Sabtu, 26 April 2014

Kita Semua Pejuang...


Assalamualaikum [52]



Alhamdulilah,

Di sebuah perjalanan mesti dimulakan dengan langkah pertama bukan,seorang kakak pernah berkata jika titik permulaan itu baik,niat kita baik,ibrahnya untuk semua insyaAllah pengakhirannya juga baik. Sebagai seorang pelajar menuntut ilmu adalah yang paling hampir dengan kita. Dimana sahaja kita berada, jadilah seorang yang pandai menilai setiap yang berlaku. Perjalanan menuntut ilmu sering kali berliku dan menyukarkan. Masakan tidak, permulaannya sahaja kita perlukan kewangan untuk menampung kos pengajian. Bagi yang Allah memberikan mereka rezeki untuk mendapatkan biasiswa gunakanlah dengan sebaiknya. 

Pesan pada diri, segala pengorbanan ini dilihat sebagai jihad dan perjuangan kita dalam meraih reda Allah. Bahkan, jihad ini setaraf dengan jihad di medan peperangan iaitu perjuangan dalam menuntut ilmu. 
Daripada Abu Darda' r.a berkata :

"Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :
'Sesiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga'.

Kita semua pejuang di medan ilmu, seorang ahli tafsir; Abu Bakar al-Jaza'iri berpendapat kelebihan antara menuntut ilmu dengan jihad di jalan Allah itu sama darjatnya, dengan syarat kedua-duanya mesti berlandaskan niat yang ikhlas dan baik.

Allah s.w.t juga mengiktiraf para penuntut ilmu menerusi firmanNya : 'Dan tidak patut bagi setiap yang beriman keluar semuanya(pergi berperang). Maka, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada setiap kumpulan antara mereka untuk mendalami ilmu agama dan mengajar kaumnya apabila mereka dapat berjaga-jaga."
[Surah al-Tawbah 9:22]

Maksud ayat di atas,menjelaskan bahawa komuniti Islam terbahagi kepada 2 kelompok.
  1. Mereka yang pergi berperang mempertahankan agama Allah.
  2. Mereka yang pergi 'berperang' menuntut ilmu Allah (ilmu agama mahupun akademik)
Setiap daripada kita mempunyai kepakarannya yang tersendiri, ada yang berkemahiran dalam strategik peperangan, tangkas bermain dengan senjata, bijak dalam menangani musuh. Tapi, ada satu kelompok lain yang pergi menuntut ilmu dalam pembuatan senjata, baju besi dan sebagainya. Tujuannya, apabila mereka yang berperang pulang, mereka yang menuntut ilmu itu akan mengajarkan pula kepada yang lain.

Dewasa ini, terlalu banyak yang berlaku sebagai contoh isu kalimah Allah, isu Hudud, isu ada sesetengah pihak yang terlalu lantang bersuara tanpa ada ilmu yang kukuh, isu Syria, Palestin , Mesir yang kita sendiri tidak tahu bila kesudahannya. Bukankah kita memerlukan ilmu untuk kita bercakap tentang isu-isu di atas. 

Seorang mujahid pernah berpesan kepada seorang ustaz ketika melawat mereka di Syria. Dia berkata kalian di sana jangan risaukan kami , kami di sini telah dipilih oleh Allah untuk berjuang di jalanNya. Kalian di sana hanya bantu kami dari sumber lain seperti kewangan, makanan, tempat tinggal , perubatan dan sebagainya. Paling penting Doa. Boleh kita kaitkan dengan ayat cinta Allah dalam surah a-Tawbah tadi.

Kita semua pejuang, dengan syarat kita boleh sumbangkan sesuatu untuk Islam untuk agama kita sendiri. Medium yang cuba saya lakukan sekarang mengikuti usrah dan menulis di blog sendiri. Terlalu banyak medan yang saya sendiri belum lalui. Orang lain telah maju ke hadapan dengan kumpulan mereka. Memang tak cukup dengan ini sahaja. Perjuangan kita di medan ilmu jauh lebih senang jika ingin dibandingkan dengan perjuangan mereka di medan peperangan. 

Kita melalui jalan yang berbeza, dengan tarbiyah yang berbeza, dengan ujian yang berbeza tapi destinasi akhir kita tetap sama. Tempat pertemuan akhir kita sama. Jom, sama-sama kita audit diri. Erti hidup pada memberi. Memberilah walaupun sedikit, mungkin dengan sedikit itu akan membantu kita di sana nanti. Percayalah, kita akan senang melihat orang yang kita tolong gembira. Mungkin ini yang terakhir dari kita. 

Akhir kata, kita semua pejuang. jangan pernah rasa ini tanggujawab golongan tertentu sahaja. Dimana sahaja kita berada memberilah. Kadang kita tak disukai tanpa sebab tapi jangan sampai Dia tak 'suka' dengan kita. Itu yang tidak membawa makna dalam hidup kita sebenarnya. 

Teruskan perjalanan,


Tinta Seorang Pencari...

Tiada ulasan: