Ahad, 9 Februari 2014

Qadar Allah : Boleh Diubah?.

Assalamualaikum,


Alhamdulilah,

Qadar Allah, adakah boleh diubah?. InsyaAllah,entry kali ini akan membincangkan topik ini dan dipetik dari majalah Solusi. Persoalan ini pernah di tanya oleh sahabat kepada penulis dan berharap kita semua dapat memahami dengan sebaiknya.

Dalam memahami qadar Allah, jelas difahami segala perkara telah ditetapkan dan diketahui oleh Allah. Ini termasuk dalam cakupan ilmu Allah yang meliputi segala-galanya dan berlaku kerana kehendakNya.

Timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qadar mungkin boleh berubah. Ada disebutkan ungkapan bahawa qadar tidak ditolak melainkan dengan berdoa. Jika qadar menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menghindarkannya?.

Qadar Allah.

  • Tiada ilmu bagi kita tentang qadar Allah.
Hakikatnya, tiada sesiapa mengetahui tentang qadar Allah kepadanya. Tiada manusia tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya, tentang kemalangan, kecurian, dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya. Seorang pelajar juga tidak tahu bagaimana dia selepas tamat pengajiannya nanti. Oleh sebab itu, kita tidak perlu menunggu, sebaliknya berusaha mendapatkan qadar ketentuan yang sebaiknya dari Allah.

  • Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya.
Firman Allah swt dalam surah al-Ra'd ayat 39 yang bermaksud :

"Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendakinya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendakiNya".

Menurut Ibn 'Abbas dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan apa-apa yang dikehendakiNya. Ini bermakna Allah menetapkan apa yang dirancang dan mengubah perkara yang dirancang.

  • Qadar mubram dan qadar mu'allaq.


Qadar mubram ialah qadar Allah yang terdapat di Lohmahfuz. Qadar ini tidak akan berubah dan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Ia adalah rahsia ilmu Allah hinggakan para malaikat tidak tahu tentang perkara ini. Oleh sebab itu, kita tidak perlu membicarakan dan mempersoalkan qadar ini.

Seterusnya, qadar mu'allaq iaitu qadar yang tergantung. Qadar ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qadar yang ada dalam kitab-kitab di sisi malaikat. Maka, rezeki, ajal, maut dan usia tetap di sisi Allah swt. Namun, catatan yang ada pada para malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah daripada Allah.

Sebagai contoh, di sisi Allah usia setiap insan adalah tetap. Walau bagaimanapun, kadar usia seseorang insan di sisi malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah oleh Allah.

Ini jelas daripada sebuah sabda Nabi saw yang bermaksud :

"Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menghubungkan tali silaturrahim".
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenar.Tetapi kita boleh berusaha ke arah yang lebih baik.

Tentukan Hala Tuju Diri.

Apabila kita memahami qadar dengan aspek begini, kita sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju diri kita. Qadak dan Qadar bukan asas untuk kita menjadi seorang yang malas, malas untuk berusaha dan berubah. 

Jika Allah menentukan kita miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha. Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan bahawa kita miskin? Mungkin Allah telah menetapkan kita sebenarnya kaya, cuma kekayaan itu diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya jika berhujah dengan alasan qadar Allah dan malas berusaha.

Kita ini sebenarnya bagaimana?
Hanya ingin menjadi seorang yang menunggu datangnya rezeki kepada kita?
Tanpa melakukan suruhanNya,
Tanpa menghubungkan hubungan silaturrahim,
Tanpa bersedekah dengan rezeki yang kita dapat,

Walau dimana sahaja kita berada,
Siapapun kita di dunia ini,
Kita tetap berlindung di bawah langit yang terbentang luas,
Dia pelindung kita,
Allah swt .




Semoga bermanfaat ,
Doakan kita semua ketemu di syurgaNya,
InsyaAllah,
09022014.

Isnin, 3 Februari 2014

Luqman Al-Hakim:Hati dan Lidah...

Alhamdulilah,




InsyaAllah,entry yang ringkas ini akan bercerita tentang seorang yang namanya Allah memberi penghormatan yang tinggi dengan menamankan salah satu surah dalam Al-Quran dengan namanya iaitu surah Luqman.Di dalam surah Luqman itulah Allah mengabadikan kata mutiara dari nasihat-nasihat Luqman untuk memberi ingatan kepada semua dan menjadi panduan kepada kita.Nasihat-nasihat ini sebenarnya semua datang dari Allah,tetapi Allah letakkan kepada lisan Luqman yang kemudiannya disampaikan kepada puteranya.

Kisahnya,

Pada suatu hari,Luqman disuruh oleh tuannya untuk menyembelih seekor kambing,lalu berkata si tuan kepada Luqman :Wahai Luqman! Pisahkanlah dari kambing ini,dua ketul daging yang paling istimewa sekali! Maka Luqman pun memotong lidah dan hati kambing itu,serta dihulurkannya kepada tuannya.

Pada ketika yang lain,si tuan datang lagi,serta menyuruh Luqman menyembelih seekor kambing yang lain pula.Kemudian,berkata si tuan itu, 'Wahai Luqman,Pisahkanlah dari kambing ini,dua ketul daging yang paling tidak elok sekali dari kambing ini.Maka Luqman sekali lagi mengambil lidah dan hati kambing itu,kemudian diserahkannya kepada tuannya.

Si tuan merasa takjub dan hairan,dia berkata kepada Luqman,Wahai Luqman,dahulu aku minta dua ketul daging yang istimewa dari seekor kambing,engkau berikan aku lidah dan hati.Kali ini,aku minta pula dua ketul daging yang tidak elok sekali dari seekor kambing,engkau berikan aku lidah dan hati juga,bagaimana halnya .Tolonglah jelaskan kepadaku.

Luqman menjawab :Ya tuanku,sebenarnya ,tiada sesuatu anggota pun yang lebih baik dari lidah dan hati ,jika keduanya memang baik.Sebaliknya pula,tiada sesuatu anggota yang lebih buruk dari lidah dan hati,jika keduanya memang jahat.

Memanglah lidah dan hati itu merupakan tempat kita menyimpan segala rahsia kita.Kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam menentukan budi pekerti dan kelakuan manusia.Apabila baik lidah dan hati manusia,baiklah kelakuannya.Sebaliknya,apabila jahat lidah dan hati manusia,jahatlah juga kelakuannya.

Rasulullah bersabda :

"Tiada akan lurus keimanan seseorang hamba sehingga lurus hatinya.Dan tiada akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya".


Ayuh,kita sama-sama menjaga hati dan percakapan kita.


waallahu'lam
03022014

Rabu, 29 Januari 2014

La Tahzan :Allah akan menggantikan yang lebih baik.

Assalamualaikum.

Alhamdulilah,


Kisah wali Allah ini harap boleh kita ambil pengajaran bersama.insyaAllah.

Ibnu Rajab pernah bercerita tentang seorang ahli ibadah yang sedang berada di Makkah.Dia kehabisan bekal dan menderita kelaparan yang amat sangat yang hampir membinasakannya.Ketika dia sedang berkeliling di salah satu jalan di Kota Makkah,tiba-tiba dia menemui kalung antik dan sangat mahal harganya.Dia pun memasukkan kalung tersebut ke dalam begnya dan pergi menuju ke Masjidil Haram .Tiba-tiba di sana dia mendapati seorang lelaki yang sedang mencari kalungnya.

Tiba-tiba ada seorang lelaki mengumumkan bahawa dirinya telah kehilangan kalung.Orang yang kehilangan kalung itu menjelaskan bagaimana bentuk kalung yang hilang itu.Ternyata semua keterangan yang dia sampaikan mirip kepada kalung yang ditemui orang tersebut."Saya berikan kalung itu kepadanya namun dengan syarat memberikan imbuhan kepada saya" kata orang yang menemukan itu.Kalung itu pun diambilnya dan pergi begitu saja tanpa ucapan terima kasih atau dengan memberikan satu dirham.

Lelaki itu berdoa ,"Ya Allah,aku biarkan semua itu untukMu,maka gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya".Kemudian dia pergi ke laut dan menumpang sebuah perahu.Setelah di laut, tiba-tiba angin bertiup kencang sekali dan perahu yang ditumpanginya itu pun karam.Akhirnya dia terapung-apung di atas air dengan sebatang kayu yang dimainkan angin ke kiri dan ke kanan hingga akhirnya terdampar di sebuah pulau dan dia pun turun ke daratan.

Di pulau itu dia menuju sebuah masjid dan orang ramai sedang melakukan solat,dia pun kemudiannya ikut solat bersama mereka.Di masjid itu dia menemukan lembaran-lembaran kertas yang setelah dibacanya ternyata ayat-ayat Al-Quran.Salah seorang dari mereka bertanya kepadanya:"Apakah anda sedang membaca Al-Quran?" Jawabnya :"Ya!" 

Kemudian penduduk kampung pulau itu berkata :"Ajarilah anak-anak kami Al-Quran".Dia pun setuju untuk mengajarkan Al-Quran kepada mereka dengan dibayar.Kemudian dia pun menulis tulisan Arab dan orang itu bertanya lagi :"Apakah anda boleh mengajari anak-anak kami menulis?" Jawabnya :"Ya!.Maka dia pun mengajarkan anak-anak mereka dengan menerima bayaran.

Orang di pulau itu kemudian bercerita bahawa di tempat itu ada seorang perempuan yatim,anak dan seoramg yang sangat baik.Kini orang tuanya meninggal dunia.Apakah anda mahu menikahinya?' tanya orang itu,kemudian dia menjawab "Tak apa".Dan dia pun akhirnya menikah dengan perempuan yatim tersebut .Tiba-tiba dia melihat kalung yang pernah dia temukan itu melingkar di leher isterinya itu.Maka dia pun bertanya :'Bagaimana kisah tentang kalung ini?" Si isteri itu pun kemudian bercerita.Dalam cerita itu disebutkan bahawa ayahnya suatu hari pernah menghilangkannya di Makkah.Kata si ayah kepadanya,kalung ini ditemukan oleh seorang lelaki yang kemudian diserahkan begitu saja kepadanya.Sepulang dari Makkah,si ayah selalu berdoa dalam sujudnya semoga Allah mengurniakan suami buat anak perempuannya seperti lelaki yang menemukan kalung itu.Di akhir ceritanya, si suami berkata :"Sayalah lelaki itu."

Sekarang kalung itu berada di sisi lelaki itu dengan status halal,sebab dia telah meninggalkan sesuatu kerana Allah ,maka Allah pun menggantikannya dengan yang lebih baik.

"Sesungguhnya Allah Maha Baik dan tidak akan menerima kecuali yang baik"
(Al-Hadis)

Alhamdulilah,semoga kita mendapat pengajaran dari cerita ini.Jangan putus harapan.Teruskan berdoa.
insyaAllah.




waallahu'lam
29012014
Dipetik dari buku La Tahzan.

Selasa, 21 Januari 2014

Rezeki Tak Terlihat Yang Utama...




Alhamdulilah,sekali lagi diberi kesempatan di sini.Tajuk yang dipilih untuk entry ini "Rezeki Tak Terlihat Yang Utama".InsyaAllah,moga bermanfaat untuk semua pembaca.Sesungguhnya Allah swt memberi jaminan rezeki kepada semua makhluk ciptaanNya.

Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut,29;60

"Dan berapa banyak binatang yang tidak dapat atau pun membawa(mengurus) rezeki mereka sendiri,Allah lah yang memberi rezeki kepadanya,kepadamu dan Dia Maha Mendengar dan lagi Maha Mengetahui."

Allah berfirman lagi dalam surah yang sama ayat 62,

"Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya,dan Dia pula yang menyempitkan baginya.Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui segala sesuatu."

Rezeki Terlihat vs Rezeki Tak Terlihat

Apabila kita berbicara tentang rezeki hakikatnya rezeki terbahagi kepada dua iaitu yang terlihat dan tak terlihat.Mungkin sahaja kita boleh melihat Allah memberikan rezeki kepada seseorang itu sangat banyak sedangkan dia seorang non-muslim.Siapakah orangnya? sebagai contoh Bill Gates,Carlos Slim Helu yang kedua-duanya adalah ahli perniagaan yang sangat kaya bahkan tergolong dalam individu yang terkaya di dunia.Manusia yang Allah swt kurniakan begitu banyak rezeki yang 'terlihat' dan 'tak terlihat'.

Apakah rezeki yang 'tak terlihat' itu?

Sedarkah kita bahawa hakikatnya Allah SWT memberikan rezeki yang sangat penting dan yang paling utama kepada mereka iaitu 'rezeki yang tak terlihat'.Disebalik rezeki yang sangat banyak itu ada kebenaran yang tidak mereka perlihatkan.Sehingga sekarang mereka masih belum memeluk Islam,kerana mereka masih belum diberi rezeki untuk melihat kebenaran sebagai suatu kebenaran dan diberi rezeki oleh Allah swt untuk mengikutnya.Kita patut bersyukur dengan rezeki yang Allah swt berikan kepada kita sekarang dan Dia juga mengurniakan Iman kepada kita untuk melihat kebenaran itu.




Tidak salah untuk kita mencari rezeki kerana itu satu keperluan yang sangat penting dalam kehidupan kita.Tetapi jangan kita abaikan tanggujawab kita yang utama iaitu solat,puasa,zakat fitrah,baca Al-Quran dan sebagainya.Bagitu juga ibadah lain yang mendekatkan kita kepada Allah swt.

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberikanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah,nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.."
{Surah Al-Talaq,65 ;2-3}

Menurut ulama tafsir,rezeki yang tidak disangka-sangka tersebut,bukan dalam bentuk rezeki yang bersifat keduniaan ataupun rezeki yang dapat kita lihat sahaja,tetap juga rezeki yang bersifat ukhrawi ataupun yang tidak terlihat.Rezeki untuk melihat kebenaran sebagai satu kebenaran , melihat kebatilan sebagai satu kebatilan .Kemudiannya bukan hanya mampu melihat tetapi yang jauh lebih penting daripda itu ; memanfaatkan kebenaran untuk diikuti yang diperjuangkan .Dalam pada masa yang sama juga,melihat kebatilan sebagai yang harus ditentang dan ditinggalkan.Inilah harapan kita.Inilah yang kita sangat harapkan kepada Allah swt.Inilah doa kita.Inilah yang harus kita perbetulkan.Moga Allah membuka pintu hati kita untuk melihat kebenaran dan kebatilan.InsyaAllah.

Allah menjaminkan rezeki untuk makhlukNya tetapi kita juga harus berusaha untuk mendapatkan apa yang kita hajati.Sebagaimana Allah telah berfirman :

"Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan kepadanya."
{An-Najm,53 ; 39-40}

Proaktif Mencari Rezeki Tak Terlihat.


Kadang-kadang 'game over' itu menjadikan kita tambah kuat.Kuat untuk meneruskan perjalanan ini yang sangat banyak ujiannya.Allah swt tidak akan merubah nasib kita.Bukan kerana Dia tidak mampu mengubah,tetapi Dia tidak suka dengan manusia yang tidak mahu berusaha untuk mengubah dirinya sendiri.

Akhir kalam,marilah kita sama-sama berubah menjadi manusia yang bertakwa,beriman,dan beramal soleh sehingga kita akan memperoleh rezeki ,sepertimana rezeki yang telah dijanjikan oleh Allah swt ,baik itu rezeki yang tak terlihat,lebih-lebih lagi harapan dan doa kita rezeki yang tidak terlihat yang akan menjadikan kita manusia yang terus bertakwa.

Dengan kata lain,'Rezeki yang tak terlihat' bermaksud Allah memberikan kita untuk melihat kebenaran dan kebatilan.Kita hidup pada zaman sekarang,yakni zaman yang penuh dengan fitnah.Oleh itu,sama-sama kita berdoa supaya Allah memberikan 'rezeki yang tak terlihat' itu.insyAllah,moga sentiasa dalam lindunganNya.




Semoga bermanfaat,
waallahu'lam,



Ahad, 19 Januari 2014

Peringatan yang Bermakna Untuk Kita.





Alhamdulilah,bersyukur ke hadrat ilahi masih diberi peluang untuk terus mencoret di sini.
“Katakanlah: “Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan, dan hati nurani bagi kamu. (Tetapi) sedikit sekali kami bersyukur”.

Surah Al-Mulk ayat 23.

Ayat cinta Allah yang mudah kita fahami bukan?Bersyukurlah dengan setiap rezeki yang diberikan kepada kita.Pelbagai nikmat yang kita kecapi dan yang paling bermakna adalah kita dilahirkan dalam nikmat Islam.Manfaatkan masa lapang,kesihatan,keamanan,pelajaran dan nikmat pancaindera yang lengkap.Alhamdulilah !!

Setiap yang kita perolehi sekarang adalah untuk orang lain juga.Oleh itu,banyakkan bersedekah kepada yang lebih memerlukan dan carilah keikhlasan itu di dalam hati bukan di bibir.InsyaAllah.Jangan bersedih jika tidak perolehi  yang kita mahu.Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk kita.Kita tidak memiliki sesuatu kerana itu bukan untuk kita.Apa sahaja yang kita ada sekarang adalah yang terbaik untuk kita.Lakukan yang terbaik dengan apa yang kita miliki sekarang.Pujuk rasa hati kita.Ini adalah yang terbaik untuk aku! Ayuh bersyukur !.

Ajaran Islam untuk Mengatasi Sifat-sifat yang Buruk pada Manusia.


Dipetik dari surah Al-Ma’arij ayat 19-35.
Kita manusia yang tidak sempurna.Tetapi dalam ayat di atas Allah ada berikan beberapa cara untuk mengatasi sifat-sifat yang ada pada kita.Semoga kita terus diberi kekuatan dan ditetapkan hati dalam beribadat kepadaNya.

“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat suka mengeluh”(19)

“Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh-kesah”(20)

“Dan apabila mendapat kebaikan(harta) dia menjadi kikir”(21)

“Kecuali orang yang melaksanakan SOLAT”(22)

“Mereka yang tetap setia melaksanakan solatnya”(23)

“Dan orang yang dalam hartanya disediakan bahagian tertentu”(24)

“Bagi orang(miskin) yang meminta dan yang tidak meminta”(25)

“Dan orang yang mempercayai hari pembalasan”(26)

“Dan orang yang takut terhadap azab Tuhannya”(27)

“Kerana sesungguhnya terhadap azab Tuhan mereka,tidak ada seorang pun yang patut merasa aman(daripada kedatangannya)”(28)

“Dan orang yang memelihara kemaluannya”(29)

“Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki,maka sesungguhnya mereka tidak tercela”(30)

“Maka barang siapa mencari di luar itu(zina,homoseks),mereka itulah orang yang melampaui batas”(31)

“Dan orang yang memelihara amanah dan janjinya”(32)

“Dan orang yang berpegang teguh pada kesaksiannya”(33)

“Dan orang yang memelihara solatnya”(34)

“Mereka itu dimuliakan di dalam syurga”(35)

Jelaslah dari ayat-ayat di atas Allah telah banyak memberi kita panduan seperti :

o   Menjaga solat.
o   Orang yang bersedakah dan selalu memberi.
o   Orang yang memelihara kemaluannya.
o   Memelihara amanah dan janji.
o   Orang yang berpegang teguh pada kebenaran.
o   Orang yang mempercayai hari akhirat dan pembalasan.

insyaAllah,sama-sama untuk kita terus istiqamah dan menjaga hubungan denganNya.Diri ini juga selalu alpa tetapi kita saling memberi peringatan bersama.Kita semua adalah khalifah Allah yang diberi tanggujawab  untuk saling mengingati.Tidak ada orang yang sempurna kerana kita semua saling melengkapi antara satu sama lain.

“Together we are one”

*Biarkan gambar berbicara*


Kita satu umat perlu bersatu untuk menampakkan Islam itu kuat,
Kurangkan persengketaan,
Binalah kesatuan,
insyaAllah.


Salam Ukhwah,
18012014
1159pm

Isnin, 6 Januari 2014

Seorang Insan Biasa,



Assalamualaikum,

Izinkan ku menulis,
Bukan kerana nama,bukan jua kerana ingin dipandang dengan anggapan yang tinggi,
Idea ini sangat terbatas,
Terbatas dengan dayaku sendiri,
Terima kasih kepada Dia yang memberi ku kekuatan,idea dalam penulisan ini,
Menghadirkan kepadaku insan yang memberi banyak sokongan,

Perubahan dalam hidup ku yang pilih dengan gerakan hati dariNya,
Maafkan diri ini,
Andai kata-kata,tingkah lakuku membuatkan kalian terasa,
Hanya satu niatku,
Ingin mengajak kalian sama-sama di sini,
Hakikat sebuah kehidupan,
Kerana terlalu banyak nikmat yang kita dustakan,
Diriku juga bukannya seperti sehebat mereka yang lain,
Tak usah dibandingkan dengan mereka,

Mungkin ada yang berkata,
Ku hanya pandai menulis,
Hanya berpakaian seperti muslimah yang lain,
Ku hanya ingin menjadi seseorang itu,
Seseorang yang mampu memberikan kebaikan kepada yang lain,
Kita tidak tahu di mana,bagaimana kita dipengakhiran kehidupan kita ini,
Bagaimana kehidupan kita,begitulah kesudahan kita nanti,

Terima Kasih kepada yang masih mempercayai diri ini,
Yang sudi berkongsi masalah mereka dengan diri ini,
Moga kalian dalam jagaNya sentiasa,
Semoga kita berjaya di dunia dan akhirat,
Selamat berjuang sahabatku,
Semoga Allah berkati semua,




Saat kamu jatuh ingat kamu ada Dia,
Saat kamu dipandang dengan sinis dari yang lain,
Ingat Dia menjaga kamu dengan sebaiknya,
Doakan kita terus kuat untuk menghadapi segalanya,



Jom jadi baik :)




Catatan di petang hari
5.52 p.m
06012014
Pasir Mas,Kelantan
Moga sentiasa dalam rahmatnya,
Waalllahu'lam


Rabu, 1 Januari 2014

Sebuah Kenangan Itu...


Assalamualaikum...



Sekadar pembuka bicara :)

Alhamdulilah,bersyukur ke hadrat Ilahi masih diberi kesempatan untuk terus melangkah dan mencari ibrah di perjalanan ini.Sebuah kenangan itu bermula dari langkah pertama kita memulakannya.Bagaimana kita mengakhirinya,kita jua lah yang menentukan.2013 pelbagai peristiwa yang kita boleh ambil ikhtibar.Dari peristiwa sehingga peristiwa yang besar.Dari masalah Ummah yang kita alami sekarang,sehingga masalah kita sendiri.Kita bersama dalam garisan perjuangan ini.Siapa yang kuat dia akan meneruskan,tapi siapa yang lemah dia akan tersungkur.Kita tidak boleh menghalang hakikat kehidupan itu tapi kita boleh belajar darinya.Siapa jua yang akan datang dan pergi kita perlu menerimanya.


Andai ada butang 'delete' dalam kamus kehidupan ini mungkin banyak yang akan di'delete' dengan mudahnya.Tapi tidak mampu berbuat sedemikian.Hanya mampu berdoa supaya kuat.Sedikit kenangan untuk tahun ini.


Menjadi fasilitator di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2.Alhamdulilah,dengan keputusan adik-adik semua.Pengalaman yang cukup hebat walaupun hanya sehari bersama mereka.Good luck untuk adik-adik semua.


Pengalaman yang cukup hebat.Pesta Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan ke 3.Alhamdulilah,gerak kerja bermula dari bulan 7.Pelbagai kisah suka dan duka.Setiap yang baik kita sama-sama dan yang buruk kita perbaiki.Terima kasih kepada yang menjayakan.


Lawatan Muhibah PPKS UMK/KMK batch 3.Alhamdulilah,berjalan dengan lancar.Kami dari Alumni PPKS UMK mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua.Jumpa kalian semua September 2014.in sha Allah.Jaga nama baik kita,jaga tapak asas yang telah kami bina untuk kalian membina bangunan yang kukuh.


Setelah sekian lama meninggalkan tempat yang banyak memberi tarbiyah ini.Kolej MARA Kulim.Ketika menjadi fasilitator buat kali ke 2.Alhamdulilah,segala berjalan dengan lancar.Setiap kali memperkenalkan nama.Adik-adik jangan tertukar kak ana dengan kak ayu yea..Sehingga sekarang :)


................................................................

Akhir kalam,terima kasih kepada yang sudi hadir dan menjadi sahabat kepada insan ini.Semoga perjuangan kita diteruskan dengan sebaiknya.Doa kalian membuatkan diri ini kuat.Kepada umi abah dan family sayang sangat semua.

Kita hidup di muka bumi Allah ini menjadi seorang musafir yang dalam perjalanan.Letakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah,sentiasa muhasabah diri kita,saat hilang arah balik lah ke jalan pulang yang sentiasa terbuka untuk kita semua.in sha Allah.Teruskan dalam perjuangan mencari seorang pencari.Moga kita semua akan menjadi permata kepada keluarga,masyarakat dan negara.


Semoga tinta seorang pencari mampu memberi pembaca semua ilmu.


waallahu'lam
Terima kasih.

01012014