Jumaat, 1 November 2013

Salahnya Seorang Pendakwah....

الرَّحِيمِ الرَّحْمنِ اللهِ بِسْم

SALAHNYA SEORANG PENDAKWAH.




Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka.(Tetapi) diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Surah Ali Imran : ayat 110)

Berdasarkan ayat di atas, Allah telah menggambarkan dalam al Quran bahawa kita ini iaitu umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat yang terbaik.Hal ini disebabkan kita melakukan pekerjaan ataupun kita menyambung tugas Nabi kita mengajak ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran.Hal ini berbeza dengan umat-umat yang terdahulu, pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu kerana mereka tidak menyambung usaha Nabi-nabi mereka menyebarkan agama mereka ataupun berdakwah.

Pengertian dakwah dari segi bahasa ialah berasal dari kata Arab seperti da’a, yad’u, da’watan yang membawa maksud menyeru, memanggil, mengajak, menjamu, memandu dan menjemput.

Manakala maksud dakwah dari segi istilah pula ialah mendorong manusia agar berbuat kebajikan dan petunjuk.Mengajak umat manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan untuk mengikuti petunjuk Allah dan Rasul-Nya juga merupakan dakwah.

Maka pendakwah pula bermaksud orang yang menyampaikan atau orang yang mengajak berbuat kebajikan dan menegah perkara-perkara yang buruk dan keji.

Entry kali ini, insyaAllah saya ingin mengupas sedikit isu berkenaan Salahnya Seorang Pendakwah. Saya memilih untuk menulis tajuk ini kerana ramai antara kita yang suka menunding jari kepada orang lain apabila berlakunya sesuatu kesalahan. Masyarakat sekarang lebih suka mengambil pendakwah-pendakwah sebagai contoh dan juga sebagai comparison atau perbandingan.Jadi apabila ada sesuatu yang tidak kena, maka pendakwah dipersalahkan.
 Oleh itu sebagai orang yang sedang berusaha membawa imej agama atau sebagai seorang da’ie, kita perlu menyemak kembali atau muhasabah diri dan memperbaiki kelemahan diri kita supaya kita mampu menjadi contoh yang terbaik dalam kalangan masyarakat termasuk mereka yang bukan muslim juga.

1.    Menepati masa

Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al Asr : ayat 1-3)

Rasanya hampir setiap daripada kita hafal surah ini dan juga mengetahui maksudnya. Jika kita selalu berada dalam majlis ilmu, seringkali kita dengar dipenghujung majlis pengerusi majlis akan menutup majlis dengan tasbih kaffarah dan surah al asr.

Sememangnya kita perlu meneliti maksud surah ini kerana dengan jelas Allah telah berfirman bahawasanya manusia ini sentiasa berada ada dalam kerugian.Walaupun kita selalu membacanya, namun sejauh manakah kita menghayati maksudnya?Kita tahu bahawa manusia sentiasa dalam kerugian masa kerana masa tidak mungkin dapat diputar kembali ke masa lepas.Namun kita masih lagi tidak menepati waktu.Seringkali kita yang melayu dikaitkan dengan “janji melayu” dimana sebagai contoh berjanji untuk bertemu pada pukul 3 tetapi kita datang pada pukul 3.30.

Untuk menjadi contoh yang terbaik, maka kita perlu mencontohi yang terbaik iaitu baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda seorang yang sangat menepati waktu, dan kita perlu menjadi seperti itu supaya orang lain terutamanya mereka yang bukan beragama Islam tidak memandang rendah dan memandang remeh terhadap kita.

2.    Penampilan


Sahabat Rasulullah SAW, Jabir r.a telah meriwayatkan, "Suatu ketika pada malam bulan mengambang, saya sedang melihat kepada wajah Rasulullah SAW. Pada ketika itu baginda memakai sepasang pakaian merah.Seketika saya memandang kepada bulan dan seketika saya memandang kepada Rasulullah, akhirnya saya membuat keputusan bahawa Rasulullah SAW terlebih tampan, menawan dan bercahaya daripada bulan."

Seperti yang diketahui umum, bahawa Nabi kita Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang sangat kacak, kemas orangnya, sentiasa wangi, mementingkan kebersihan dan lain-lain lagi. Tetapi lain pula yang terjadi kepada kita khususnya pendakwah yang membawa imej agama. Kebanyakan daripada kita yang hanya menyimpan janggut tetapi tidak kemas, berpakaian putih tetapi ada kesan kotoran dan lain-lain lagi bagi lelaki, manakala perempuan pula berpakaian selekeh atau tidak kemas, apabila berpakaian gelap tetapi kelihatan habuk-habuk melekat di baju atau ditudung.

Yusof Islam pernah berkata “Dia bernasib baik mengenal agama Islam dahulu sebelum mengenal bagaimana umat Islam itu sendiri”.Umat Islam kita sekarang banyak dipengaruhi dengan cara hidup barat dan trend hidup yang kadang kala jauh dengan jaran Islam yang sebenar.Pengaruh perkembangan teknologi amat ketara dalam kehidupan kita pada masa sekarang.

3.    Akhlak

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. (Surah al Qalam : ayat 4)

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah. (Surah al Ahzab : ayat 21)


Ustaz Kazim Elias (UKE) pernah berkata dalam ceramahnya. Jika hendak mencari seorang suami pilihlah seseorang yang pandai dalam agama dan juga cantik akhlaknya.Hal ini kerana seringkali kita mendengar berita seseorang yang bergelar ustaz tapi masih lagi melakukan kesalahan memukul isterinya. Di sini jelas apabila seseorang itu pandai dalam bab agama belum tentu lagi dia mempunyai akhlak yang mulia. Hal ini mungkin kerana dia tidak mengamalkan ilmu yang telah dipelajarinya.

Dalam perjuangan dakwah ini, kadang-kadang kita perlu melayan karenah orang ramai.Apabila orang bertanya kita perlu menjawab dengan baik.Apabila orang tidak mengetahui, kita perlu menjelaskan bukan ketawakan. Layanan yang istimewa perlu diberikan kepada mereka yang bukan Islam supaya mereka akan tertarik untuk mendekati agama Islam dan semoga mereka mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam.

4.    Berusaha

…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri… (Surah ar Ra’d : ayat 11)

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad : ayat 7)

Mungkin kita patut lihat kepada skop pelajar kali ini.Saya suka menyatakan bahawa kebanyakan orang yang membawa imej agama mereka sedikit ketinggalan dalam akademik.Bukan hendak menyalahkan mereka, tetapi ada sesuatu yang perlu kita ambil iktibar di sini.Sepatutnya kita tidak boleh berat sebelah, tidak boleh terlalu berat ke arah akademik dan tidak juga ke arah dakwah.Hal ini kerana kita perlu tahu keutamaan kita dan tugas kita yang utama sebagai seorang pelajar iaitu menuntut ilmu dan mendapat keputusan yang cemerlang.

Lebih baik seseorang itu seimbang kedua-duanya kerana orang seperti inilah yang disanjungi oleh orang ramai.Namun orang yang sebegini sukar untuk dicari.Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi seseorang yang celik akalnya seperti yang disebut dalam al Quran Ulul al Bab, yang bijak dalam bidang akademik dan juga dalam bidang dakwah.Cuba kita kembali ke zaman kegemilangan Islam, ramai cendekiawan Islam yang hebat-hebat dilahirkan.Mereka hebat dalam ilmu sains, matematik, perubatan, astronomi dan lain-lain tetapi mereka juga hebat dalam bidang agama.

Contohnya seperti Abu Mansyur al-Maturiddi, Muhammad Ibnu Musa al-Khawarizmi,Abu Ali Al-Husein Ibnu Sina, Al Batani, Ibnu Khaldun, Ibnu Battuta dan ramai lagi.

5.    Adil

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil.Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah al Maidah : ayat 8)

Menjadi seseorang yang adil, kadang-kala sememangnya sukar.Tambah pula jika kita perlu mengadili seseorang yang kita sangat kenal atau orang yang kita sayang. Sebab itulah Allah berjanji akan memberi naungan arasy-Nya di padang mahsyar kelak kepada pemimpin yang adil. Jika kita lihat sekarang ini, mereka yang mempunyai pengetahuan berkenaan agama juga mementingkan diri mereka dan juga kaum kerabat mereka.Jika hal ini berpanjangan, sudah pasti sifat hormat orang ramai terhadap mereka yang semakin berkurangan.Oleh itu, kita perlulah bersikap adil.Orang yang layak memerintah diberikan kuasa, maka orang yang melakukan kesalahan dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.


Kesimpulannya, kita sebagai manusia biasa yang tidak mungkin dapat lari daripada melakukan kesalahan mestilah sentiasa bermuhasabah diri.Kita perlu lihat ke cermin untuk mengenalpasti kelebihan serta kelemahan kita dan mengukur baju di badan sendiri supaya kita tahu kemampuan diri kita.Setiap hari kita perlu membaiki diri ini supaya menjadi insan yang lebih baik daripada hari semalam. Sering kali kita dengar atau baca ,barang sesiapa hari ini lebih baik daripada semalam dia orang yang beruntung, sesiapa hari ini sama seperti semalam maka dia orang yang rugi dan sesiapa hari ini lebih teruk daripada semalam dia seorang yang celaka.



Peringatan bersama,
Perkongsian bersama,
Salam Jumaat,
Waallahu'lam,

Tiada ulasan: