Rabu, 4 Februari 2015

Ketegasanmu Kekuatanku





Assalamualaikum,

Alhamdulillah,

Menjelma Februari, meninggalkan Januari yang penuh cerita. Semalam yang telah hilang, Esok hari bakal kita tempuh dan Hari ini menentukan langkah kita.

Setiap hari banyak cerita yang kita telah tuliskan di buku cerita kita tanpa kita sedar atau tidak. Kawan-kawan bercerita dan berkata, kita bakal menamatkan zaman belajar tak lama lagi,hanya tinggal dua semester sahaja di sini. Semester terakhir nanti bakal berpraktikal. Seterusnya, mengatur langkah sama ada meneruskan pelajaran atau alam pekerjaan? Langkah terus di atur, terus di lakarkan untuk masa depan. Kerna masa depan itu terus menjadi misteri untuk kita. Melangkah selagi terdaya, jatuh, dikecewakan, sedih, suka, gembira itu lumrah kehidupan. Lumrah yang mengajarkan kita erti kehidupan ini.

Harapan itu dilakar di minda, ditafsirkan di atas kertas, diatur jejak langkah tapi Dia Maha Mengetahui mungkin diubah jejak langkah itu semasa berada di persimpangan. Saat itu tabahlah, sesungguhnya Dia telah tetapkan yang terbaik. Tapi betul nak pujuk rasa hati itu tidak mudah. Dia telah ‘selimutkan’ kesenangan itu disebalik ‘kesusahan’. Hikmahnya, belajar usaha, doa dan tawakkal. Kuatkan hati, teruskan berdoa.

Hanya untuk mukadimah, J

Saya ingin bawakan satu kisah yang membuatkan saya berfikir dan sangat kagum dengan cara ayahnya mengajar dan mendidik anaknya membuat keputusan. Kisah Srikandi Islam Mesir Zainab Al-Ghazali dalam buku yang ditulis oleh Shafie Abd. Rahman. Izinkan saya bercerita sedikit biodatanya, nama diberi Zainab Al-Ghazali dilahirkan 2 Januari 1917. Ketika berusia 18 tahun, beliau bertanggujawab mengasaskan pertubuhan wanita Islam yang dikenali Jama’at al-Sayyidaat al-Muslimat. Sebelum menubuhkan pertubuhan tersebut, beliau telah diajak oleh seorang kawan baiknya untuk menghadiri satu perhimpunan kaum wanita. Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Kesatuan Wanita Mesir yang dipimpin oleh Huda Sha’arawi. Huda dalam perhimpunan itu menggesa agar kaum wanita Mesir bersatu untuk memajukan negara Mesir. Huda juga menuntut agar kaum wanita Mesir diberikan hak untuk mendapatkan pendidikan hingga ke peringkat paling tinggi.  Pertubuhan ini juga mendesak Kerajaan Mesir agar menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada kaum wanita khususnya dalam bidang pendidikan, perubatan, kebajikan dan lain-lain.

‘’Bagus betullah pidato yang disampaikan oleh Huda tadi. Dia begitu pandai berhujah. Kelihatan dia bersungguh-sungguh ingin membela nasib kaum wanita Mesir’’, kata kawan Zainab yang bertanggujawab mengajak Zainab hadir ke majlis tersebut. Zainab pula ternyata betul-betul tertarik dengan Huda Sya’arawi dan perjuangan yang didokong olehnya. Zainab kerap menghadiri perjumpaan-perjumpaan yang diadakan oleh kumpulan tersebut . Beliau juga menghadiri beberapa mesyuarat yang diadakan di peringkat kepimpinan bahagian kumpulan tersebut. Ayah Zainab al-Ghazali tahu tentang penyertaan anaknya itu dalam pertubuhan yang dipimpin oleh Huda itu. Walau bagaimanapun, dia sama sekali tidak menghalang atau menyatakan restunya terhadap penglibatan anak gadisnya itu.

Sehinggalah pada suatu hari, al-Ghazali mengajak anaknya untuk turut bersama-sama menyertai beribu-ribu orang lain kaum wanita Mesir bagi menyambut kepulangan Huda daripada menghadiri satu perjumpaan kaum wanita di peringkat antarabangsa yang diadakan di Rom. Ramai kaum wanita berada di stesen kereta api bagi menyambut kepulangan Huda.
Sebaik sahaja turun daripada kereta api, Huda telah bertindak membuka penutup mukanya atau purdah yang dipakai olehnya di hadapan beribu-ribu kaum wanita yang menunggunya. Pada mulanya tindakan Huda itu mengejutkan ramai kaum wanita yang berada di situ. Bagaimanapun keadaan segera berubah apabila tindakan Huda itu mendapat tepukan yang bergemuruh. Sejak kepulangan dari Rom itu, Huda semakin lantang berjuang menuntut persamaan hak bagi kaum wanita di Mesir.

Beberapa hari selepas peristiwa Huda membuka purdahnya di hadapan ribuan orang di stesen kereta api, al-Ghazali telah memanggil anaknya Zainab masuk dalam bilik bacaannya. Kepada anak gadisnya itu, al-Ghazali lalu bertanya :

“ Apakah pandangan kamu terhadap Huda Sya’ arawi?”
“Huda Sya’arawi seorang wanita yang berani dan lantang berjuang untuk membela nasib kaum wanita di Mesir,” jawab Zainab.
“Apakah selama ini nasib kaum wanita tidak dibela oleh Islam?" Bukankah kedatangan agama Islam telah menyebabkan bayi-bayi perempuan tidak lagi ditimbus hidup-hidup. Kaum wanita juga tidak lagi dijadikan bahan hiburan kaum lelaki dan semata-mata dijadikan bahan pemuas nafsu, bukan?” Tanya al-Ghazali kepada puterinya itu dalam nada lemah lembut tapi penuh dengan ketegasan.

“Memang kedatangan Islam telah banyak membela nasib kaum wanita dan meletakkan kaum wanita ke satu kedudukan yang mulia di sisi Allah. Walau bagaimanapun, masih ramai kaum lelaki bertindak membelakangkan ajaran Islam dan menyalahgunakan hak mereka sebagai pemimpi. Inilah yang ditentang oleh Huda dan kawan-kawannya", jawab Zainah dengan penuh semangat.

“Jika begitu, yang bersalah dan perlu dibetulkan ialah penyalahgunaan oleh kaum lelaki serta penyimpangan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Islam tidak salah. Maka untuk apa perlunya kaum wanita berkumpul beramai-ramai , mengabaikan tanggujawab mereka kepada suami dan rumah tangga semata-mata untuk menuntut persamaan dengan kaum lelaki? Bukankah masing-masing kaum lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah dalam bentuk yang berbeza sesuai dengan fitrah dan fungsi masing-masing?” 
Al-Ghazali cuba memprovokasikan anak gadisnya itu.
Zainab terdiam. Dia kematian hujah. Al-Ghazali  bangun dan duduk bersebelahan dengan anaknya itu. 

Perlahan-lahan al-Ghazali berkata:

“Anakku. Agama Islam adalah agama yang sempurna. Tidak akan turun wahyu sesudah wafatnya Nabi Muhammad. Baginda telah meninggalkan kita dengan dua perkara yang tidak akan sesat selagi kita berpegang teguh kepada kedua-duanya iaitu Al-Quran dan sunah Rasulullah saw".
Zainab yang sejak tadi tunduk, mula mengangkat muka sambil memandang ayahnya.  “Ayah tahu, kamu ingin mengembalikan kaum wanita ke peringkat yang sepatutnya. Ayah gembira jika kamu menggunakan ilmu yang kamu ada untuk menyeru kaum wanita Mesir yang begitu beria-ria untuk mencontohi wanita Barat agar kembali kepada ajaran agama Islam yang sebenarnya.
Sebelum Zainab keluar dari bilik bacaan ayahnya itu, dia sempat mendengar nasihat akhir yang diberikan oleh ayahnya itu.

“Apa yang ayah katakan, itu kamu fikir dan renungkanlah. Jika kamu rasa ia betul, maka cubalah ikutinya. Jika kamu dapati apa yang ayah katakan itu salah dan bertentangan dengan ajaran Islam, maka beritahulah ayah. Betulkan dan tegurilah kesilapan ayah. Walaupun ayah lebih tua daripada kamu, tidak semestinya yang ayah katakan itu semuanya betul!”.

Waallahu’lam

Kisah di atas di ambil oleh saya kerana cara didikan seorang ayah kepada anak gadisnya. Jika kita lihat kembali bagaimana al-Ghazali mengajar anaknya membuat keputusan, bukan dengan cara terus memarahi dan menghukum, bukan dengan kata-kata yang tidak baik tapi si ayah mengajar dengan cara berfikir. Setiap keputusan yang kita lakukan atau letakkan mempunyai tanda tanya ‘kenapa’. Berani menegakkan hujah bagi mempertahankan setiap pendapat. Setiap daripada kita di didik dengan cara yang berbeza, di uji juga dengan cara yang berbeza mengikut tahap kemampuan kita.

Akhir bicara dari saya, institusi yang dibina itu jika dilandaskan dengan cara yang baik, akan melahirkan generasi rabbani seperti yang kita inginkan. Teguran si ayah kerana sayangkan anaknya, lembut si ibu kerana dia memahami jiwamu.

-Kerana Cinta Dia itu Benar-
-Tinta Seorang Pencari-




    

Tiada ulasan: