Ahad, 4 Januari 2015

Kisah Secerah Langit Cinta


Assalamualaikum

Pasir Mas,Kelantan


Catatan 24 Disember 2014- 31 Disember 2014       
      
Terus tenang, Pelangi akan datang.

Catatan ini diukilkan di laman Tinta Seorang Pencari sebahagian pengalaman ku dalam melihat dan  mengharungi sendiri pengalaman itu. Jika dahulu kisah di ‘Ku Layarkan Untukmu’ berkisahkan di mana si matahari, si bintang dan di katak yang menghilang. Kisah kali ini, banyak membawa erti ujian Allah untuk umatnya.


Kisah ini membawa erti bertapa pentingnya sebatang lilin, berharganya setitis air, indahnya cahaya yang terpancar. Betullah apa yang dikata oleh orang kita ‘Apabila hilang, baru hadir erti menghargai’. Ujian yang dihantar untuk orang-orang yang terpilih. Allah swt berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 286 ‘ Sesungguhnya Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya’.....


Bandar Gua musang dan Kuala Krai mula dinaiki air dengan begitu cepat ada yang hanya sempat menyelamatkan diri. Arus air terus meningkat dengan hujan yang lebat dan angin yang kuat. 25 Disember 2014, Bandar Pasir Mas juga mula dinaiki air. Peniaga mula menghentikan operasi perniagaan dan menutup permis perniagaan untuk persiapan menghadapi pelbagai kemungkinan. 

Keesokkan harinya...

Bandar Pasir Mas, lumpuh dari sebarang aktiviti orang ramai pergi untuk melihat keadaan sekitar. Pusat pemindahan mula dibuka untuk mangsa banjir. Kelihatan orang ramai menyelamatkan kenderaan masing-masing diletakkan di tempat tinggi. Keadaan makin mencemaskan penduduk dengan berita banyak jalan ke Kelantan sudah ditutup, hanya tinggal melalui udara. Tarikh peperiksaan akhir semester juga hanya tinggal beberapa hari, ketika itu hanya mampu berdoa dan letak pergantungan tinggi kepada Allah. Datang pula khabar rakan-rakan yang masih berada di UMK,kampus Jeli mereka sudah beberapa hari tiada bekalan elektrik dan access telefon. Kami yang berada di luar kawasan cuba menghubungi mereka untuk bertanya khabar. Maafkan kami jika kami tak mampu membantu dengan sebaiknya.


Keadaan di rumah pula, air mula melimpah melintasi jalan-jalan di kampung, sungguh ini pengalaman yang sangat bermakna bagiku. Melihat dan merenung kejadian ini, banyak menginsafkan kita. Setiap kejadian yang menimpa kita atau saudara kita jika diambil pengajaran daripada kisah dan peristiwa itu mampu menginsafkan diri kita. Kita yang melihat merasa sedih, apatah lagi orang yang mengalaminya sendiri. Bagaimana perasaan mereka untuk melalui ujian ini dengan tabah? . Sungguh, susah untuk diungkapkan dengan kata-kata.  


Siang hari menjelang, deruman bunyi helicopter dan kapal terbang menghantar bantuan dan membuat tinjauan membuatkan ku terfikir, bagaimana perasaan mereka di negara perang?. Alhamdulillah, semakin banyak bantuan yang dihantar kepada mangsa banjir. Ana juga diberi peluang untuk ke pusat pemindahan di sekitar daerah Pasir Mas, melihat sendiri bagaimana kehidupan mereka di sana. Ada yang tidur di sekitar beranda sekolah,hanya beralaskan tikar lenanya si anak kecil di pangkuan ibu. Kanak-kanak berlari riang bermain, mereka mungkin tidak mengerti perasaan kedua ibu bapanya ketika itu. Berebut untuk mengambil makanan, susah mendapat bekalan air bersih, susahnya hendak lena, hendak solat dan sebagainya itu situasi di sana. Yang berada di sana,sebuah pengalaman buat mereka. Ana juga tidak lama disana.


29 Disember 2014, air semakin surut di sekitar negeri Kelantan. Bandar Pasir Mas, bagaikan bandar lumpuh untuk seketika, selepas beberapa keadaan kembali pulih dengan baiknya. Ujian yang dihantar oleh Allah kepada mangsa-mangsa banjir ini tarbiyah untuk mereka dan kita semua. Sama-sama kita ambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Apa silap kita? Fikirkan. Kaji dan lihat sendiri. Kemusnahan yang berlaku, musibah yang Allah hantarkan ada sebabnya. Terbaca satu status di FB, "Banjir ni,Allah nak bagi sikit sorang. Rumah saya tak kena,jadi saya risau Allah bagi ujian Kat benda lain”. Allah sentiasa menguji hambanya, tapi setiap daripada kita tak sama Dia hantarkan ujian itu. Jika hari ini mereka ditimpa musibah, kita menolong. Mungkin satu ketika nanti,ketika kita ditimpa musibah mereka pula menolong kita. Itulah, fitrah kehidupan kita.


Ana bawakan satu kisah tentang nikmat dan hikmah.
-Majalah Jom-


Sebagai renungan, terdapat sebuah kisah atau cerita rakyat yang berlegar dalam kalangan masyarakat di benua Afrika mengenai kelebihan syukur. Kononnya, seorang raja pergi berburu dengan kawan lamanya. Kawannya itu menyediakan raja tersebut raja tersebut selaras senapang untuk menembak binatang buruan. Namun, kesalahan teknikal telah berlaku apabila raja hendak menggunakan senapang itu. Pelurunya meletup menyebabkan ibu jarinya terputus. Dengan spontan kawannya tiba-tiba berkata ‘Alhamdulillah!’ Ini membuatkan raja sangat murka. Sudahlah dia tersalah memasang peluru, sesudah itu disyukurinya pula apabila jari raja terputus. Sebaik sahaja pulang ke istana, kawan karibnya diperintahkan disumbat ke penjara tanpa ditentukan tempohnya.


Beberapa tahun kemudiannya, raja keluar lagu untuk berburu. Namun, dia telah ditangkap oleh satu puak yang memakan daging manusia. Mereka menyalakan api dan bersiap sedia untuk memanggang raja. Tiba-tiba , mereka terpandang tangannya yang kehilangan sebatang jari. Mereka mempunyai pantang larang, iaitu tidak boleh makan manusia yang tidak cukup anggota badannya. Maka, raja pun dibebaskan. Ketika itu, raja teringat akan kawannya yang dipenjarakan. Sejurus pulang ke istana dia terus ke penjara menemui kawannya dan memohon maaf atas kezalimannya. Namun kawan itu berkata, ‘Alhamdulillah’ dia berada di dalam penjara’. Raja bertanya , ‘kenapa?’. Kawannya menjelaskan, jika dia tidak berada di dalam penjara sudah tentu dia akan mengikut raja pergi berburu. Jika begitu, dialah yang akan menjadi mangsa puak itu.


Kesimpulannya, apa sahaja yang berlaku ke atas diri kita, pasti terselit nikmat dan hikmah yang mungkin kita belum mengetahuinya. Yakinlah, Allah yang Maha Bijaksana mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita.


2 Januari 2014(Jumaat)

Alhamdulillah,

Perjalanan diteruskan ke daerah Kuala Krai, biasanya dari Pasir Mas hanya mengambil masa sekitar sejam setengah,tetapi kali ini mengambil masa 3 jam untuk sampai ke sana. Berpusu-pusu orang ke sana untuk menghulurkan bantuan. Allah! disitu kita boleh nampak kesatuan hati. Pelbagai ragam pemandu dapat dilihat, dengan siren kenderaan polis, bomba, persatuan bulan sabit merah(PBSM) tak lupa juga NGO. Masuk sahaja ke bandar Kuala Krai keadaannya sungguh suram hanya kelihatan petugas-petugas bantuan banjir. Kelihatan juga pemilik kedai sedang membersihkan permis perniagaannya. 


Kami masuk menyelusuri jalan kampung. Tiba-tiba terlihat seorang mak cik duduk termenung di hadapan rumahnya. Rumahnya yang dua tingkat ditenggelami air. Katanya ‘mak cik duduk berehat semetar,nak sambung rumah air pulak tak dop’.Kami meninggalkan mak cik tersebut dan meneruskan perjalanan ke Kampung Tualang. Kampung yang berada di persisiran sungai ini hampir 100% ditenggelami air. Untuk ke sana kami perlu melalui jalan yang dijaga oleh tentera yang bertugas. Persekitaran kampung sungguh menyentuh hati. Penduduk membina khemah dan pondok untuk berteduh. Makanan diambil daripada bantuan yang diberikan. Semasa melalui jalan kampung, ada beberapa orang kanak-kanak ditepi jalan sambil menyebut ‘bantuan, bantuan’. Mereka mengharapkan makanan untuk mengalas perut. Penduduk beratur untuk dapatkan bantuan yang dihantar. Rumah hanyut di bawa arus deras berada di tepi jalan, terfikir juga dimana pemilik rumah ini.


Meneruskan perjalanan ke Kampung Guchil, apabila sampai disana kami terasa pelik kenapa tiada bantuan yang sampai kepada mereka. Kami bertanya seorang mak cik yang berada di tepi jalan ‘wat maghi la gapo pun dik, rumah mak cik pun dah runtuh’ ,luluh rasa hati melihat keadaan mak cik itu. Kami memberikan sedaya mampu, moga dapat mengembirakan hati mereka walaupun dengan bantuan yang tidak seberapa ini. Gembira hati kami melihat mereka. Berada disitu tidak lama, kami perlu meneruskan perjalanan pulang.


Pengalaman yang sungguh bermakna bagiku, bila lagi akan ku dapat peluang seperti ini. Meninggalkan Kuala Krai, moga mereka sentiasa dilindungi Allah. Terima Kasih yang datang memberi bantuan kepada mereka. Moga kalian diberkati olehNya.
Begitulah,kisah perjalanan untuk 11 hari ini. Walaupun kisahnya terhenti di sini, moga kalian dapat meneruskan kehidupan selepas ini dengan tabah dan bersabar dengan ujian yang diberikan.


Allahul musta’an.

Terima Kasih kerana sudi membaca catatan yang tak seberapa ini, hanya ingin dikongsi pengalaman dan kisah kehidupan ini.

Moga sama-sama dapat kita mengambil ibrah disetiap kejadian ini.

Maaf andai ada terkasar bahasa dalam penulisan ini.

Catatan 3 Januari 2015,
12 Rabiul awal 1436H,  
Tinta Seorang Pencari,
Kerana Cinta Dia itu Benar,







Sebahagian gambar yang diambil di Kampung Tualang.


Tiada ulasan: