Jumaat, 28 Februari 2014

Mari Menjadi Hamba..




Assalamualaikum,

Alhamdulilah, salam penghulu segala hari. Tajuk entry pada kali ini Mari Menjadi Hamba, kita semua hamba Allah. Kalau kita takrifkan istilah hamba ini. Apakah yang kita faham? Hamba ini seseorang yang disuruh taat kepada Tuannya, yang perlu mengikut segala kemahuan tuannya. Bak macam cerita P.Ramlee kalau ingkar nanti kena jual.

Sama lah kita juga, kita ini hamba Allah. Dia telah mengatur segalanya untuk kita, telah merancang semuanya untuk kita. Kita hanya perlu ikut suruhannya, ajarannya dengan penuh ketaatan. Tapi tidak semudah yang kita sangka kan. Hendak menjadi hamba bukan mudah. Sejaran dunia telah membuktikan untuk memiliki sebuah kebenaran itu perlu melalui satu fasa iaitu fasa diuji, dihina dan dihentam. Apa kita sanggup? Nabi kita Muhammad saw yang telah diuji dengan dengan sangat kuat. Tapi nabi melaluinya dengan penuh kesabaran malah nabi tidak pula membalasnya dengan kejahatan sebaliknya nabi berdoa supaya mereka diberikan kebenaran dan kebaikkan. Jauh sekali dengan kita bukan. Sekali kita diperli kita mudah marah, mudah menhentam orang itu. Apa kata mulai hari ini kita berdoa untuk kebaikkannya juga. Peringatan kita bersama. Diri kita tak kuat untuk hadapi semua ini bersendirian. Perlu ada sokongan dibelakang kita.


Kita mengeluh dengan ujian-ujian yang kita hadapi, kita berikan alasan dengan kesukaran yang kita jumpa, kita mengeluh dengan perkara yang kita sangka besar apabila ia berlaku dalam hidup kita. Apa kata kita laluinya dahulu sebelum menilai sesuatu itu. Jika perlu diam, sebaiknya kita diam dari berkata-kata. Mungkin kita lupa dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud :


"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya......"


Hari ini sekurang-kurangnya kita tidak duji seperti Bilal Bin Rabah, tidak seperti Sumayyah tidak pula direbus dalam kawah seperti Masyitah dan 3 orang anaknya dan tidak pula dibelah dua dengan gergaji seperti guru kepada Pemuda Ashabul Ukhdud (kaum yang menggali parit). Allah ! kuatnya mereka membawa Islam dalam jiwa mereka. Bagaimana dengan  uimat Islam sekarang?. Tidak salah rasanya ana katakan kita diuji dengan penuh kesenangan yang akhirnya kita jatuh sendiri.

Hakikat Perjalanan Seorang Hamba.

Allahyarham asy-Syahid Syed Qutb pernah berkata , "Jalan ini tidak dibentangi dengan permaidani merah, juga tidak ditaburi dengan bunga-bunga. Tetapi jalan ini ditaburi dengan duri-duri yang terpacak."

Seorang pejuang Islam ada berkata : "Inilah dia jalan yang amat panjang, jalan paling sukar dan paling berbahaya. Tetapi hakikatnya inilah dia jalan yang paling pendek, jalan yang paling senang dan paling selamat untuk ke syurga Allah".


Allah tidak zalim kepada kita sebenarnya. Allah telah memberi kita jalan keluar, yakni Islam. Allah telah menghantar Rasulullah . Kita yang banyak menzalimi diri kita sendiri. Kita tidak ambil, kita letak tepi, kita memberikan pelbagai alasan. Ini bukan kerja kita, kerja dia. 

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri "
{Surah Yunus 10:44}

Jom kita sama-sama berlayar ke destinasi kita yang sebenar. Bawa diri kita di landasan yang betul. Sandarkan diri kita dengan cara yang betul. Mari menjadi hamba Allah yang sebenarnya.  Moga bertemu Cinta hakiki, insyaAllah.




Ingatan bersama,
28022014,






Selasa, 25 Februari 2014

Kisah 'The Power of Doa'.


Assalamualaikum.




Semoga blog ini menjadi seperti taman-taman yang indah yang dipenuhi bunga-bunga (entry-entry) yang menawan supaya lebah-lebah (para pembaca) dapat mengambil madu (ilmu) daripada bunga-bunga untuk memberi manfaat kepada orang lain pula.

Sering berlaku dalam kehidupan kita, mereka berpesan rezeki tidak datang bergolek. Kita perlu usaha walaupun sejenak. Namun, sampai tahap yang bagaimana kita berusaha? Apa yang kita lakukan? . Setiap orang ada caranya yang tersendiri, ada seninya yang tersendiri. Allah ciptakan kita dengan pelbagai ragam supaya kita sentiasa belajar dari mereka. Pesan pada diri, disebalik kelebihan diri kita, terselit kelemahan yang kadang-kadang kita sendiri susah untuk menerima. Sama lah juga apabila kita memandang insan lain. Melihat cara mereka bergaul, belajar, beribadat dan sebagainya. Jangan sesekali berkata 'Aku lebih hebat dari dia'. Siapa kita untuk 'judge' orang sedemikian? Kita bukan siapa-siapa. Dia yang hanya mampu menentukan segalanya.

Harapan ada untuk semua yang berusaha. Tapi usaha yang bagaimana?. Tajdid niat kita dengan sebaiknya. Yakni pasang niat kita belajar kerana Allah, ilmu yang kita belajar ini datang dariNya. Setiap kali turun dari hostel, baca 'Bismillahitawakkaltu 'alallah la hawla wala quwatta illa billahi 'aliyyil' azim.' Semoga Allah permudahkan urusan kita.InsyaAllah. Dalam kelas pula, kebiasaannya kita ini bagaimana? . Tak kata orang lain la kan, kadang diri sendiri juga selalu tak focus. Hubungan baik dengan pensyarah itu penting, kerana dia yang memberikan ilmu. Di kesudahannya, kita terus berdoa dan bertawakkal.

Banyak sebenarnya kisah 'The power of Doa' yang Allah ceritakan dalam A-Quran. Kisah-kisah nabi yang kita boleh ambil pengajaran yang cukup penting dan bagi penulis jika kita benar-benar memahaminya kita akan tidak mudah berputus asa. Di antaranya kisah Nabi Yunus, Nabi Zakaria, Nabi Ayub yang ada diceritakan dalam surah Al-Anbiya. InsyaAllah, penulis akan kongsikan kisahnya.

Bermula dengan kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan nun. 

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".

{Surah Al-Anbiya ayat 87}

Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).

 {Surah Al-Anbiya Ayat 88}


'Dalam keadaan yang gelap-gelita' ditafsirkan ketika Nabi Yunus berada dalam perut ikan nun dalam laut. Sepanjang masa nabi berzikir dan berdoa dan di antara doa/zikir yang nabi amalkan ialah di pengakhiran ayat 87 'laahilahailaanta subhanakainni kuntum minazzalimin'.  Selalu amalkan zikir ini. Semoga mendapat kita mendapat pengampunan dari Dia. Jika kita tengok kehidupan kita dari sehari ke sehari begitu banyak kita telah menzalimi diri kita sendiri tanpa kita sedar. Sebagai contoh, tidak bersyukur dengan rezeki yang telah dikurniakan olehNya, tidak menuntut ilmu sedangkan begitu banyak cara untuk kita menuntut ilmu, tidak bersedekah, tidak mengeratkan hubungan silatulrahim sesama saudara, berdoa tetapi tidak mendoakan untuk orang lain juga.

Kisah Nabi Ayub yang diceritakan dalam surah A-Anbiya ayat 83 dan 84.

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".

Dan

Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).

Kisah Nabi Ayub yang telah diberikan pelbagai ujian oleh Allah. Dia telah berpesan suapaya 'sabar' dan taat akan perintahnya. Jika ingin lebih details kisah Nabi Ayub :



Kisah Nabi Zakaria yang turut diceritakan dalam surah ini ayat 89 dan 90.

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".

Dan

Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.


Allah telah mengabulkan doa Nabi Zakaria dengan mengurniakan anak lelaki iaitu Nabi Yahya. Menurut kisah yang diceritakan ketika Nabi Yahya dilahirkan dalam keadaan yang sihat, cepat membesar dan kuat akalnya. Begitulah kuasa Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dia telah menentukan segalanya bagi kita, tapi kita juga perlu berusaha untuk mendapatkan yang terbaik. 'The Power of Doa' yang Allah ceritakan dalam surah Al-Anbiya ini banyak memberikan kita ibrah nya. Jangan mudah berputus asa dengan rahmat Allah. Nabi kita di uji dengan pelbagai ujian, jauh berbeza dari kita sekarang di 'hidang' dengan pelbagai kesenangan. 

Doa itu senjata bagi umat Islam. Berdoalah nescaya akan Ku perkenankan doamu. Berdoa itu bukan sekali dua, bukan sehari dua mungkin bertahun-tahun. Bersabarlah, jika sekarang masih dapat apa yang kita hajati.  

Kisah ini mungkin ramai yang sudah tahu. Tapi baca dan ambillah pengajaran disebalik kisah ini. Buat peringatan kita semua termasuk saya sendiri.





Sekian,
25022014
Tintaseorangpencari,

Jumaat, 21 Februari 2014

Disebalik Nama Tinta Seorang Pencari.....



Alhamdulilah, masih diberikan kesempatan untuk terus mencoret di Tinta Seorang Pencari, setelah seminggu penulis meneruskan perjuangan di universiti. Pelbagai tugasan dan tanggujawab yang perlu di uruskan, itulah dunia seorang pelajar.

Tanggal 20.June. 2013,blog ini di publish ke alam maya dengan post yang pertama 'Ahlan Wasahlan'. Alhamdulilah,sehingga kini blog ini telah mendapat komen yang positif dari sahabat semua. Mereka banyak memberikan dorongan untuk terus menulis di sini sehingga pada baru-baru ini ada seorang sahabat berjumpa dengan penulis untuk belajar buka blog dan menulis. Alhamdulilah, semoga Allah merahmatinya.

Bagaimana Tinta Seorang Pencari ini mendapat namanya? 

Sejak sekian lama penulis ingin mengembangkan bakat dalam dunia penulisan ini tapi ketika itu masih tiada idea untuk menulis. Diberi idea oleh Allah untuk membuka blog ini. Bakat penulisan ini sebenarnya boleh dicari dalam diri setiap insan. Cuma memerlukan minat,ketekunan untuk terus bertanya dan membaca. Diri ini bukan sehebat Saudara Hilal Asyraf , bukan juga seperti Ustazah Fatimah Syarha hanya seorang insan yang ingin menulis untuk semua. 'Tinta' yang bermaksud penulisan dan 'seorang pencari' bermaksud diri ini yang masih perlu banyak belajar dan belajar.

Jadikan sebagai Penyebar Fikrah yang baik.

Jadikan anugerah yang Allah berikan ini untuk menyebarkan fikrah yang baik. Apa yang kita tidak tahu kita kongsikan, apa yang baik kita kongsikan, kisah-kisah Nabi-nabi dan para sahabat banyak memberikan kita nasihat turun boleh ditulis walaupun mungkin di ambil dari sumber lain. Jika kita tengok sekarang banyak blog yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Begitu banyak, namun adakah semuanya memberika kita manfaat? Anda bijak memilihnya. Jangan malu untuk tonjolkan bakat ,tidak tahu bertanya dan belajar dari yang lain. Penulis juga banyak belajar dari blogger yang lain. 

'Kita menulis bukan untuk manusia mengenali kita'
'Kita menulis untuk manusia mengenali Allah'

Teruskan Menulis.

Penulis petik penulisan Hilal Asyraf dalam bukunya Bata-Bata Kehidupan. Kalau benar hendak sebar Islam seluas mungkin, dua perkara yang perlu kita cantas dari diri kita adalah ' malu untuk sebar benda baik' dan 'takut nanti orang kata apa'. Jangan bermakna kata-kata ini.

Pesannya, konsisten dalam menulis paling kurang seminggu sekali paling tidak dua minggu sekali. Ingat balik niat kita yang asal ketika permulaan buka blog,mesti bersemangat kan dan moga semangat itu terus kekal.insyaAllah.

'Promosi'

Promosi blog kita seluas yang mungkin. Ramai yang menganggap bahawa, promosi blog sama dengan 'poyo' ,'cari populariti', 'tunjuk baik' dan sebagainya. Ini satu kesilapan. Ingat, kita menyebarkan benda yang baik, yang boleh memberikan ilmu kepada orang lain. Orang yang tidak tahu menjadi tahu, dan orang yang sudah tahu akan refresh kembali ingatan dan pengetahuan itu. Sama-sama kita perbaiki.

'Menantikan Harapan Itu'

Disebalik semua entry ada maksudnya yang tersendiri, ada harapannya yang tersendiri. Walaupun blog ini bukan 100 % idea dari penulis namun harapan itu masih segar. Ingin melihat pembaca-pembaca memahami Islam dan jika di lihat blog ini membawa konsep bercerita moga dengan konsep ini mereka lebih memahaminya.

'Insan Yang Terpilih'

Dakwah ada banyak cara lain. Sahabat-sahabat yang minat menulis dan berblog alangkah baiknya jika gunakan blog itu untuk sebarkan kebaikkan. Malu ? Rasa diri tidak mampu ? . Renungkan kata-kata ini ;


Dari Anas ra d ia berkata, kami bertanya, “Ya Rasulullah, kami tidak akan menyuruh orang untuk berbuat baik sebelum kami sendiri mengamalkan semua kebaikan dan kami tidak akan mencegah kemungkaran sebelum kami meninggalkan semua kemungkaran.”
Maka Nabi SAW bersabda, “Tidak, bahkan serulah kepada kebaikan meskipun kalian belum mengamalkan semuanya, dan cegahlah dari kemungkaran, meskipun kalian belum meninggalkan semuanya.” 
(HR. Thabrani).

*****************

Kita gunakan minat kita untuk Islam.
Kalau orang yang minat melukis, gunakan lukisan kita untuk Islam.
Gunakanlah kelebihan yang ada dalam setiap daripada kita untuk Islam.

'Pesanan'
Sangat terkesan kepada diri sendiri,

'Janganlah pula lemas di alam blog, Internet semata-mata. Blogger yang baik itu adalah yang baik juga di alam realiti. Walaupun mungkin di alam realiti dia tidak dicari,tidak dikenali seperti di alam maya,kita tetap ada kewajipan menjadi hamba Allah yang diredhaiNya.

'Percayalah kata2 saya bahawa, hidayah itu adalah milik Allah. Maka, jika benar kita ber'blog' ini untuk memberikan manfaat kepada Islam, henadak sebar hidayah Allah dengan lebih meluas, maka kita sendiri perlu baik dengan Allah. Barulah kerja2 kita itu dipermudahkan. Bukanlah hidayah itu di hjung jari kita, tetapi Allah lah juga Pemilik hidayah yang sebenarnya.

Maka, janganlah kita anggap blog kita sebagai 'satu tempat mengajar orang lain' ,tetapi lihatlah blog kita sebagai 'satu medan memperbaiki diri, dan mengajak orang lain kle arah yang sama'.

Manfaatkanlah minat berblog dan kelebihan yang Allah kurniakan.
Jadilah da'ie yang berblog,
Bukan sekadar blogger yang berdakwah,

Allah ! kata2 yang sangat bermakna kan,
Semua orang ada caranya tersendiri yang Allah berikan kepadanya,
Mungkin dia tidak pandai menulis tetapi fasih berkata2,mempunyai perwatakan yang disegani oleh orang lain,
Kerana kita semua khalifah di bumi Allah,




waallahu'lam
Teruskan perjuangan ini selagi terdaya,
InsyaAllah,
21022014


Selasa, 11 Februari 2014

Taatnya 'Si Cacat"...

Assalamualaikum..



Alhamdulilah,semalam penulis ada post di FB berkaitan belajar dengan alam. InsyaAllah, entry ini akan bercerita tentang kisah tentang alam. Hujan renyai-renyai dan musim sejuk yang kita alami banyak mengajar kita tentang kuasa alam, kuasa Allah swt. Lihat ke luar lihat anak-anak kucing duduk kesejukan, burung tidak lagi nampak berterbangan di langit, hanya angin yang membelah alam. Di sekeliling rumah hanya sawah padi yang nampak kehijauan. Dimana si matahari ini? Rajuknya mungkin ramai yang tidak senang. Mungkin si ibu merungut kain di jemuran tidak kering. Namun ada pula yang menyenanginya.

Kelihatan cacing cuba memanjat dinding rumah. Bagaimana boleh sampai ke sini?. Kira-kira si kecil ini cuba 'bercuti' dari fitrahnya di dalam tanah. Habitat hidupnya dalam tanah menghasilkan pengudaraan yang baik, air cepat meyerap, membendung tanah dan membolehkan tumbuhan itu hidup dengan suburnya. Satu tanggujawab yang cukup baik kepada alam. Bagi kita berfikir di mana matanya, tangannya, kakinya, telinganya, dan mulutnya. Tetapi jasanya kepada alam sangat besar. 

Berbekalkan sistem deria dan perkumuhan yang berpaksi di kulitnya, cacing amat sensitif pada cahaya. Anugerah ini menjadi penyuluh sepanjang hayatnya yang gelap dan kelam di dalam tanah. Mungkin kita lupa, suatu ketika nanti si kecil ini akan menemani kita. Setelah cacing berjasa di tanah, dicangkul dijadikan umpan memancing di tepian kali, direntap si ikan keli, dijual di pasar, dibeli oleh si ayah, dibawa pulang dan dimasak si ibu kemudian dijamu kepada keluarga.

Kelak nanti,bila tiba masanya si cacing akan berjasa kepada jasadku nanti. Belajar dari cacing ini bagaimana pula peranan kita? Apa bakti kita? Apa manfaat yang dapat kita berikan kepada yang lain?.
Sesungguhnya, Allah tidak menjadikan sesuatu itu tidak sia-sia.

Jom, kita sama-sama belajar daripada alam. Merenung kitaran hidup kita di bumi Allah ini.

"Sesungguhnya dunia adalah manis dan indah. Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dunia. Lalu, Allah melihat bagaimana kamu beramal".





Semoga entry yang ringkas memberi peringatan kepada kita,
11022014,
Meneruskan perjalanan,
:)



Ahad, 9 Februari 2014

Qadar Allah : Boleh Diubah?.

Assalamualaikum,


Alhamdulilah,

Qadar Allah, adakah boleh diubah?. InsyaAllah,entry kali ini akan membincangkan topik ini dan dipetik dari majalah Solusi. Persoalan ini pernah di tanya oleh sahabat kepada penulis dan berharap kita semua dapat memahami dengan sebaiknya.

Dalam memahami qadar Allah, jelas difahami segala perkara telah ditetapkan dan diketahui oleh Allah. Ini termasuk dalam cakupan ilmu Allah yang meliputi segala-galanya dan berlaku kerana kehendakNya.

Timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qadar mungkin boleh berubah. Ada disebutkan ungkapan bahawa qadar tidak ditolak melainkan dengan berdoa. Jika qadar menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menghindarkannya?.

Qadar Allah.

  • Tiada ilmu bagi kita tentang qadar Allah.
Hakikatnya, tiada sesiapa mengetahui tentang qadar Allah kepadanya. Tiada manusia tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya, tentang kemalangan, kecurian, dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya. Seorang pelajar juga tidak tahu bagaimana dia selepas tamat pengajiannya nanti. Oleh sebab itu, kita tidak perlu menunggu, sebaliknya berusaha mendapatkan qadar ketentuan yang sebaiknya dari Allah.

  • Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya.
Firman Allah swt dalam surah al-Ra'd ayat 39 yang bermaksud :

"Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendakinya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendakiNya".

Menurut Ibn 'Abbas dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan apa-apa yang dikehendakiNya. Ini bermakna Allah menetapkan apa yang dirancang dan mengubah perkara yang dirancang.

  • Qadar mubram dan qadar mu'allaq.


Qadar mubram ialah qadar Allah yang terdapat di Lohmahfuz. Qadar ini tidak akan berubah dan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Ia adalah rahsia ilmu Allah hinggakan para malaikat tidak tahu tentang perkara ini. Oleh sebab itu, kita tidak perlu membicarakan dan mempersoalkan qadar ini.

Seterusnya, qadar mu'allaq iaitu qadar yang tergantung. Qadar ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qadar yang ada dalam kitab-kitab di sisi malaikat. Maka, rezeki, ajal, maut dan usia tetap di sisi Allah swt. Namun, catatan yang ada pada para malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah daripada Allah.

Sebagai contoh, di sisi Allah usia setiap insan adalah tetap. Walau bagaimanapun, kadar usia seseorang insan di sisi malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah oleh Allah.

Ini jelas daripada sebuah sabda Nabi saw yang bermaksud :

"Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menghubungkan tali silaturrahim".
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenar.Tetapi kita boleh berusaha ke arah yang lebih baik.

Tentukan Hala Tuju Diri.

Apabila kita memahami qadar dengan aspek begini, kita sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju diri kita. Qadak dan Qadar bukan asas untuk kita menjadi seorang yang malas, malas untuk berusaha dan berubah. 

Jika Allah menentukan kita miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha. Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan bahawa kita miskin? Mungkin Allah telah menetapkan kita sebenarnya kaya, cuma kekayaan itu diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya jika berhujah dengan alasan qadar Allah dan malas berusaha.

Kita ini sebenarnya bagaimana?
Hanya ingin menjadi seorang yang menunggu datangnya rezeki kepada kita?
Tanpa melakukan suruhanNya,
Tanpa menghubungkan hubungan silaturrahim,
Tanpa bersedekah dengan rezeki yang kita dapat,

Walau dimana sahaja kita berada,
Siapapun kita di dunia ini,
Kita tetap berlindung di bawah langit yang terbentang luas,
Dia pelindung kita,
Allah swt .




Semoga bermanfaat ,
Doakan kita semua ketemu di syurgaNya,
InsyaAllah,
09022014.

Isnin, 3 Februari 2014

Luqman Al-Hakim:Hati dan Lidah...

Alhamdulilah,




InsyaAllah,entry yang ringkas ini akan bercerita tentang seorang yang namanya Allah memberi penghormatan yang tinggi dengan menamankan salah satu surah dalam Al-Quran dengan namanya iaitu surah Luqman.Di dalam surah Luqman itulah Allah mengabadikan kata mutiara dari nasihat-nasihat Luqman untuk memberi ingatan kepada semua dan menjadi panduan kepada kita.Nasihat-nasihat ini sebenarnya semua datang dari Allah,tetapi Allah letakkan kepada lisan Luqman yang kemudiannya disampaikan kepada puteranya.

Kisahnya,

Pada suatu hari,Luqman disuruh oleh tuannya untuk menyembelih seekor kambing,lalu berkata si tuan kepada Luqman :Wahai Luqman! Pisahkanlah dari kambing ini,dua ketul daging yang paling istimewa sekali! Maka Luqman pun memotong lidah dan hati kambing itu,serta dihulurkannya kepada tuannya.

Pada ketika yang lain,si tuan datang lagi,serta menyuruh Luqman menyembelih seekor kambing yang lain pula.Kemudian,berkata si tuan itu, 'Wahai Luqman,Pisahkanlah dari kambing ini,dua ketul daging yang paling tidak elok sekali dari kambing ini.Maka Luqman sekali lagi mengambil lidah dan hati kambing itu,kemudian diserahkannya kepada tuannya.

Si tuan merasa takjub dan hairan,dia berkata kepada Luqman,Wahai Luqman,dahulu aku minta dua ketul daging yang istimewa dari seekor kambing,engkau berikan aku lidah dan hati.Kali ini,aku minta pula dua ketul daging yang tidak elok sekali dari seekor kambing,engkau berikan aku lidah dan hati juga,bagaimana halnya .Tolonglah jelaskan kepadaku.

Luqman menjawab :Ya tuanku,sebenarnya ,tiada sesuatu anggota pun yang lebih baik dari lidah dan hati ,jika keduanya memang baik.Sebaliknya pula,tiada sesuatu anggota yang lebih buruk dari lidah dan hati,jika keduanya memang jahat.

Memanglah lidah dan hati itu merupakan tempat kita menyimpan segala rahsia kita.Kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam menentukan budi pekerti dan kelakuan manusia.Apabila baik lidah dan hati manusia,baiklah kelakuannya.Sebaliknya,apabila jahat lidah dan hati manusia,jahatlah juga kelakuannya.

Rasulullah bersabda :

"Tiada akan lurus keimanan seseorang hamba sehingga lurus hatinya.Dan tiada akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya".


Ayuh,kita sama-sama menjaga hati dan percakapan kita.


waallahu'lam
03022014