Jumaat, 11 April 2014

Mencintai Yang Tidak Terlihat


 Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
[Ar-Rum : 21]

          Saya mulakan perbincangan hari ini dengan kalimah yang mulia, bismillahir rahmanir Rahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Pertama sekali, marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana Dia memberikan kepada kita nikmat yang agung iaitu nikmat Iman dan Islam. Seterusnya Dia jugalah yang memberi kehidupan serta rezeki yang ada di atas muka bumi ini. Terima kasih kepada Allah memberi kudrat, kekuatan dan kemampuan kepada saya untuk menulis entri ini.

          Sengaja saya ingin membawa tajuk yang mempunyai perkatan “cinta”. Seperti mana kata saudara-saudara (ikhwah) di page troll tarbawi, orang kita ini suka dengan benda-benda yang ada kaitan dengan “cinta”. Ceramah atau program yang tajuknya mempunyai perkataan “cinta” pasti ramai anak muda yang akan menghadiri majlis itu. Jadi dengan harapan pemuda pemudi membaca entri ini, saya juga cuba menggunakan pendekatan yang sama. Cinta dalam tajuk ini bukan semata-mata cinta kepada pasangan, insyaAllah (dengan izin Allah) saya cuba membawa skop perbincangan cinta ini lebih daripada itu.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
[at-Taubah : 24]
  
          Pertama sekali, pernahkah sesiapa di sini (yang membaca) yang pernah bertemu dengan Allah? Saya berani jamin belum ada sesiapa pun yang pernah bertemu dengan Allah. Hanya Nabi Muhammad SAW sahaja yang diberi kelebihan dan kemuliaan untuk berada dekat dengan-Nya (Aisyah r.a, isteri Nabi menafikan baginda bertemu dengan Allah ketika israk mi'raj). Namun begitu, hamba yang mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya merupakan seseorang yang sangat mencintai Allah walaupun tidak pernah bertemu. Itulah yang saya ingin maksudkan di sini berkenaan dengan tajuk kita. Mencintai sesuatu yang kita sendiri belum pernah melihat.

          Kerana cinta, hamba itu terlalu mencintai Sang Penciptanya, maka segala yang disuruh pasti akan dituruti. Bukan sahaja melakukan perkara yang wajib, malah dia juga akan melakukan perkara yang sunat. Disebabkan cinta kepada Sang Penciptanya, seorang hamba sanggup mengorbankan hartanya demi menegakkan agama Allah, seorang hamba sanggup mengorbankan waktu lapangnya demi menyebarkan agama Allah, seorang hamba sanggup bangun malam mengorbankan tidur nyenyaknya untuk berkhalwat dengan kekasihnya Yang Maha Agung. Begitu indah bagi mereka yang sangat menjiwai cinta kepada Allah.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Ali Imran : 31]

          Antara manusia yang kita (zaman sekarang) tidak pernah bertemu tetapi mengakui mencintainya ialah Nabi Muhammad SAW. Para sahabat sangat beruntung dapat bertemu dengan baginda. Namun kita juga ummat yang beruntung kerana Nabi juga merindui kita. Kita tidak pernah melihat wajahnya, apatah lagi melihat baying-bayangnya, tetapi nama baginda sangat dekat di hati kita. Mencintai baginda bukan hanya dengan sekadar mengakui perasaan itu, bukan hanya sekadar mengucap namanya selalu, bukan juga sekadar berqasidah mahupun bernasyid, tetapi mencintai baginda hendaklah mengikut jejak langkah baginda.

          Sunnah baginda kita amalkan, akhlak baginda kita contohi, syariat yang dibawanya kita sebarkan, dan yang paling penting dakwah baginda kita teruskan. Sirah kehidupan baginda; dari kecil sehingga wafat, dari manusia biasa sehingga menjadi rasul, ketika susah dan senang baginda dan sewaktu dengannya perlulah kita pelajari dan hayati agar cinta kita kepada baginda benar-benar cinta yang sejati. Agar cinta kita kepada baginda merupakan cinta yang sangat kukuh dan tidak akan pernah luntur. Mencintai baginda dengan cara yang sebenarnya.

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
[al-Baqarah : 25]

          Kita juga mencintai tempat yang telah Allah janjikan kepada mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh. Tempat itu adalah syurga. Tidak pernah melihat apakah itu syurga dan tidak juga pernah melihat apakah itu neraka. Sekadar mengetahui tentangnya daripada ayat-ayat yang telah diturunkan oleh Allah di dalam Quran. Oleh sebab yakin dengan janji Allah dan juga mencintai satu tempat yang memiliki suasana yang cukup indah, kita sangggup melakukan apa saja demi mendiaminya. Tidak mungkin tercapai akal manusia mengenai keindahan syurga dan semoga dengan khabar berita yang gembira ini membuat kita bersungguh-sungguh mencapai redha Allah dan merebut ganjaran-Nya.

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[al-Isra’ : 24]

          Perkara yang seterusnya yang kita telah cintai sebelum kita sempat melihatnya ialah kedua ibubapa kita. Mereka juga sama seperti kita, sudah mencintai bayinya yang masih ada dalam kandungan walaupun masih belum menatap wajah anaknya itu. Begitu indahnya cinta, tidak perlu bertentangan mata, tidak perlu menatap wajah, tetapi cinta sudah mampu dicapai. Oleh sebab mereka mencintai kitalah, mereka menjaga kandungan dengan baik sehingga lahirnya kita ke muka bumi ini. Tanpa kasih sayang mereka, tidak mungkin kita dapat melihat dunia pada hari ini. Cukup sekadar kita bayangkan pengorbanan mereka sebelum kita dilahirkan lagi, kerana sudah semestinya selepas kelahiran kita pengorbanan itu berterusan sehinggalah akhir hayat mereka.

          Rasanya cukup cerita pasal cinta. Kalau terlalu panjang nanti boleh jadi bosan. Kesimpulannya, ada yang mengatakan cinta itu hadir kerana mata bertemu mata dan kemudian turun ke hati, ada juga mengatakan cinta itu kerana pandangan yang pertama dan pelbagai lagi definisi-definisi cinta ini. Bagi saya cinta itu merupakan satu pancaindera yang tersembunyi. Dia ada dalam diri setiap daripada kita ini, tetapi tidak kelihatan. “Sixth-sense”.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
[al-Hujurat : 13]


~Cinta tiada rupa~
~Cinta ada rasa~

~Wallahua’lam~

Tiada ulasan: