Rabu, 19 Oktober 2016

Siapa Aku?

Siapa Aku?

Assalamualaikum,


Cuba bayangkan, semasa berada di persimpangan jalan menuju ke sesuatu tempat tanpa ada sebarang bantuan dan petunjuk hanya kiri atau kanan yang menjadi pilihan ketika itu. Apa yang kamu akan lakukan?. Saya yakin banyak jawapan yang akan dilontarkan oleh kita bila di tanya sedemikian. Di sebalik sebuah peristiwa kita akan kenal siapa diri kita walaupun tidak secara mendalam cukup kenali dari isi hati.

Ada pepatah yang mengatakan ‘Jika hendak tahu kamu kuat atau tidak, berjalanlah seorang diri’. Kenapa ada sebaris ayat yang sedemikian?. Maksud ayat tersebut ialah sama juga dengan peristiwa di atas, bila kita berseorang yang tinggal kita dengan Allah pada masa itulah kita akan merasa untuk bertawakkal sungguh-sungguh denganNya. Jika sebelum ini bagaimana?. Tepuk dada tanya hati sendiri.

Pernah berlaku kepada penulis semasa tahun akhir di universiti, pada masa itu kalut hendak hantar thesis draft untuk viva dan ada beberapa masalah lain menyebabkan lewat sehari hantar berbanding orang lain. Cuba mencari inisiatif sendiri untuk memaklumkan kepada pensyarah yang menguruskan penghantaran thesis ini. Dalam hati, jika dia tidak meluluskan atau terpaksa mengulang semester untuk projek tahun akhir sahaja diri ini hanya menerima. Bertawakal kepada Allah, walaupun sepahit mana kata-kata yang dilemparkan oleh orang lain kepada kita. Tapi dengan izin Allah dapat lalui viva dengan baik dan bergraduasi pada September lepas. Mungkin cerita ini hanya biasa sahaja, tapi bagi sesiapa yang melalui saat dimana kamu sungguh-sungguh bertawakal, kamu akan memahami.

Belajarlah untuk mengenali diri kita yang sebenar bukan hanya boleh berbicara tentang orang lain. Bukan mudah hendak mencari identiti diri sendiri bila kita dihalang dengan pelbagai dugaan yang mendatang. Semakin kita bertambah usia, semakin banyak benda yang kita belajar untuk memahami erti kehidupan. Jangan pernah halang diri untuk menidakkan setiap yang kamu jumpai, setiap langkah perjalanan yang dilalui dan setiap baik dan buruk yang kamu dapat sepanjang kehidupan ini.

Ada insan yang Allah kurniakan rezeki melimpah ruah kepadanya, ada orang Allah hantarkan ujian kepadanya dengan bertubi-tubi, ada juga yang Allah bungkuskan rezeki disebalik sebuah ujian. Pelbagai resam kehidupan yang kita akan lalui dan yang datang silih berganti. Pada suatu hari nanti pasti akan tinggalkan kita dan kita juga akan meninggalkan orang disekeliling ini. Sebelum berakhirnya sebuah perjalanan buatlah sesuatu yang akan menjadi bekalan kita di akhirat nanti. Tinggalkan satu kisah perjalanan yang menjadi contoh kepada yang lain. insyaAllah.

                        ‘Everything is Powerless without Allah’
            Kebergantungan kita dengan Maha Pencipta kita sungguh kuat tambahan apabila kita dalam keadaan yang sangat memerlukan. Pernah kamu rasa pada saat ketika kalau bukan Allah yang tolong siapa lagi yang tolong kita?. Diberi sebuah buku sebagai hadiah konvokesyen yang bertajuk ‘Bahagia Bukan Gembira’. Apakah makna tajuk sebuah buku itu?. Kandungan buku tersebut banyak menceritakan tentang pengalaman dan kisah hidup penulis dari kecil sehingga dewasa yang berkisar jalan perjuangan dan kemanusiaan.

Saya petik kata-kata dari buku tersebut ‘Bahagia, bukan sekadar gembira, tetapi ia adalah suatu masa dalam jiwa yang tidak perlu dijaja dan dipamer ke seluruh dunia. Memberilah sebanyak-banyaknya lalu kita akan dapat rasakan bahagia!. Memberilah dengan sebanyak-banyaknya tapi memberi apa?. Adakah dengan wang ringgit, kerahan tenaga atau memberi kata-kata yang positif untuk mereka?. Apa sahaja yang kita berikan kecil atau besar nilainya memberilah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan atau penghargaan dari mana-mana pihak. Jika kita berharap tapi tiada apa-apa yang kita dapat,apa yang kita akan rasa? Ya, akan rasa kecewa dengan sebuah penghargaan.

Akhir kalam, jom sama-sama kita perbaiki diri untuk memahami tujuan kita hidup di dunia ini. Kita tidak hidup berseorangan, ada insan-insan disekeliling kita yang sentiasa bersama. Saya tinggalkan dengan kata-kata dari penulis buku Bahagia Bukan Gembira.

‘Adakah orang yang punya banyak masa lapang lebih bahagia daripada orang yang sibuk? Adakah orang yang ekstra pandai lebih bahagia daripada orang yang kurang pandai?atau....sebaliknya?’

‘Kita yang mencorakkan siapa kita dengan keputusan yang kita sendiri buat’


Catat Ulasan