan riang, tapi kenapa mala ini senyap? Tidur awal mungkin. Banyak kemungkinan yang dilakarkan dalam kehidupan sehingga kita sendiri hadapi dan laluinya.


Selama 21 tahun ini ku harungi perjalanan kehidupan. Tapi ku sendiri tidak tahu bagaimana ini melakarkannya di atas kertas. Biarkan sahaja pena menulis hikayat kisah kehidupan ini. Sabar dalam apa jua keadaan. Seperti hujan, dia tak selalu ada untuk membasahi bumi ini, sama juga dengan insan disekeliling kita, mereka juga tidak selalu ada dengan kita, satu masa nanti akan ada detik perpisahan. Tapi hadirkan hujan membawa banyak makna kepada kehidupan di bumi., menyuburkan tanaman, meningkatkan paras air , membasahi tanah yang kering kontang. Tapi,hujan ini boleh menyebabkan musibah juga. Apa dia? Eyea, banjir. Tapi bukankah itu perancangan Allah untuk kita dan setiap kejadian itu ada hikmah disebaliknya. Bersabarlah wahai saudara ku. Hadapi musibah ini dengan tenang, jangan pernah menyalahkan kejadianNya. Berbalik kepada kehidupan kita, hargailah siapa sahaja yang hadir dalam hidup kita. Kehadirannya bukan untuk dibenci walaupun menyakitkan, tapi Allah menyuruh kita belajar agar tidak menyakiti yang lain. Kutip kebaikkan yang diberikan dan amalkan dalam kehidupan, moga kebaikkan yang dibawa diberkati olehNya. Terima kasih semua yang pernah hadir sepanjang 21 tahun ini. Sungguh tidakku mampu membalas jasa kalian. Hanya mampu doakan yang terbaik. Kerana dalam Doa itu ada satu ikatan dengan Maha Pencipta. Doa itu medium sebuah cinta.


Terima kasih ummi abah kerana membesarkan anakmu sehingga sekarang. Tak terbalas dengan wang ringgit, moga kesempatan yang ada ini dapatku berbakti kepada mereka. Terima kasih semua, jika ingin ditulis sangat banyak penghargannya. Keluarga, sahabat. Moga Allah memberkati kalian. Terima kasih kepada insan yang banyak menyokong ana dalam dunia penulisan ini, komen, teguran, nasihat, ajarnya. Moga kamu dirahmati selalu walau dimana jua berada. insyaAllah. Moga dipertemukan.


Harapan ku, sebelum diri ini ‘mengundurkan diri’ dari medan ini. Moga diberikan peluang untuk memberi segalanya. Berkongsi ilmu, berkongsi pengalaman, berkongsi pemberian kerana yang ada didunia ini bukan milik mutlakku. Blog ini merupakan salah satu jalan untuk ku berkongsi. Ku juga impiankan dapat mengembara di bumi Allah ini. Pergi mengutip ibrah diperjalanan. Jika dizinkanNya. Dan banyak lagi.


Maafkan ku jika sepanjang perjalanan ini membuatkan sesiapa terguris hati. Ku belajar menerima apa yang telah ditakdirkan. Seerat mana pun kita pegang, jika tidak ditakdirkan untuk kita, senang sahaja Allah menariknya. Doakan yang terbaik untuk kita. Untuk bertawakkal dalam kehidupan ini perlu tahu dimana tempat kita hendak bergantung(MDH). Pada siapa kita sandarkan kan pengharapan kita? ALLAH SWT. 

Sekian,

Tinta Seorang Pencari,
Kerana Cinta Dia itu Benar,

#Kesempatan yang hanya sebentar moga keikhlasan ku terlangkar,
# Hanya dengan menulis ku dapat ukirkan segala kata hati.
#Doakan keselamatan saudara kita yang ditimpa musibah banjir dan saudara kita di Palestin, Mesir, Syria.


1.24a.m
Selasa
23 December 2014





Khamis, 11 Disember 2014

Bersamamu




Assalamualaikum



Kita pernah bersama,
Menempuh onak dan duka,
Tidak pernah putus asa,
Walau dugaan datang melanda,

Dikau pernah bertanya,
Bila cahya akan tiba,
Ku berkata bersabarlah,
Serahkan sahaja pada yang Esa,

Bila masanya menjelma,
Kejayaan akan tiba,
Namun tidak mungkin ku lupa,
Kenangan kita indah bersama,

Menempuh onak cabaran,
Dan liku hidup yang panjang,
Tidak mungkin hidup ini sepi,
Selagi ku masih di sini,

Kini terungkap kisah hidup kita
Berbekalkan taat dan sabar
Pastikan bercahaya,

Bersamamu Sahabat.
Terima kasih untuk segalanya,
Menegur, menghiburkan hati, menasihati,
Moga diberkati selamanya,
Saling mendoakan,
Disetiap permulaan itu pasti ada pengakhirannya,

Maafkan andai tersalah bicara,
Tersilap tingkah laku,


-Devotees-
-Bersama-



-Kerana Cinta Dia itu Benar-
-Tinta Seorang Pencari-
-11.12.2014-

Isnin, 8 Disember 2014

' Magic Word '


| Gambar ini terlalu cantik untuk diabaikan, Subhanaallah |


Assalamualaikum

Alhamdulillah, :)

Entry kali ini tentang 'Magic Word '.  Tentang apa 'Magic Word' ini? Mantera ke? Macam dalam Cerita Harry Potter tu kan. Sectumsempra. Okkey, sebenarnya bukan itu yang ana maksudkan. Maksud 'Magic Word' ini adalah perkataan 'Terima Kasih', 'Minta Maaf', 'Minta Tolong' dan 'Sama-Sama'. Nampak simple kan perkataan ini. Tapi besar maknanya pada seseorang. Mungkin akan memberi kesan pada diri seseorang. Contohnya, nak marah tak jadi nak marah.

Ucapan 'Terima Kasih'. Biasa kita guna bila seseorang membantu kita.  'Terima Kasih' tanda penghargaan yang seseorang hulurkan kepada kita. Kita nak orang hormati kita, tapi diri kita dengan orang lain macam mana? Fikirkan. Walaupun perkara yang simple, ringankan ucapan terima kasih. Okkey lah tak nak ' Terima Kasih' panjang sangat kan, ucap 'Thanks' okkey dah :)

'Magic Word' yang kedua 'Minta Maaf''. Salah satu 'Magic word' yang orang susah nak ucap,tak semua ada segelintir sahaja. Ucapan saya minta maaf bukan tanda kita membenarkan kesalahan yang ada tapi mungkin kesalahan yang kita lakukan samada dalam sedar atau tidak. Kesalahan yang kita tak sedar ini bahaya. Tak salahkan ucap 'Minta maaf' di setiap akhir kata. Cuba :)

Yang ketiga 'Minta Tolong'. Tapi ada yang guna 'Weh, ambikkan kertas kat atas meja tu'. Perkataan 'Tolong' hilang tanpa jejak. Boleh tak salah pun, tapi adab tu melambangkan diri kita macam mana. Sama-sama kita ubah. Anda mampu mengubahnya :) Ajar diri dan orang sekeliling untuk menyebut simple words ini. Bagaimana nak ajar? Praktikkan dengan diri kita dahulu. Moga menjadi ikutkan kepada yang lain. 

Last word, 'Sama-Sama'. Ini untuk pihak kedua. Okkey tak nak balas 'Sama-sama', senyum aja boleh tak? Boleh aje. Pahala pun dapat :).

Sebenarnya, rindu nak menulis . Maaf semua. Moga perkongsian yang sangat simple ini mampu memberi 'sesuatu' kepada pembaca. Jom praktikkan dalam kehidupan kita. 




-Kerana Cinta Dia itu Benar-
-Tinta Seorang Pencari-