Khamis, 21 Ogos 2014

| IKHLAS |


Assalamualaikum



|promote|


Alhamdulillah, saya ingin berkongsi satu hadis dalam buku ‘Aku Ingin Kembara Lagi’ yang ditulis oleh Prof.Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA. Saya tertarik dengan kupasan beliau berkaitan dengan hadis tersebut. Berkaitan dengan ‘IKHLAS’. Sebelum ini saya pernah menulis satu artikel berkaitan ini juga yang bertajuk ‘Pilihlah Aku Untuk Ikhlas’. Sejauh mana tahap keikhlasan kita kepadaNya. Dr Maza ada menulis dalam bukunya ini :


‘Ia adalah isu kerohanian yang manusia paling ramai gagal menunaikannya. Bukan sahaja orang jahil yang gagal dalam menanganinya, tetapi juga orang alim. Bukan sahaja para penceramah agama yang gagal juga para mujahid yang berperang di jalan Allah. Bukan sahaja telah gagal mereka yang membaca buku biasa, tetapi telah gagal mereka yang membaca al-Quran. Bukan sahaja telah gagal penderma kecil, tetapi telah gagal juga penderma yang besar.’


Jika kita fahami dan hadam maksud yang tersirat dalam petikan ayat di atas dapat kita simpulkan jika insan yang hidupnya di jalan Allah juga gagal dalam menyerap keikhlasan ini dalam kehidupan mereka,apatah lagi kita,sebagai insan yang biasa. Yea, hari ini aku telah menolong orang, hari ini aku pergi usrah, hari ini aku post status yang bagus kat facebook,twitter, blog. Tapi, sejauh mana keikhlasan kita?

Sama-sama kita fahami hadis dibawah, insyaAllah.


|HADIS|


“Orang yang awal dibicarakan pada hari kiamat adalah seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. ALLAH bertanya: ‘Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?’

Dia menjawab : ‘Aku telah berperang keranaMu sehingga syahid.’

ALLAH berkata: ‘Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau mahu dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu.’

Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri.

ALLAH bertanya: ‘ Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?’

Dia menjawab: ‘Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMu.

ALLAH berkata: ‘Engkau bohong, sebaliknya engakau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engaku dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu.’

Lalu diperintahkan agar dia dihukum,diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke neraka. Datang pula seorang yang ALLAH luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri.

ALLAH bertanya: ‘Apakah yang telah kamu lakukan di dunia?’

Dia menjawab: ‘Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMu.’

ALLAH berkata: ‘Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu.’

Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka.’’

|Hadis Riwayat Muslim|

Hadis ini memberi banyak makna sebenarnya, kita ingin kita mampu melakukan segalanya dengan niat yang betul,tapi sebaliknya yang terjadi. Mendidik kita selalu tajdid niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan. Begitu besar peranan IKHLAS. Sejauh mana manusia memuji kita, tetapi bagaimana kita disisi Dia?. Syaitan boleh menukar niat yang murni menjadi bongkak dan riyak tanpa kita sedari. Akhirnya, gugur pahala itu kerana hilang keikhlasan ataupun kita mengungkit kebaikan yang kita lakukan. Allah, semoga kita sentiasa dilindungi olehNya dari fitnah duniawi. Semoga kita dipelihara dalam setiap kebaikan yang kita lakukan. Murahkan ucapan minta maaf itu, walaupun kita tidak buat salah tapi mengajarkan kita untuk merendah diri.

Sama-sama kita perbaiki diri,

insyaAllah.




|Tinta Seorang Pencari|
|Kerana Cinta Dia Itu Benar|

Tiada ulasan: