Ahad, 20 Julai 2014

Di Bawah LangitMu


الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم



Di Bawah LangitMu

[Assalamualaikum]

‘’Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka, sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Sering kali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan.’’

‘’Cuba bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit mula berubah warna. Kita melihat dan menikmatinya sehingga matahari itu hilang dari pandangan dan ketika itu warna jingga tiada lagi hanya gelap menjengah, muncul pula bintang dan bulan. Ketika melihatnya terbenam tidak pula kita berkata mengapa warna jingga?. Sebaliknya kita memilih untuk ‘bersahabat’ dengan alam. Hasilnya?. Kita tenang.


Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan ‘lukisan takdir’ daripada Allah. Lukisan takdir yang tidak dijangka dan tidak disangka. Sedangkan lukisan takdir itu juga datangnya daripada Allah. Tetapi, kita memilih untuk mengeluh dan resah gelisah. Manusia diciptakan dengan hati yang berbolak balik, kadang kala menyalahkan takdir dengan setiap yang berlaku. Allah berfirman :

‘’Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan di berasa keluh kesah. Dan apabila mendapat kesenangan dia sangat bakhil’’

[Surah al-Ma’arij 70:19-21]

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita hanya menerima, Dia yang memberi dan Dia Maha Mengetahui dan memberi yang baik-baik sahaja kepada kita. Hakikatnya, akal kita tidak mampu untuk mengetahui segala rahsia Allah yang diberikan kepada kita dalam bentuk kepahitan, kesakitan, kehilangan, kesedihan, kemiskinan. Kita hanya mampu menapis segala yang berada di hadapan kita bukan yang ada disebaliknya. Hati kita akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kemampuan kita.

Kadang kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku, namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah mengajar kita erti muhasabah diri. Cubalah pujuk rasa hati untuk bersangka baik. Tidak mudah bukan, tapi kita mampu. insyaAllah. Katakan pada diri : ‘ Aku harap yang baik, Allah akan memberikan yang baik’. Kerana Doa itu penyambung antara kita dengan Dia.

Di Bawah LangitMu, kita melihat pelbagai peristiwa yang berlaku sampai menitis air mata tak sanggup melihatnya. Hebatnya ujian yang Dia berikan kepada saudara kita di Palestine, saudara mara mangsa tragedi MH17, kepada ummah umumnya. Jangan mudah untuk menyalahkan sesiapa. Sebaliknya fikirkan apa yang Dia ingin kita ubah, perbaiki, tinggalkan. Doakan yang terbaik kepada yang terlibat dalam misi kemanusiaan, misi menyelamat di sana. Sebagai komuniti biasa jaga perkataan di alam maya atau dimana sahaja kita berada.

Seorang ahli hikmah, Ibnu Ata’illah as-Sakandari pernah berkata, ‘’Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah kerana pendeknya akal dan mata hatinya.’’

Maksudnya :
Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, kita perlu melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal ,agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.  

Empat jenis manusia apabila ditimpa musibah :

-Dia menyalahkan tuhan atas segala kesusahan.
-Dia bersabar atas segala ujian.
-Dia redha dengan kesusahan yang melanda.
-Dia bersyukur atas musibah yang kena pada diri (makam yang paling tinggi).

Moga kita dikurniakan hati yang kuat untuk menghadapi segala ujian yang diberikan olehNya. Kesenangan itu sebenarnya ujian yang lebih berat jika hendak dibandingkan dengan yang sebaliknya.

Allah berfirman dalam Surah asy-Syura 42:30

Ertinya : ‘’Dan apa sahaja musibah yang menimpa ke atas kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar daripada kesalahan-kesalahanmu’’.

-Hikmah itu tidak terhitung dan infiniti bagi kepada sesiapa yang ingin berfikir disebaliknya-


-Tinta Seorang Pencari-
-Kerana Cinta Dia itu Benar-

Tiada ulasan: