Ahad, 8 Disember 2013

Bahasa Itu Indah :)


 الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم


“Tidak lurus iman seseorang
Hamba Itu sehingga lurus jantung(hati)nya.
 Dan tidak lurus  jantung(hati)nya sehingga lurus lidahnya.”

[HADIS RIWAYAT AHMAD]

            Alhamdulillah syukur kepada ilahi kerana kita masih diberi peluang untuk bertemu di blog ini.Semoga blog ini menjadi seperti taman-taman yang indah yang dipenuhi bunga-bunga (entry-entry) yang menawan supaya lebah-lebah (para pembaca) dapat mengambil madu (ilmu) daripada bunga-bunga untuk memberi manfaat kepada orang lain pula.

            Berbalik kepada tajuk yang telah ditulis, penulis ingin membaca pembaca untuk meneliti kembali percakapan seharian kita.Para pengkaji di Barat mengatakan bahawa wanita bercakap sekurang-kurangnya 20,000 patah perkataan setiap hari, manakala lelaki pula hanya 7,000 perkataan.Kajian ini menunjukkan bahawa betapa banyaknya kita bercakap dan juga menunjukkan bahawa medium yang paling utama dalam berkomunikasi adalah dengan bercakap.

            Antara sebab kita bercakap adalah untuk memberi nasihat, memberi teguran, meluahkan perasaan dan lain-lain lagi.Manusia tidak mungkin dapat dihalang untuk berkata-kata, maka imanlah yang akan menentukan isi percakapan yang akan keluar dari bibir seseorang itu.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa
Nabi SAW telah bersabda yang membawa maksud,

“Barang sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Hendaklah dia berkata baik ataupun diam,
Barang sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Hendaklah dia memuliakan jirannya,
Dan barang sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

[HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM]

            Pada zaman yang serba moden ini, pelbagai media social yang kita boleh gunakan untuk menyuarakan pandangan serta pendapat kita. Tambah pula Negara kita yang mengamalkan demokrasi rakyat bebas bersuara, maka ramai antara kita yang menggunakan peluang itu.Namun bagi penulis, kebanyakan daripada kita “terlalu” bebas bersuara sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak enak.Bagi penulis, kebebasan bersuara bererti bebas menyuarakan pendapat tetapi bukan bebas untuk menghina orang lain.

           




Nabi SAW telah gambarkan betapa bahayanya percakapan yang tidak difikirkan terlebih dahulu sebelum dilafazkan di dalam hadis daripada Abu Hurairah, 

“Sesungguhnya seorang lelaki itu bercakap dengan satu perkataan yang dia tidak teliti kandungannya, maka membawa dia terjunam kedalam neraka sejauh di antara timur dengan barat.”

[HADIS RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM]

Apabila kita terlalu fanatic dengan sesuatu aliran sama ada persatuan, politik, kaum dan lain-lain, kita mudah untuk mengkritik pihak yang tidak sealiran dengan kita. Mengkritik yang membawa ke jannah adalah kritikan yang sangat baik, tetapi kritikan yang tidak berhemah serta terdapat kata-kata cacian membawa si pengkritik ke jahannam.

Para ulama’ terdahulu juga mempunyai perselisihan pendapat dalam sesuatu perkara, namun tidak pula mereka mencaci serta mengkafirkan ulama’ yang tidak sependapat dengannya.Berbeza pendapat tidak semestinya bertentangan pendapat.Penulis ingin mengajak pembaca sekalian untuk berlapang dada untuk menerima pandangan pihak lain dan menghormati pendapat mereka. Manusia pasti melakukan kesilapan, tetapi Allah Maha Pengampun, jadi kita berserah kepada Allah untuk mengenakan hukuman.Kita hanya makhluk yang tidak berkuasa.

Orang yang hidupnya senang tidak semestinya dia betul.Orang yang mendapat pertolongan Allah tidak semestinya dia betul.Keajaipan yang berlaku ke atas seseorang tidak bermakna dia betul.Seseorang itu hanya betul apabila dia mengikut al-Quran dan Sunnah.Inilah yang kita perlu ingat setiap masa, supaya kita tidak berasa riak dan takabbur seolah-olah kita ini berada dilandasan yang sangat betul.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan namafasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

[SURAH AL-HUJURAT : AYAT 11]


Jadi marilah sahabat-sahabat sekalian, ucapkanlah kata-kata yang indah.Berhemahlah dalam memberi nasihat, bermanis-manislah dalam perbualan dan sentiasa menjaga adab-adab ketika menegur.Contohi perlakuan manusia yang teragung, Nabi Muhammad SAW yang mana Allah berfirman,

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Nabi Muhammad SAW) mempunyai akhlak yang sangat mulia."
[SURAH AL-QALAM : AYAT 4]

Biar berbeza pendapat, biar berbeza pandangan, biar berbeza aliran, biar berbeza persatuan, biar berbeza parti politik, dan biar berbeza kaum dan bahasa, asalkan tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran  dan Sunnah.


*DARIPADA  SAHABAT KEPADA SATU UMMAT*

Salam Kejayaan untuk semua,
^__^
Tuturlah kata-kata yang baik..

Waallahu'lam

Tiada ulasan: