Ahad, 9 Februari 2014

Qadar Allah : Boleh Diubah?.

Assalamualaikum,


Alhamdulilah,

Qadar Allah, adakah boleh diubah?. InsyaAllah,entry kali ini akan membincangkan topik ini dan dipetik dari majalah Solusi. Persoalan ini pernah di tanya oleh sahabat kepada penulis dan berharap kita semua dapat memahami dengan sebaiknya.

Dalam memahami qadar Allah, jelas difahami segala perkara telah ditetapkan dan diketahui oleh Allah. Ini termasuk dalam cakupan ilmu Allah yang meliputi segala-galanya dan berlaku kerana kehendakNya.

Timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qadar mungkin boleh berubah. Ada disebutkan ungkapan bahawa qadar tidak ditolak melainkan dengan berdoa. Jika qadar menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menghindarkannya?.

Qadar Allah.

  • Tiada ilmu bagi kita tentang qadar Allah.
Hakikatnya, tiada sesiapa mengetahui tentang qadar Allah kepadanya. Tiada manusia tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya, tentang kemalangan, kecurian, dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya. Seorang pelajar juga tidak tahu bagaimana dia selepas tamat pengajiannya nanti. Oleh sebab itu, kita tidak perlu menunggu, sebaliknya berusaha mendapatkan qadar ketentuan yang sebaiknya dari Allah.

  • Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya.
Firman Allah swt dalam surah al-Ra'd ayat 39 yang bermaksud :

"Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendakinya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendakiNya".

Menurut Ibn 'Abbas dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan apa-apa yang dikehendakiNya. Ini bermakna Allah menetapkan apa yang dirancang dan mengubah perkara yang dirancang.

  • Qadar mubram dan qadar mu'allaq.


Qadar mubram ialah qadar Allah yang terdapat di Lohmahfuz. Qadar ini tidak akan berubah dan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Ia adalah rahsia ilmu Allah hinggakan para malaikat tidak tahu tentang perkara ini. Oleh sebab itu, kita tidak perlu membicarakan dan mempersoalkan qadar ini.

Seterusnya, qadar mu'allaq iaitu qadar yang tergantung. Qadar ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qadar yang ada dalam kitab-kitab di sisi malaikat. Maka, rezeki, ajal, maut dan usia tetap di sisi Allah swt. Namun, catatan yang ada pada para malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah daripada Allah.

Sebagai contoh, di sisi Allah usia setiap insan adalah tetap. Walau bagaimanapun, kadar usia seseorang insan di sisi malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah oleh Allah.

Ini jelas daripada sebuah sabda Nabi saw yang bermaksud :

"Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menghubungkan tali silaturrahim".
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenar.Tetapi kita boleh berusaha ke arah yang lebih baik.

Tentukan Hala Tuju Diri.

Apabila kita memahami qadar dengan aspek begini, kita sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju diri kita. Qadak dan Qadar bukan asas untuk kita menjadi seorang yang malas, malas untuk berusaha dan berubah. 

Jika Allah menentukan kita miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha. Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan bahawa kita miskin? Mungkin Allah telah menetapkan kita sebenarnya kaya, cuma kekayaan itu diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya jika berhujah dengan alasan qadar Allah dan malas berusaha.

Kita ini sebenarnya bagaimana?
Hanya ingin menjadi seorang yang menunggu datangnya rezeki kepada kita?
Tanpa melakukan suruhanNya,
Tanpa menghubungkan hubungan silaturrahim,
Tanpa bersedekah dengan rezeki yang kita dapat,

Walau dimana sahaja kita berada,
Siapapun kita di dunia ini,
Kita tetap berlindung di bawah langit yang terbentang luas,
Dia pelindung kita,
Allah swt .




Semoga bermanfaat ,
Doakan kita semua ketemu di syurgaNya,
InsyaAllah,
09022014.

Tiada ulasan: